>

Saturday, November 12, 2011

Hobi Baru

بسم الله الرحمن الرحيم

Kami mempunyai hobi baru, iaitu membela Hamster. Lebih Spesifik, Hamster Roborovski.

Semuanya bermula apabila kami pergi ke Carrefour Ampang untuk membeli barang runcit. Masuk saja ke pasaraya, jalan terus lalu pandang ke kanan, ada satu sudut haiwan peliharaan. Yang ada di situ tak banyak, ada arnab, kura-kura serta hamster. Beberapa jenis hamster dijual, Syrian Hamster, Roborovski serta Winter White hamster. Aku memang suka melihat binatang-binatang ni, jadi memang enjoy bila tengok hamster ni berlari-lari.

Jadi, kami pun terpengaruh lalu berkeputusan untuk membela hamster. Lebih-lebih lagi, ada promosi, beli 1 Roborovski, percuma satu. Kami pun mengambil peralatan; sangkar, serbuk kayu sebagai lantainya, makanan dan permainannya lalu kami memilih hamster jenis Roborovski yang paling kecil serta paling aktif. Maklumlah, nak tengok dia bersuka ria lah. Takkan nak tengok dia tidur je.


Hari ini, cukuplah 3 minggu kami memelihara 2 ekor hamster ini. Setiap hari, kami akan tengok dan main-main dengannya. Hamster Roborovski ni memang aktif sangat dan terkenal sebab amat sukar nak jinakkannya. Setiap kali aku nak bersihkan sangkarnya, mesti berlari-lari ketakutan dua ekor ni.

Aku masih ingat, ketika pertama kali nak bersihkan sangkarnya, aku cuba menangkap kedua-dua ekor ni, bukan main susah. Hampir setengah jam jugak aku berusaha. Dan seekor terlepas ke dalam rumah. Menjerit-jeritlah semua dalam ruang tamu tu. Hamster ni bukan main laju, mujur dengan ketangkasanku ini, berjaya menangkap kembali hamster yang terlepas tu. Nak kena rotan ni, nakal!

Makanan kesukaan mereka ni adalah kuaci hitam. Kalau letak sesudu pada awal pagi, menjelang petang dah habis. Selain kuaci, aku juga turut meletakkan jagung, biji gandum serta beberapa kekacang lain untuk mendapatkan nutrisi seimbang demi kesihatan yang berpanjangan.

Bersihkan sangkar pun, bukanlah susah. Sekarang, dalam 15 minit, aku dah boleh siap bersihkan sangkar dan peralatannya, termasuklah proses menangkap mereka. Bersihkan sangkar pulak, dalam seminggu, dua kali.

Suka sebenarnya setiap kali kami memerhatikan haiwan peliharaan kami ini. Maklumlah, makhluk kecil ini sentiasa bertasbih kepada Allah, sesekali tengok mereka, refleksi diri kembali, sudah berapa banyak kita mengingati Allah hari ini.

Firman Allah:

http://c00022506.cdn1.cloudfiles.rackspacecloud.com/17_44.png
Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.
(al-Isra': 44)


Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda bahawa seekor semut telah menggigit seorang Nabi. Kemudian Nabi tersebut memerintahkan supaya dibakar sarang semut tersebut. Lalu dibakar dan terbakarlah sarang sebut bersama sekalian semut di dalamnya. Maka Allah mewahyukan kepadanya, "Adakah hanya kerana seekor semut menggigitmu maka engkau memusnahkan keseluruhan umat yang sentiasa bertasbih kepada Tuhannya?" -Hadis Riwayat al-Bukhari, Abu Daud, An-Nasaai dan Ibn Hibban.


Membela haiwan peliharaan ini boleh menjadi suatu ibadah dan boleh juga menjadi sebab dibakar ke dalam api neraka. Jika kita menjaganya dengan baik, memberikan segala keperluannya, sudah tentu akan diganjarkan dengan pahala. Bukankah itu yang ditunjukkan oleh Abu Hurairah sehingga digelar 'Bapa Kucing'?

Namun, peringatan, andai diri tidak mampu menjaga dengan baik, usahlah memelihara haiwan tersebut. Risau takut kita dimasukkan ke dalam neraka kerana mengabaikan tanggungjawab kita memelihara hak haiwan. Masihkah kita ingat kisah ini:

"Seorang wanita di siksa kerana seekor kucing yang dia kurung sampai mati. Dia masuk Neraka kerananya. Dia tidak memberinya makan dan minum sewaktu. Mengurungnya. Dia tidak pula membiarkannya makan serangga bumi." (Bukhari)


Moga hobi kami ini mendekatkan lagi diri kami kepada Allah.

Photobucket

No comments: