>

Thursday, November 10, 2011

2 bulan bekerja

بسم الله الرحمن الرحيم

5 September 2011. Tarikh keramat aku memulakan kehidupan yang baru dengan bergelar seorang pekerja. Perubahan status ini perlu juga disertai dengan perubahan pemikiran atau 'mindset' daripada seorang yang bergelar pelajar kepada seorang yang bergelar pekerja. Jika dahulu kita sebagai pelajar, kita hanya perlu menjawab soalan yang sudah ada jawapannya. Tetapi kini di alam pekerjaan, tidak semua permasalahan itu sudah ada jawapannya. Kitalah yang perlu mencari jawapan.


Mengimbau kembali 2 bulan lepas sewaktu hari pertama aku mendaftarkan diri sebagai pekerja di sebuah syarikat bernama Permodalan Nasional Berhad. Macam-macam difikirkan. Aku yang berkelulusan Bioteknologi akan mula bekerja dengan syarikat pelaburan dan kewangan. Apakah yang bakal aku hadapi? Persoalan yang lebih penting, adakah aku MAMPU hadapi perubahan yang ketara ini?

Manusia yang tidak berubah umpama air yang tidak mengalir, dia hanya akan mengotori usianya

Sejak di universiti lagi, kami (para pelajar tajaan PNB) telah dimaklumkan bahawa kami tidak akan melakukan apa yang kami pelajari di universiti sewaktu bekerja nanti. Jadi, dari hari pertama lagi aku sudah meletakkan jauh-jauh hasrat untuk bekerja di bidang sains. Aku cuba untuk meminati kewangan. Sedikit demi sedikit.


2 bulan yang pertama ini kami diisi dengan kelas. Terdapat kelas kewangan, kelas perundangan serta kelas pembinaan kendiri. Secara peribadi, aku 'enjoy' masa aku di dalam kelas, mungkin sebab aku masih berada di dalam zon selesa aku bersama rakan-rakan yang aku kenal sejak di KYUEM lagi. Kelas kami riuh dengan jenaka rakan-rakan, gelak tawa pemecah keletihan duduk seharian di dalam kelas. Yang paling suka adalah bila masuk gaji. Mengenangkan apa yang kami buat, iaitu duduk menuntut ilmu, bayaran gaji itu dirasakan tinggi berbanding tenaga yang kami gunakan.

Hari ini 10 November 2011. Setelah 2 bulan berada di PNB, aku kini ditempatkan sementara waktu di Private Equity Resource Corporation (PERC) anak syarikat milik PNB bersama rakan-rakan yang lain yang turut berlatarbelakangkan biologi dan sains, iaitu Amir Faiz, Amila dan Aisha Fath. Suasana kerja yang sebenar mula dirasai. Serius, senyap dan semua fokus, tiada lagi hingar bingar keceriaan rakan-rakan kami. Aku duduk bersebelahan Apen di sini, membaca dan meneliti proposal dan mendapatkan maklumat mengenai syarikat-syarikat berkaitan.

Kami perlu lebih banyak belajar, amat banyak perkara yang kami tidak tahu.

Ya, belajar itu tidak akan berhenti.

Photobucket

No comments: