>

Wednesday, March 12, 2008

Mengapa Ibuku Memilih Bulan?

Diambil daripada blog Shazli (http://au2a.blogspot.com/) Dengan kebenaran of course, x caye, tny Shazli. Memang menyentuh hati dan perasaan aku puisi ni...



“Mengapa ibuku memilih Bulan?"
kau yang tidak lagi jadi pimpinan bertanya?
biarku sahaja yang menjawab dan bersuara,
kerna ibuku masih banyak lagi kerja...=)

......................................

Apakah masih kau ingat?
Ketika kau belum berkuasa,
Dahulu, kau pernah bilang dan kata,
Akan kukorbankan masa dan harta,
Demi agama dan negara,
Dan ibuku tertipu, memilih kau berada di sana.

Tapi kata-katamu mana ada dikota,
Kau rupa-rupanya mengejar pangkat dan takhta,
Walaupun mereka dibawah perit menderita,
Mata kau nampak tetapi sengaja kau ‘terbuta’.

Masihkah kau ingat?
Dahulu kami tinggal di kawasan setinggan,
Berbumbungkan zink beratapkan papan,
Walaupun kami seringkali meminta bantuan,
Namun, kau langsung pandang tak heran.

Dan di suatu hari yang aman,
Pegawai kau datang membawa khabaran,
Bahawa setinggan harus dirobohkan,
Supaya kawasan dapat dimajukan.
Hakikatnya, kau mahu ‘kocek’ dipenuhkan.

Masihkah kau ingat?
Hari itu pegawai kau datang lagi membawa khabaran,
Bahawa setinggan esok akan dirobohkan,
Kami keluar dalam seribu kekalutan,
Nenekku menangis dalam ketakutan,

‘mengapa harus dikeluarkan?’
‘walaupun sudah tinggal zaman-berzaman’
Untuk apa kau sebagai pimpinan,
Jika hanya menyaksikan dari tingkap bangunan.

Dan kau bohong kata adanya pampasan,
Yang bisa nanti menjanjikan keadilan dan kesaksamaan,
Padahal ianya satu lagi penindasan,
Kerna kediaman yang dijanjikan,
nun jauh di ceruk pedalaman,
Yang jauh dari segala ketamadunan.
Dan kau hanya mengintai dari tingkap bangunan,

Dan kau terus hanya berlepas tangan,
Membiarkan setinggan terus diroboh bertaburan.

Dan anak kecil menangis seharian,
Nun di sebalik celahan runtuhan,
Masakan tidak ,dia sengsara wahai kawan,
malam kesejukan siang kepanasan,

Dan di mana kau wahai pimpinan?
Hanya menjenguk sejenak dari tingkap bangunan.

Dan kau bijak berhelah di media massa,
Putar belit, tipu helah sudah biasa,
Kau kata kami duduk tanpa ada izin kuasa,
Oleh itu, wajar dikeluarkan tanpa budi bicara,
Tidak kira bangsa, budaya atau agama,

hakikat yang berlaku;sumber gambar dari jelas.info. klik sini untuk maklumat lanjut

Dan percayalah, ketika itu kami sudah ‘terbuka’ mata,
Yang kami akan jatuhkan kau tangga demi tangga.

Dan sebelum setinggan kau robohkan,
Ibuku terfikir mahu memilih bulan,
Kau kata; ‘ Jangan!’

Kerna mereka pengkhianat bangsa,
Yang berlindung di bawah payung agama,
Kalau mereka mendapat kuasa,
Kelak semuanya akan binasa,
Hebat sungguh kau berdusta,
Padahal itu hanya tohmahan semata.

Dan ketika setinggan kau robohkan,
Ibuku mahu memilih bulan,
Kau memberi sekeras peringatan,
Yang kau kata hanyalah pesanan,
Bahawa kita kena taat pada pimpinan,
Haruskah? Walaupun sesat dalam kebatilan?

Dan akhirnya setinggan kau robohkan,
Tanpa ada sebarang belas kasihan,
Tangisan meminta ehsan kau biarkan,
dan setinggan itu, kau biarkan dalam penderitaan.

Yang bangkit meminta hak kau nafikan,
Bahkan kau tuduh sebagai pemberotakan,
Yang boleh menjejaskan keamanan,
Dan akhirnya mereka ini kau penjarakan,
Dan kau hanya duduk di kerusi yang nyaman,
Mendengar setinggan terus dirobohkan,

‘tidak mengapa, demi kemajuan’
Kau tersenyum dalam kemanisan,
Memikirkan pangkat,nama dan habuan,
Yang kau dapat setelah setinggan kau robohkan.

Dan ibuku tekad memilih bulan!
Yang mahukan kau keluar dari pimpinan,
Dan mesejnya jelas bahawa perlu ada perubahan,
Yang pimpinan perlu berpaksikan keadilan dan kebenaran,
Bukan kezaliman dan kebatilan.

Kini,
Ibuku pula tersenyum dalam keceriaan,
Bahawa kau berjaya dikeluarkan,
Bukan kerana dendam yang disimpan,
Tapi hanya sebagai peringatan,
Bahawa andai ingin menjadi pimpinan,
Harus adil,saksama dan beriman,
Bukan mengambil dunia sebagai Tuhan,
Yang harus dikejar tanpa ada sempadan.

Dan,
Ibuku berdoa kepada Tuhan,
Biarlah angin perubahan membawa kedinginan,
Yang menjanjikan keselesaan dan kebahagiaan,
Demi meneruskan cabaran kehidupan,

Dan kupercaya dia akan terus memilih bulan,
Yang terangnya ke segenap celahan.

*puisi ini bagi memperingati kawasan setinggan yang telah dirobohkan oleh pihak berkuasa di sekitar Selangor,yang objektifnya ingin mencapai sasaran 'setinggan sifar' dan memastikan kediaman rakyat Selangor selamat dan sejahtera. Namun, kezaliman yang berlaku terlalu teruk terutama yang tinggal di kawasan Kuala Lumpur seperti Kg Berembang sehingga sebuah surau dirobohkan.Klik sini untuk maklumat lanjut dari web umno-reform.juga klik sini untuk maklumat dari sumber lain. dan keluargaku sendiri antara yang derita merasakan tempiasnya sebelum kami 'dipaksa' berpindah ke tempat lain.


Photobucket

1 comment:

Meor@Maru said...

Ibuku juga memilih bulan... hehe...