>

Sunday, March 20, 2011

Kisah Warwick dan Penghuninya

بسم الله الرحمن الرحيم

Sepertimana yang dirancang, aku dan Ajah bertolak ke Warwick pada jam 6:30 petang hari Jumaat, menaiki National Express. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 2 jam setengah. Alhamdulillah, perjalanan lancar tanpa sebarang gangguan lalu lintas. Bas kami singgah di Coventry dahulu sebelum meneruskan perjalanan ke University of Warwick.

Anehnya, di Coventry, amat ramai orang yang turun daripada bas, yang tinggal hanyalah 6 orang sahaja. Daripada 6 orang ini, hanya kami berdua yang akan turun di University of Warwick. Yang selebihnya akan ke Leamington mahupun Stratford, tempat kelahiran Shakespeare. Lebih aneh lagi apabila pelajar-pelajar Warwick sendiri ada yang tidak tahu National Express berhenti di situ. Mengapa? Tidak kami ketahui jawapannya.


Kami berhenti di Art Centre. Kehadiran kami disambut oleh 4 orang rakan karibku, Hafizuddin (Hypo), Izzat, Dzull dan Khairul. Aku tersenyum lebar bertemu mereka. Walaupun baru 3 minggu lepas kami berjumpa, seakan-akan tidak bosan pertemuan kami saban kali. Ada sahaja cerita hendak diluahkan, ada sahaja idea dan perkara ingin diborakkan. Sebab itu aku tidak pernah merasa berat untuk ke Warwick, terasa mereka begitu rapat denganku. Merekalah yang selalu bersamaku tika senang dan susah. Jika terdapat masalah, merekalah yang berlumba-lumba membantuku. Inilah sepatutnya hubungan seorang Muslim dengan Muslim yang lain:

Daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Seorang Muslim dengan Muslim yang lain adalah bersaudara, dia tidak menzaliminya dan tidak mengelakkan diri daripada menolongnya, sesiapa yang melepas hajatnya, sesiapa yang melepaskan saudaranya daripada sesuatu kesempitan, maka Allah akan melepaskan satu kesempitan daripada kesempitan-kesempitan hari kiamat, dan sesiapa yang menutup (keaiban) saudaranya, maka Allah akan melindunginya pada hari kiamat.”
(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Ajah pula disambut oleh 2 muslimat, iaitu Aqilah dan Suhaizura. Kami berpisah di situ. Ajah mengikut muslimat ke rumah mereka manakala aku mengikut Hypo dan rakan-rakan ke rumah mereka.

Bangunan mereka diberi nama Redfern, hall 5 bilik di mana mereka lima pelajar Malaysia duduk bersama-sama, masak dan makan bersama, serta bergurau senda bersama. Seperti biasa, aku meletak barang-barangku di bilik Hafizuddin, dah anggap seperti bilikku sendiri. Sesampainya di rumah, aku dihidangkan dengan makan malam yang dimasak oleh Hypo sendiri. Ayam paprik yang amat menarik sekali.

Keesokan harinya adalah Warwick Games. Aku baru tahu. Tidaklah berniat pun untuk datang menyaksikan Warwick Games. Tapi, takpelah, ok juga dapat melihat pelajar-pelajar Malaysia beraksi.


Seawal pagi (ok, tidaklah awal sangat, sekitar jam 10 pagi), aku, Hypo dan Dzull berjalan kaki menuju ke Cryfield. Cuaca hari ini amat cerah, langit pula amat biru sekali. Tetiba rasa nak nyanyi lagu 'Sebiru hari ini' nyanyian Edcoustic. Cuaca begini pula membuatkan rasa rugi tidak mengeluarkan kamera. Maka, segala bentuk kamera dikeluarkan oleh manusia-manusia Warwick ini.


Kami pergi ke padang ragbi dan menonton Touchby - permainan Touch Rugby. Maka, adalah beberapa pelajar yang aku kenal, samada dari Warwick, London mahupun tempat-tempat lain. Suasana permainan agak meriah, walaupun tidaklah segempak Notts Games. Sesekali, terhibut melihat gelagat pemain, ada tak puas hati, gaduh sana sini. Tersenyum sahaja melihatnya. Hypo pula, sibuk mengambil gambar sana sini, tidak ubah seperti seorang jurugambar professional.

Tu dia Abang Po seperti jurugambar BBC

Perut lapar. Kami menuju ke gerai-gerai untuk membeli makanan. Aku dan Hafizuddin membeli nasi kerabu dengan ayam panggang yang sungguh menyelerakan. Alhamdulillah, terisi sedikit perut, lalu kami kembali ke Prayer Hall untuk bersolat.

Lunch di atas padang


Aku berehat di Prayer Hall sehinggalah jam 5 petang. Kami bergerak ke Coventry. Kami singgah sebentar di Prayer Room University of Coventry untuk bersolat Maghrib (dan Isyak bagiku). Seusai solat, kami memulakan misi mencari makan malam, iaitu di sebuah kedai bernama Donya. Oleh sebab aku tidak tahu menahu tentang Coventry, aku hanya taat pada segala perlakuan sahabat-sahabatku ini.

Menaiki bas 12 menuju Coventry. Singgah di pertengahan jalan menghantar Ajah balik ke rumah. Dari Coventry, kami berjalan kaki berpandukan GPS daripada telefon bimbit Po, alhamdulillah, berjumpa jua dengan restoran Donya. Tempat duduk dipenuhkan, menu dilihat dan ditatapi dan pesanan diberikan. Aku memesan Nasi Beriyani ayam yang nampaknya begitu menyelerakan.

Servis restoran ini tidak mengecewakan. Rasa baru sahaja kerusi dihangatkan, sudah sampai makanan ke meja. Tu dia, meriah sekali nampak pinggannya. Nasi penuh diisi, ayam seketul besar, tak lupa juga kepada sayur-mayur yang tidak digemari Izzat. Izzat bertindak pantas dengan terus menyerahkan hak milik sayurnya kepada Hafizuddin. Moga sistem penghadaman Hafizuddin sihat dengan lambakan sayur itu.


Alhamdulillah kenyang. Sambil makan, kami turut berbincang-bincang perihal masa depan kami masing-masing, daripada hal kekeluargaan, kerjaya sehinggalah dakwah dan ummah. Aku, Izzat dan Dzull akan bekerja bersama di PNB nanti. Jadi, kami memikirkan, apakah perubahan yang boleh kami sumbang bagi membantu mewujudkan biah Solehah di persekitaran kami nanti. Alhamdulillah, Izzat membelanja makan malamku hari ini. Ni yang makin sayang Warwick ni! 3 minggu lepas, makananku dibelanja oleh Hafizuddin, hehe. Sebuah hadis Qudsi:

Rasulullah s.a.w. bersabda: Allah s.w.t. berfirman:
عن النبي صلى اللهم عليه وسلم يرفعه إلى الرب عز وجل قال حقت محبتي للمتحابين في وحقت محبتي للمتزاورين في وحقت محبتي للمتباذلين في وحقت محبتي للمتواصلين في
“Orang yang berkasih sayang kerana Allah, orang yang saling berziarah kerana Aku (Allah), orang yang saling berbelanja membelanja kerana Aku(Allah), orang yang saling berhubungan kerana Aku(Allah), mereka semua berhak mendapat kasih sayangKu (Allah)”
(Riwayat Ahmad)


Kami pulang ke kampus, keletihan tetapi kekenyangan dan gembira dapat meluangkan masa bersama.

“Jika seseorang itu sayang kepada sahabatnya maka hendaklah dia beritahu bahawa dia menyayanginya.”
(Riwayat Abu Daud)

Aku sayang korang. Moga kita berukhuwah keranaNya, dan moga kita dapat bersama-sama mengecapi syurga Allah.

Photobucket

No comments: