>

Friday, March 25, 2011

Mak, saya mahu kahwin!

بسم الله الرحمن الرحيم

Baru sahaja beberapa tahun lepas, aku memikirkan lama lagi aku akan kahwin. Jadi, sejujurnya, aku tidak pernah pun terfikir dan berfikir untuk mengungkapkan permintaan ini kepada ibu bapaku. Lebih-lebih lagi, aku adalah anak bongsu, satu-satunya anak lelaki dalam keluarga. Jadi, mengikut adat dan kebiasaannya, kenalah tunggu kakak-kakaknya berkahwin dahulu.

Namun, Allah jua yang menentukan segalanya. Perancangan Allah itu sangat cantik, kemas dan penuh hikmah.

Pertama kali ingin mengutarakan hasrat ingin berkahwin, aku kaget, cuak dan cemas. Maklumlah, kami tidak pernah pun berbincang mengenai hal ini secara serius bersama. Mungkin jika aku memaklumkan perkara ini, seolah-olah suatu langkah yang drastik dan mengejutkan. Macam-macam bermain di fikiran. Jadi, pengajaran pertama, walaupun anda masih belum berhasrat untuk berkahwin dalam masa terdekat, selalu-selalulah bertanya kepada ibu bapa dan keluarga mengenai perkara ini, minta pendapat mereka dan siasat apa pendirian mereka. Oleh itu, tidaklah anda akan merasa janggal apabila pertama kali ingin berbincang mengenai hal ini.


Tetapi aku masih tiada keberanian mutlak untuk bertanyakan ibu bapaku secara terus. Jadi, cara yang aku rasakan lebih kecil mafsadahnya diambil. Menggunakan posmen untuk memaklumkan kepada ibu bapaku. Namun, bukanlah Pos Malaysia atau Royal Mail digunakan, apatah lagi DHL. Posmen yang dipilih adalah kakak sulungku sendiri. Aku masih ingat, ketika itu aku berborak dengannya melalui sistem chatting Facebook:

Along, apa pendapat mak abah ye kalau kahwin masa belajar? (berpeluh)

Haaa? Kenapa tetibe tanya? Adik nak kahwin ke?

Tanyalah dulu!!!

Terus off Facebook dan terjun ke atas katil. Cuak.

Sebelum menerima balasan dari emak dan abah, aku cuba menjangka apa kemungkinan respon mereka. Dibantu oleh sepasang pasangan post-graduate, aku merangka persediaan kewangan, masa serta kehidupan untuk dibentangkan kepada ibu bapaku. Barulah hujah tu konkrit sikit. Dengan melakukan pelan ini juga, menunjukkan kesediaan, kematangan dan kesungguhan kita untuk melangkah ke alam baru.

Masa berlalu.

Suatu pagi yang hening, abah menghubungiku. Seperti dijangka, selepas bertanya khabar ringkas, abah bertanya perihal perkahwinan. Abah berkata, abah dan mak berpendapat, kahwinlah selepas habis belajar. Kerja dua tahun dahulu, barulah stabil sikit kehidupan nak sara anak orang. Walaupun aku seperti sudah menjangka jawapan itu, namun masih lagi seperti menerima sebuah tamparan. Sedih. Namun, alhamdulillah, Allah masih memelihara diriku lagi dengan memberikanku kesabaran dan tidak cepat melatah. Nasihatku kepada mereka yang menerima tentangan ibu bapa mengenai idea selepas berkahwin, jangan sesekali meninggikan suara kepada mereka, takut-takut kita ni termasuk dalam golongan anak derhaka. Allah berfirman:

http://c0022506.cdn1.cloudfiles.rackspacecloud.com/17_23.png

Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).
(al-Israa': 23)

Sebaliknya, bertenanglah, dan fikirkan cara lain yang lebih halus dan berhikmah untuk mengambil hati mereka.

Masa berlalu lagi....

Setelah aku rasakan masa telah menyejukkan suasana, aku kembali memberanikan diri untuk bertanya lagi kepada ibu bapaku mengenai hal ini. Oh, apabila berdepan dengan cabaran sekali, jangan terus berputus asa. Jika kita tidak berganjak dengan keputusan kita, itulah bukti kesungguhan dan kesediaan kita.

Kali ini, aku membentangkan segala perancangan masa depanku, kewangan, akademik, kehidupan dan sebagainya. Namun, masih tidak berhasil mengubah keputusan ibu bapaku. Buntu.

Musim panas tiba. Aku pulang bercuti di Malaysia. Masih lagi keazamanku untuk berbincang 'face-to-face' dengan ibu bapaku.

