>

Tuesday, March 22, 2011

Nikah: Sekarang atau Karang?

بسم الله الرحمن الرحيم

Dalam blog entri yang ke-1000 ini, sukalah untuk aku berkongsikan hasil penulisan yang bertitik-tolak daripada sedikit pengalaman dan ilmu yang ada. Moga ada hikmah, pertama buat yang menulis, dan seterusnya kepada yang membaca.

Tajuk entri ini diambil daripada sebuah kuliah online yang pernah dianjurkan oleh iluvwarwick, sebuah komuniti ceria dari the University of Warwick.

"Perkahwinan itu Sunnahku, sesiapa yang tidak suka kepada Sunnahku, dia bukan daripada kalangan umatku"
(riwayat Al-Bukhari)

Sejak 4-5 bulan kebelakangan ini, terlalu banyak soalan yang diajukan kepada aku dan Ajah, rata-rata mengenai kahwin ketika belajar. Soalan-soalan yang biasa diajukan:

Camne dah tahu bersedia nak kahwin? Cukup ke duit? Tak rasa hilang kebebasan ke?

Dan banyak lagi. Malah, ada juga antara yang memaklumkan kepadaku, mereka siap menunjukkan facebook profile aku kepada ibu bapa mereka, sebagai bukti, ada kenalan mereka yang mampu untuk berkahwin ketika belajar. Sungguh berat rasa hati ini, andai menjadi ikutan orang. Sungguh takut andai yang aku lakukan itu mungkin tidak tepat dengan kesesuaian semua orang.

Jadi, kami pun bertalu-talulah membalas segala emel, menjawab SMS, menerima panggilan, berdialog, menjawab mesej Facebook dan macam-macam lagi cara perhubungan yang digunakan untuk bertanya kami perihal ini. Jadi, sebab dah banyak sangat pertanyaan, aku tulis je blog entri ni, moga mudah diakses bagi mereka yang mencari. Tetapi, anda harus ingat, segala yang ditulis dalam blog ini mungkin indah dan baik bagi kami, tetapi mungkin keadaan berbeza dengan anda semua.

Pernah suatu ketika dahulu, aku menulis dalam status FB ku:

Mana-mana lelaki yang masih mengatakan perkahwinan itu mengehadkan kebebasannya, dia sebenarnya masih belum matang untuk memimpin keluarga

Maka, ramailah yang semakin bertanya dan terus bertanya.

Bila ditanya rakan-rakan, ada yang berkata, tidak bersedia untuk berkahwin lagi kerana masih belum puas menikmati kebebasan. Lalu aku bertanya, kebebasan sepertimanakah yang engkau maksudkan? Adakah kebebasan itu bererti melakukan perkara-perkara lagho mahupun yang bathil? Adakah kebebasan itu bererti membuang masa melakukan tidak berfaedah? Jika itulah yang didefinisikan sebagai kebebasan, jawapanku YA, setelah berkahwin anda akan tidak bebas.

Sebuah majlis akad nikah yang sedang berlangsung

Tidak bebas? Benar, setelah berkahwin, ada yang menegur kita andai kita melakukan kesilapan. Ada yang mengingatkan kita andai kita membuang masa. Ada yang memberitahu kita, andai kita kerap kali melakukan perkara lagho. Bagi aku, aku rela menggadaikan 'kebebasan' ini asalkan mendapat kebebasan di akhirat kelak. Biarlah lebih cepat ada orang yang mengingatkanku tentang dosa dan pahala daripada aku membiarkan hidup aku ini terus lagho dan membuang masa.

Ya, perkahwinan itu suatu komitmen. Namun, sedarkah kita, setiap komitmen yang kita pegang itu, perlulah disertai dengan pengorbanan. Ambil sahaja contoh persatuan. Komitmen kita terhadap persatuan itu, membuatkan kita mengorbankan masa, tenaga, malah harta demi memastikan aktiviti persatuan itu bergerak lancar. Tanpa pengorbanan, komitmen kita boleh dipersoalkan.

Berbalik kepada statusku itu. Yang dimaksudkan dengan lelaki yang beranggapan bahawa perkahwinan itu mengehadkan kebebasannya, adalah mereka yang takut untuk memberi komitmen kepada suatu ikatan yang dipanggil perkahwinan, kerana mereka tidak bersedia untuk memberi pengorbanan. Mereka inilah yang aku katakan masih belum matang untuk memimpin sebuah organisasi bernama keluarga.

Benar, mungkin ada yang mengatakan aku terlalu ideal, baru 5 bulan kahwin, bajet berpengalaman. Namun, sekurang-kurangnya, inilah pegangan aku ketika ini, dan inilah yang mungkin apa yang boleh aku kongsikan daripada pengalaman singkat ini.

Masjid dan makam Abu Ayyub al-Ansari

Kadang-kadang, bila aku bertanya, ada juga yang berkata:

Aku nak kumpul duit dulu, sekurang-kurangnya RM 20000

Benar, Nabi S.A.W. bersabda:

"Wahai pemuda-pemuda, sesiapa sahaja diantara kamu yang berkemampuan untuk berkahwin, maka berkahwinlah kerana dengan berkahwin dapat menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan diri"
(riwayat Bukhari dan Muslim)

Namun, apakah sebenarnya definisi berkemampuan itu? Adakah hanya wang sahaja?

Bila aku bertanya, RM 20000 ni, nak guna untuk apa? Jawapannya:

Kenduri kahwin

......

Betapa ruginya apabila segala penat lelah mengumpul duit akan dihabiskan dalam sebuah majlis yang mengambil masa sehari sahaja. Bagi aku, yang lebih penting adalah duit yang akan digunakan untuk menyara isteri setelah berkahwin. Bagi yang berfikiran mengumpul duit untuk kenduri sahaja, oh, begitu pendeknya perancanganmu. Lebih malang, ada yang menghabiskan wang puluhan ribu untuk kenduri besar-besaran, akhirnya, selepas kahwin, tiada wang untuk digunakan, malah ada yang berhutang! Bukankah lebih elok andai duit yang dikumpul itu digunakan untuk kegunaan awal kehidupan selepas perkahwinan. Waktu awal perkahwinan, itulah waktu tidak stabil, terutamanya dari sudut kewangan.

Ingatlah janji Allah:

http://c0022506.cdn1.cloudfiles.rackspacecloud.com/24_32.png
Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui. (An-Nur: 32)

Namun, tidak dinafikan, budaya setempat yang mengagumi majlis besar-besaran itu, perlu juga kita ambil kira. Namun, nasihatku, bersederhanalah selagi mampu. Contohnya, tidak perlulah nak habiskan duit buat hiasan-hiasan yang bergemerlapan. Tidak perlu juga nak sewa pasukan-pasukan kompang untuk buat persembahan. Ada pula yang sewa penyanyi-penyanyi untuk hiburan tetamu. Daripada sebuah sunnah, walimah jadi tempat maksiat!

“....Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.”
(Surah al-A’raaf: 31)

Alhamdulillah, kedua-dua keluarga kami memahami perihal ini. Tambahan pula, kami adalah pelajar, maka, semua hadirin pun paham keadaan kami. Alhamdulillah, antara perkara-perkara kecil lain yang dapat dilakukan adalah melabelkan tempat muslimin dan muslimat di khemah jamuan. Mungkin itu adalah usaha kecil kami untuk menunjukkan bahawa Islam itu praktikal.

Setakat ini dahulu, aku menulis beberapa perkara yang amat popular ditanya kepada kami kebelakangan ini. Untuk pertanyaan-pertanyaan lebih spesifik, bolehlah bertanya terus kepada kami. Aku tengah merancang juga untuk menulis lagi berkenaan isu kahwin ketika belajar. Moga diberikan masa dan kekuatan untuk menulis.

Mungkin akan bersambung.....

Photobucket

7 comments:

D'lla said...

eden pn kawen ms husband study..
hik3..kumpui duit skit,pengorbanan & ujian nk mai uk(visa),homesick, +tawakal doa byk :D
dh 8 bulan..anak belum lg

nurulsyamila said...

nice artikel..
mohon share

Ati said...

mungkin akan bersambung? oh, sila lah sambung ye. menarik.

Anonymous said...

salam. jadi saya ada pertanyaan. apa yang sepatutnya dilakukan, sekiranya kita menyukai seorang wanita, dan merasakan bahawa betul-betul bersedia untuk menggalas tanggungjawab, apa yang perlu dilakukan? adakah dengan cara meluahkan perasaan terhadap si dia, atau menggunakan orang tengah, untuk menyampaikan hasrat kita, bimbang berlakunya zina hati dan sebagainya. Jadi bagaimana cara yang anda lakukan, yang terbaik, untuk menyampaikan hasrat kepada si dia?

-seorang lelaki yang pemalu-

Jpah said...

Buat lelaki pemalu:

Yang terbaik, gunalah orang tengah YANG SUDAH BERKAHWIN, mungkin boleh minta mereka sampaikan hasrat, dan mungkin mereka boleh menjadi moderator pertemuan (taaruf) antara enta dan calon pilihan. InsyaAllah, jika ini dilakukan, dapat mengelak perbualan kosong dan perbuatan yang tidak sepatutnya.

Wallahu'alam

Anonymous said...

ok, syukran ya akhi, jadi bolehlah ana menggunakan enta kelak, enta sudah berkahwin ^^

-lelaki yang pemalu-

insan92 said...

alhamdulillah nice entry......
banyak gak persoalan terhurai..keep it up