>

Tuesday, August 9, 2011

Malaysia tanah airku tercinta

بسم الله الرحمن الرحيم

Telah hampir sebulan aku kembali menjejakkan kaki ke tanah air tercinta Malaysia. Kehangatan udara sesampainya aku di KLIA menusuk rindu yang teramat sangat kepada tanah air ini. Hampir setahun diselimuti kesejukan bumi UK, akhirnya, aku kembali ke dalam kehangatan bumi Malaysia. Tarikh keramat 9 Julai merupakan tarikh aku kembali 'for good' ke Malaysia, selain terjadinya BERSIH 2.0. Jika ada rezeki, insyaAllah akan bertandang kembali ke UK.

Sebulan ini, banyak juga yang terjadi di mana elok juga untuk aku nukilkan di sini supaya tidaklah aku lupa apa yang berlaku sekelilingku.

Sekembalinya aku ke tanah air, orang duk membincangkan tentang BERSIH 2.0, baik daripada kerajaan mahupun pembangkang. Apa impaknya, samada positif atau negatif, siapa ditangkap dans ebagainya. Sekali lagi, kita memperhatikan keganasan pihak polis yang tidak semena-mena menyerang dan mewujudkan provokasi dalam demonstrasi aman itu. Melalui siaran al-Jazeera juga, dapat didengari polis-polis mengucapkan kata-kata kesat dan kasar kepada para peserta demonstrasi. Ini tidak kira lagi serangan meriam air mereka ke arah hospital Tung Shin, di mana pada awalnya mereka menidakkannya, namun, para doktor bangkit menyatakan pendirian mereka. Seorang peserta meninggal dunia dan ramai lagi yang luka-luka.



Kemudian, aku menyertai dua pre-departure tersohor, iaitu WOW dan MOC. WOW tahun ini dibarisi oleh penceramah seperti UZAR, ustaz Zamri dan ustaz Ridha manakala MOC seperti biasa, diisi dengan ceramah ustaz Hasrizal selain ustaz Erfino dan Fawwaz anak Dr Lo' Lo'. Seperti tahun-tahun lepas, selain ceramah yang penuh bermanfaat dan menyeronokkan, permainan dan ukhuwah yang diisi dalam program turut menceriakan suasana. Moga kualiti kedua-dua program ini terus bertambah dari tahun ke tahun.

Ramadhan pula menjelma. Tahun ini kelainan utama adalah aku menyambutnya dalam keadaan mempunyai teman hidup. Maka, ada peneman ke sana ke mari dan tidaklah bosan. Moga amalan kami bertambah terutama dalam madrasah tarbiyah Ramadhan ini.

Baru-baru ini pula, kita dikejutkan dengan keganasan yang berlaku sekitar London dan beberapa bandar lain di United Kingdom. Terkejut kerana beberapa tempat yang dinyatakan dalam berita adalah tempat yang amat aku 'familiar'. Lebih terkejut apabila ada klip rakaman video seorang pelajar Malaysia yang cedera akibat perbuatan golongan tidak bertanggungjawab ini. Moga semua rakan-rakan di London selamat dan semoga keadaan akan kembali aman.



Itu dahulu nukilan untuk sebulan sekembalinya aku ke Malaysia. Sayang rasanya apabila banyak perkara tidak aku tulis di sini dan kenangannya kadang-kadang sudah reput dimamah usia. Moga aku diberi kekuaran dan kerajinan untuk terus menulis saat-saat perjalanan kehidupanku untuk aku sendiri baca pada masa hadapan nanti.

Photobucket

1 comment:

Dewi Aja said...

Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website kami www.kumpulbagi.com atau www.facebook.com/kumpulbagi/ untuk info selengkapnya.

Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto, music, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)