Dipendekkan cerita, pada suatu hari, abah mendekatiku. Abah menceritakan sebab sebenar mereka tidak membenarkanku berkahwin. Ianya perihal hati dan perasaan. Bukanlah sebnarnya mengenai persoalan material. Persoalan duit, masa dan pelajaran itu hanyalah sebagai pelapik sahaja kepada perasaan kasih dan sayang mereka terhadap anaknya ini.

Sahabat-sahabat.

Ibu bapa kita adalah orang yang paling mengenali kita. Dari kecil mereka melahirkan, membesarkan kita bagai menatang minyak yang penuh. Namun, apabila besar, melepaskan anak ke sekolah asrama adalah suatu pengorbanan besar buat ibu bapa. Ibu bapa mana yang mahu berjauhan dengan anaknya? Namun, pengorbanan itu dilakukan demi membolehkan anaknya menjadi insan berguna. Kemudian, satu keputusan besar dibuat, iaitu membenarkan anaknya belajar ke luar negara. Lebih terguris hati ibu bapa memikirkan semakin berjauhan dengan anaknya. Ketika si anak meloncat-loncat tak sabar nak ke UK, ibu dan bapa hanya mampu tersenyum sayu. Si anak tidak pernah memikirkan perasaan ibu bapanya, yang penting, teruja sebab nak ke UK. Tiba-tiba, belum sempat si ibu bapa mendapatkan kembali kasih sayang dan perhatian anaknya, sudah mahu berkahwin dan melangkah ke dunia sendiri. Oh, betapa tergurisnya hati ibu bapa. Apabila sedar dengan hakikat ini, aku seperti mahu menangis. Perasaan bersalah menyelubungi diri. Adakah aku mementingkan diri? Adakah aku anak yang derhaka?

Aku tidak lagi berbincang mengenai hal ini. Namun, dalam doaku setiap kali selepas solat, aku meminta kepada Allah agar memberikan yang terbaik buat diriku, agamaku serta keluargaku. Jika perkahwinan itu yang terbaik, berilah kemudahan kepadaku, walau dengan apa cara pun yang Engkau kehendaki. Namun, jika ada yang lebih baik daripada itu, maka, Engkau permudahkanlah jalan itu, dengan apa cara pun yang Engkau kehendaki.

Hidup diteruskan seperti biasa. Aku sibuk menghadiri dan menganjurkan program-program musim panas. Program-program predeparture, usrah-usrah, ziarah meminimumkan lagi masa aku di rumah. Namun, emak dan abah tidak pernah menghalangku. Mereka tahu, anak mereka melakukan perkara yang baik. Namun aku tahu, jauh di sudut hati mereka, mereka sedih sebab semakin masa bersama anak mereka.

Ibu bapa kita paling faham dan mengenali diri kita. Jika mereka tidak membenarkan kita berkahwin, pasti ada sebabnya. Namun, saban kali, si anak gagal untuk menafsir tanda kasih sayang ibu bapanya. Bagi anak, ibu dan bapa hanya mahu mengawal hidupnya. Oh, dangkalnya pemikiran si anak. Jika ini berlaku terhadap anda, berlapang dadalah. Cubalah cari waktu dan keadaan yang sesuai untuk bertanya mereka, apakah yang mereka nampak pada kita.

Sepanjang keberadaanku di rumah, dengan masa yang sedikit itu, aku cuba mengoptimakan masa dengan keluarga. Aku mengurangkan menonton televisyen dan duduk di depan laptop, sebaliknya masa yang ada digunakan untuk berborak dan bermanja dengan ibu dan bapa. Mungkin ada yang kata, gelilah nak bermanja-manja ni, tak jantan lah. Ah, peduli apa, aku rasa dengan ibu bapalah orang yang patut kita manja sekali, bukan dengan awek atau sesiapa sahaja yang kita tiada kewajipan pun.

Allah maha berkuasa atas segala-galanya. Dipendekkan cerita, aku pulang ke UK awal, waktu itu memang sudah menyimpan hasrat berkahwin itu. Sudah tidak mengharap keajaiban akan berlaku. Tetapi apabila Allah telah menetapkan ianya berlaku, mudah sahaja bagiNya. Suatu petang, ketika bulan Ramadhan, abah menelefonku menggunakan Skype. Abah berkata, baliklah, kita langsungkan perkahwinan lepas Raya ni.

.....

Aku rasa macam salah dengar ni. Urm, ni bertunang ke kahwin?

Dua-dua, abah jawab. Belilah tiket balik.

Masih dalam keadaan separa sedar, aku membeli tiket Emirates pulang ke Malaysia. Hanya 4 hari sebelum penerbangan sahaja aku beli tiket, namun Alhamdulillah, dapat tiket harga lebih kurang £400 sahaja.


