>

Thursday, April 7, 2011

Kembara bumi Anbiya': Part 1

بسم الله الرحمن الرحيم

Kapal terbang EgyptAir yang kami naiki mendarat dengan selamat di Jeddah pada tengahari Ahad, 27 Mac 2011. Pada asalnya, sepertimana yang tertulis di dalam tiket, kami akan turun dan ditempatkan di Terminal N (Foreign Airlines Terminal). Buat pengetahuan, di lapangan terbang antarabangsa Jeddah, terdapat 3 terminal; Terminal S (Saudi Airlines), terminal N (Penerbangan lain) serta Terminal Haji (dibuka pada musim haji).

Heathrow

Beberapa penumpang lain di dalam penerbangan yang sama turut memakai ihram dan kami sama-sama bertalbiyah.

لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ، لاَ شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ، إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ
Aku memenuhi panggilanMu ya Allah aku memenuhi panggilanMu. Aku memenuhi panggilanMu tiada sekutu bagiMu aku memenuhi panggilanMu. Sesungguhnya pujaan dan ni’mat adalah milikMu begitu juga kerajaan tiada sekutu bagiMu

Turun sahaja dari kapal terbang, kami menaiki bas lalu dibawa ke sebuah bilik menunggu.

Aku pun menelefon individu yang sepatutnya bertanggungjawab menguruskan kami sepanjang perjalanan kami di Makkah dan Madinah. Tetapi, ketika aku bertanyakan seorang pegawai di lapangan terbang itu, dia berkata bahawa kami sekarang ditempatkan di Terminal Haji. Kami menunggu dan terus menunggu. Hampir sejam juga kami dikehendaki menunggu dalam bilik itu. Entah menunggu apa, aku pun tidak tahu. Kemudian, seorang pegawai mengarahkan kami untuk menuju ke imigresen. Maka, berkejaranlah semua penumpang untuk keluar dari bilik itu. Mujurlah aku dan Ajah muda lagi, kami berjalan agak laju dan terkehadapan berbanding pakcik dan makcik lain. Kami terus menuju ke kaunter imigresen dan dapat nampak lautan manusia beratur di situ. Mungkin ini sebabnya mereka mengasingkan dahulu kami, nak bagi keadaan terkawal rasanya.

Kami antara orang pertama di kalangan penumpang dalam penerbangan kami. Namun, sedang kami beratur menunggu giliran kami dengan penuh hemat, tiba-tiba lambakan manusia yang di belakang kami itu semberono sahaja memintas kami dan tidak beratur. Allah. Entahlah, tidak pasti samada ini adalah budaya mereka atau bukan, tapi akhirnya, walaupun kami orang pertama beratur, tetapi akhirnya kami menjadi orang terakhir yang melalui kaunter imigresen. Sedikit geram di dalam hati, namun aku bersabar, takut pahala umrah tercalar dengan begitu sahaja.

Keluar sahaja daripada lapangan terbang, aku mencari-cari agenku. Oh, tiada! Cari dan terus mencari. Tidak juga berjumpa. Satu nombor telefon yang tidak dikenali menelefon. Beliau adalah pemandu yang sepatutnya bertanggungjawab memandu kami ke Makkah. Namun, disebabkan beliau berbahasa Inggeris dengan nada Urdu, maka, aku sukar memahaminya. Lama juga kami berkeliaran di luar lapangan terbang itu mencari pemandu. Namun, tidak ku jumpa. Aku berdoa dalam hati, moga Allah permudahkan perjalanan kami. Kemudian, beberapa pemandu teksi bertanyakanku ke mana arah tujuku. Mereka melihat passportku dan berbincang sesama mereka tanpa aku fahami. Kemudian, datang seorang pakcik yang pakaiannya sedikit lain mungkin statusnya yang lebih tinggi daripada orang lain. Pakcik ini berkata dia akan menghantar kami kepada pemandu kami. Alhamdululillah, rupa-rupanya pemandu kami berada di luar lapangan terbang dan beliau yang asalnya ingat kami turun di terminal N, tidak dapat masuk ke Terminal Haji kerana menggunakan kereta biasa (hanya teksi dan bas dibenarkan masuk ke Hajj Terminal).


