>

Friday, December 24, 2010

Majlis Perpisahan

بسم الله الرحمن الرحيم

Sudah hampir 2 minggu merancang dan terus merancang. Secara jujurnya, aku tidaklah terlibat secara menyeluruh dalam perancangan ini, namun sekadar membantu apa yang aku mampu. Jadi, aku tidak pun melibatkan diri dalam perbincangan dan persediaan.

Pada asalnya, aku diminta oleh Dzuhair dan rakan-rakan untuk menyediakan suatu video khas untuk membuat majlis kejutan untuk ustaz Erfino yang bakal menamatkan perkhidmatan beliau selaku atache pendidikan hujung tahun ini. Jadi, aku pun sekadar menyerahkan video 27 minit yang aku buat untuk ustaz Erfino. Namun, menjelang pagi ini, aku dihubungi sekali lagi oleh Dzuhair untuk memendekkan video tersebut kepada lebih kurang 10 minit. Jadi, dengan berat hati, aku mengedit kembali video menggunakan Sony Vegas.

Alhamdulillah, selamat dirender dan terus aku bergegas ke MSD untuk menghadiri majlis. Sesampainya aku di MSD, aku diminta oleh Dzuhair ke bilik belakang Malaysia Hall untuk mencuba video itu. Terkejut aku melihat skrin TV besar di situ. Rupa-rupanya, daripada menggunakan LCD Projector untuk memancarkan visual, hari ini, mereka akan menggunakan TV besar ini untuk memancarkan video.

Selepas bacaan Yaasin dan tahlil yang diketuai ustaz Erfino, seperti biasa, ustaz bersedia untuk membuka kitab untuk memberikan tazkirah beliau. Kemudian, En Shahrul (Pegawai MSD) meminta ustaz mikrofon tersebut. Keadaan menjadi sedikit bercelaru. Apakah yang sedang berlaku?


Ketika itu, aku dan beberapa rakan lain mengangkat masuk TV besar itu ke dalam dewan. Semua macam rasa tidak percaya dengan apa yang berlaku, apakah TV besar ini?

Kemudian, Dzuhair menenangkan hadirin. Katanya, ini adalah kejutan buat ustaz, sempena pemergian ustaz pulang ke Malaysia. Dzuhair berceloteh sejenak sebelum tayangan video 7 minit yang menonjolkan aktiviti-aktiviti ustaz selama 4 tahun berada di sini.

Selepas habis tayangan video, Dzuhair meminta wakil-wakil komuniti London untuk berucap. Aku terkejut apabila aku dipanggil sebagai orang pertama untuk memberikan ucapan mewakili wakil pelajar. Aku ni dah la memang 'failed' bab public speaking, lagi-lagi kalau tak bersedia. Mujur ni hanya ucapan perpisahan, jadi bolehla goreng kejap. Selepas melalut ke sana ke mari, beberapa individu lain pula seperti Abang Din, Uncle Kas yang memberikan ucapan.

Kemudian, aku sekali lagi dipanggil untuk menyampaikan hadiah kepada ustaz dan keluarga. Abang Din dipanggil untuk menyampaikan hadiah buat anak-anak ustaz berupa Ipod Shuffle setiap seorang. Kemudian, Puan Normah pula menyampaikan beg LV kepada ustazah yang sedang berbadan dua ^_^. Aku pula dipanggil untuk menyampaikan hadiah berupa iphone 4 untuk ustaz Erfino sendiri.

Aku setelah menyampaikan Iphone 4 kepada ustaz


Kemudian, ustaz Erfino diminta untuk berucap di hadapan. Beberapa kali ustaz terhenti dari bercakap, menahan air mata yang bergenang. Kadangkala, terdengar suara ustaz bergetar, menahan sebak di dada. Mungkin 4 tahun keberadaan beliau di UK dan Eire ini, terlalu banyak yang telah beliau rasai, manis, pahit, masam dan masin, jadi sudah tentu terlalu banyak kenangan dan rakan-rakan yang akan beliau rindui apabila pulang nanti.

Daripada aku dan rakan-rakan, semoga berbahagia ustaz dan famili di Malaysia nanti. Moga ukhwuah yang terbina selama ini akan berkekalan. Moga kita dapat bertemu lagi.

Jangan ucapkan selamat tinggal, tetapi ucapkanlah semoga bertemu lagi

Terima kasih, ustaz Erfino....


Photobucket