Jadi, dipendekkan lagi cerita yang dah pendek ni, pernikahan dan perkahwinanku berjalan dengan lancar (perkara-perkara birokrasi seperti dokumen dan sebagainya tu, aku taknak cerita sekarang, nak tulis post lain pasal ni).

Jadi, apa pengajarannya?

1) Berboraklah mengenai perancangan masa depan anda dengan ibu bapa anda, walaupun anda rasa awal lagi untuk membincangkannya. Jadi, anda tidak akan rasa janggal apabila hendak serius mengenainya.

2) Sediakanlah perancangan kewangan, akademik serta masa anda dengan baik, seelok-eloknya ditulis dalam satu dokumen dengan kemas. Kalau anda nak merancang eksperimen anda pun dah buat elok-elok, ini pula nak merancang kehidupan. Lebih baik jika perancangan ini dirangka bersama-sama dengan pasangan lebih dewasa yang sudah berkahwin, yang mungkin mempunyai lebih pengalaman. supaya perancangan anda ini realistik dan mampu dilaksanakan.

3) Jangan emosi atau naik angin apabila mendapat tentangan ibu bapa. Dalam kita hendak menjalankan sunnah perkahwinan, jangan sampai ditinggalkan kewajipan mentaati ibu bapa.

4) Sayangilah dan hargailah ibu bapa kita. Mereka tidak boleh diganti

5) Doa senjata mukmin. Sentiasalah doa mohon perlindungan daripada perkara yang tidak bermanfaat bagi agama dan diri kita. Pohonlah, luahkanlah kepada Allah segala yang terbuku dalam hati. Allah sentiasa mendengar luahan dan rintihan hambaNya.

Mak, abah, terima kasih atas kasih sayang selama ini. Tidak terbalas jasa dan kasih sayang mak dan abah. Terima kasih kerana meredhai malah amat membantu perkahwinan kami. Kami sayang mak dan abah!!!

Wallahu'alam. Moga bermanfaat.



Photobucket

15 comments:

Muizz said...

Subhanallah..moga sentiasa dalam kekuatan.

AriFrukAi!! said...

huhu menarik ^^ btw selamat mengerjakan ibadah umrah :D

skieyn said...

semoga kita tergolong dalam golongan anak-anak yang menyenangkan hati ibu bapa

kyo_9 said...

Entri yang terbaik..
tp sape yg carikan pasangan tuh ek??

marisa said...

waahhh kagum :)

izxfar said...

thanks for sharing... ia boleh dijadikan sbg rujukan... so jom lobi MakAyah dulu sblm kahwin...

raja izni munirah omar said...

wah!..bagusnye...

Effy Saiful said...

just had the chance to read the post.

alhamdulillah, u have been blessed in this department. Allah has made it easy for u.

Please pray for us. May Allah bestow us with His precious gift as He has given u.

Seronok dgr kisah Jpah ;)

Doakan sy bertemu jodoh lekas juga. Liat betul neh. hehe

Anonymous said...

salam, jpah....bila enta kawin ea??tahun lps??ke dua tahun lps??

hidayahjamal said...

tahniahla dah kawen, baru terbaca, terkejut jugak bila dibaca satu persatu ayat yang jpah cerita kan

Anonymous said...

alhamdulillah,
semoga ana diberi kekuatan ketabahan kenikmatan seperti antum

Anonymous said...

salam, boleh tahu macam mana dokumen perancangan akademik, kewangan yang boleh dijadikan rujukan? bakal ayah mertua saya mahukan kami merancang dalam bentuk dokumen..mungkin boleh dikongsikan

Jpah said...

Untuk perancangan akademik, bolehlah dibuat dalam bentuk perancangan mingguan, bahagikan dan tunjukkan dengan jelas berapa banyak masa digunakan sehari untuk ulangkaji, rehat dan bersama isteri.

Untuk kewangan, buat dalam bentuk akaun bulanan, tulis perbelanjaan dan pendapatan, pastikan pendapatan lebih daripada perbelanjaan. Untuk memudahkan perancangan, dicadangkan untuk berbincang bersama orang yang sudah berkahwin supaya perancangan itu lebih realistik.

Wallahu'alam

Farahdina said...

SubhanAllah. Teringat masa minta izin dengan parents nak kahwin dulu.Umur baru 19 masa tu nak kahwin, macam-macam yang orang tua kita fikirkan. Takut itu takut ini, tapi kalau Allah dah tulis ada jalannya.
Rasanya kita pernah terserempak di Imperial masa saya teman suami saya ambil kad matrik. Suami saya buat master Phd dan sekarang Cfd di sana.Alhamdulillah saudara dah selamat pulang ke Malaysia. Doakan kami pula.

fizah said...

assalam..
thanks for sharing..semoga dapat menjadi pedoman pada diri ini..syukran..