Perjalanan ke Makkah tidak lama. Lebih kurang sejam sahaja. Ditambah dengan kesesakan jalan sedikit, mungkin sejam setengah. Disebabkan kami keletihan, kami tertidur dengan damainya. Risau juga dengan keadaan pemanduan di Saudi ni. Ke hulu ke hilir kereta menyusup dengan laju, bunyi hon tu, macam irama dan lagu sahaja di sini, tak payah nak pasang radio dah!

Apabila masuk ke kota Makkah, hati makin tidak sabar. Ingin melihat Baitullah. Ingin melihat Kaabah. Nampak sahaja papan tanda menunjukkan arah Masjidil Haram, aku semakin teruja. Pakcik, tolongla drive laju sikit (padahal dah cukup laju).

Kami melalui Bab as-Salam dengan kereta. Ternampak gahnya dan indahnya pintu Masjidil Haral dari dalam kereta (Kaabah tidak nampak dari luar). Kami terus dibawak ke hotel kami, terus disambut oleh Hafiz Emad, seorang warga Bangladesh yang menetap di Makkah. Beliau menunjukkan kami bilik kami, lalu terus meminta kami bersiap untuk solat Asar. Jarak antara hotel dan Masjidil Haram hanya 5 minit berjalan kaki sahaja. Kami sedikit terlambat untuk ke Solat Asar, jadi, keadaan di Masjidil Haram sudah amat penuh, kami hanya mampu solat di luar sahaja, sebab jemaah sudah bermula ketika kami sampai. Oh, kecewa, baru ingat nak masuk tengok Kaabah. Namun, hasrat ini masih tersimpan lagi. Hafiz membawa kami ke tempat tukaran wang.

Kadar tukaran wang di sini jauh lebih untung berbanding andai tukar di UK. Di UK, tukaran matawang adalah 5.75 Riyal untuk satu Pounds, tetapi di Makkah, 5.97 untuk satu Pounds. Jadi, tips untuk mereka yang bakal ke tanah suci dari UK, aku cadangkan, tukar sedikit je wang di UK, selebihnya bawa dalam Pounds dan tukar di Makkah. Kemudian, Hafiz membawa kami ke restoran untuk makan. Alhamdulillah, makanan pertama yang kami beli adalah nasi beriyani berharga 18 riyal. Namun, sungguh banyak dan cukup untuk makan 2 orang, untuk 2 kali makan!

Hafiz meninggalkan kami untuk menyelesaikan umrah. Katanya, esok, selsai umrah, awal pagi, ada pemandu akan jemput kami untuk ziarah sekitar Makkah. Jadi, target kami untuk malam ini adalah untuk menyelesaikan umrah kami dahulu dan bertahallul daripada keadaan berihram. Kami bergegas ke Masjidil Haram. Kami masuk melalui pintu King Abdul Aziz. Kasut kami diletakkan di dalam kantung dan dibawa masuk ke dalam masjid, ini bagi mengelakkan kasut hilang. Langkah diatur satu persatu. Aku dapat nampak sedikit demi sedikit, binaan di tengah-tengah Masjidil Haram tersebut. Hati semakin tidak sabar dan teruja. Aku keluar ke bahagian lapang di tengah masjidil haram, selautan manusia yang amat ramai sedang melakukan tawaf mengelilingi Kaabah, pusat kiblat umat Islam. Oh, inilah dia pusat kiblat tempat aku bersolat selama ini.



Ihram ditukar kepada posisi idtiba'. Kami terus bertawaf umrah. Keadaan agak sesak, terutamanya di sudut Hajarul Aswad. Namun, selepas itu sehinggalah ke Rukun Yamani, keadaan agak longgar. Alhamdulillah, kami selesai bertawaf umrah menjelang Maghrib. dalam 30 minit sebelum solat Maghrib, kelihatan pegawai-pegawai masjidil Haram sudah mula mengarahkan Muslimat untuk keluar daripada tawaf dan pergi ke tempat Muslimat. Mujur kami sudah dapat melengkapkan tawaf umrah kami. Lalu, kami berpisah sejenak untuk menanti solat Maghrib.

Bersambung....

Photobucket

1 comment:

JHaZ KiTaRo said...

salam kenal.. jemput la singgah my blog 'Aku Sebutir Pasir' kalau nak baca my experiences travelling ke 45 buah negara.. :)