Tuesday, June 28, 2011

Coretan Hari-hari Terakhirku di London

بسم الله الرحمن الرحيم

Sekarang aku berada di tingkat bawah perpustakaan Imperial College London, menanti ujian terakhirku sebelum tamat belajar, viva voce yang akan berlangsung kurang 2 jam dari sekarang. Buat pengetahuan, viva merupakan peperiksaan lisan dengan pemeriksa. Format viva yang akan aku lalui adalah aku akan bersama 2 orang pemeriksa yang akan bertanyakan soalan-soalan berkaitan dengan dissertation yang aku buat. Moga semuanya berjalan lancar.

http://www.realsoftwaredevelopment.com/WindowsLiveWriter/interview.jpg

Aku sedar, sudah amat lama tidak terusik blog ini. Tetapi, aku tergerak untuk mencatat saat-saat akhirku hidup sebagai pelajar di kota London. Ye lah, peluang belajar di sini ibarat suatu mimpi jadi kenyataan, aku sedar bukan mudah untuk mendapat peluang ni. Kelip mata, rasa 3 tahun tu sekejap sahaja. Kini aku sudah mahu pulang ke Malaysia menghadapi kehidupan realiti yang penuh mencabar.

Selepas keluar dari rumah 256 E Gloucester Terrace, aku kini menumpang rumah Hamid di 74 Lapworth Court yang juga merupakan rumahku tahun lepas. Teman serumahku Famy juga menumpang di rumah yang sama. Awal pagi tadi, aku sempat menelefon rumah di Malaysia menggunakan Skype dan dapat bercakap sebentar dengan keluarga. Terasa nak sangat balik Malaysia.

Jam 9:30 pagi, aku menunggu bas 414 menuju ke Putney Bridge. Kenangan dan memori silam menaiki bas ini tahun lepas terimbas kembali. Salinan projek di tanganku juga dibelek-belek sebagai persediaan akhir sebelum viva petang ini. Seperti biasa, sedikit kesesakan lalu lintas berlaku di sekitar Marble Arch. Ketika melalui hadapan Harrods, teringat kembali memori berjalan bersama isteri di sekitar itu.

http://i.telegraph.co.uk/multimedia/archive/01632/harrod-sale_jps_1632540c.jpg
Harrods

Entah mengapa, sindrom pelajar tahun akhir agaknya. Satu-satu kenangan daripada tahun pertama hinggalah kini terimbas kembali. Inilah jua sebabnya aku menulis kembali nukilan di blog ini. Bukan mengharap ada orang baca, sekadar untuk tatapan aku sekembalinya ke Malaysia nanti.

Photobucket

Monday, June 27, 2011

Apabila seniman mahukan politik BERSIH

بسم الله الرحمن الرحيم

Aku bukan orang bahasa. Bukan jua mahir menggunakan bahasa untuk menyatakan hasrat hati. Namun, aku suka menghayati karya orang yang pandai berbahasa. Boleh jadi ianya dalam bentuk cerita, artikel mahupun puisi. Aku percaya, dengan kemahiran bahasa, hati keras mampu dilembutkan, hati lemah mampu diteguhkan. Sejarah membuktikan, dengan bahasalah, risalah Islam disebarkan Bediuzzaman Said Nursi di Turki ketika sekularisme hebat melanda. Dengan bahasa jualah risalah Islam tersebar meluas di Mesir oleh Hassan al-Banna. Dengan penulisanlah yang menyumbat tokoh-tokoh negara ke dalam penjara era penjajahan British. Disebabkan penulisanlah tsunami pilihanraya 2004 menggila.

http://farm4.static.flickr.com/3049/2780716725_d69b183cb4.jpg

Hari ini, ketika membuka laman Malaysiakini yang merupakan rutin harianku, terbaca laporan mengenai penangkapan sasterawan negara, Datuk A. Samad Said oleh Polis Diraja Malaysia. Alasannya mudah, kerana terlibat dalam cubaan menghasut rakyat. Berita lanjut boleh dapat di sini. Semuanya gara-gara gelombang kuning BERSIH yang melanda negara, 2 minggu lagi bakal dilancarkan. Maka, seperti biasa, pembangkanglah yang nampaknya seperti orang jahat di dalam cereka ini. Merekalah yang kononnya bakal menimbulkan kekacauan, kerugian dan kekeruhan. Apa mereka tidak fikir, pembangkang inilah jua yang mahukan negara yang lebih baik, tiada korupsi dan lebih telus pilihanrayanya.

http://4.bp.blogspot.com/-0BPqPceTpU8/TfjFb_aOFPI/AAAAAAAABzE/tUNcH9ttKZ8/s1600/Bersih%2B2.jpg

Dahulu, pada tahun 1986, A. Samad Said dinobatkan selaku Sasterawan Negara. Aku percaya, gelaran ini bukan calang-calang. Aku percaya, yang dipanggil Sasterawan Negara ini adalah yang mampu mengekspresikan masalah rakyat. Aku masih ingat lagi bait-bait puisi beliau yang aku belajar sewaktu kelas Bahasa Inggeris di sekolah dahulu, "The Dead Crow". Luahan hati beliau dan kekecewaan atas pencemaran alam sekitar begitu jelas dan mudah sahaja untuk kita hayati. Itu dahulu, masalah pencemaran. Hari ini, masalah demokrasi negara, beliau tulis juga puisi yang mengekspresikan kekecewaan beliau, namun, lain pula jadinya. Sasterawan negara terus menjadi buruan polis Malaysia. Sedangkan apa yang diminta melalui puisinya hanyalah demokrasi yang telus. Bukankah itu yang kita semua mahukan?

George Santayana pernah berkata:

The degree in which a poet's imagination dominates reality is, in the end, the exact measure of his importance and dignity

Melalui karyanya, aku yakin A. Samad Said adalah sasterawan sebenar dan murni niatnya. Keberanian beliau menyatakan kebenaran selaku seorang sasterawan menunjukkan kualiti yang dimilikinya. Moga beliau terus tegas dan berani mempertahankan kebenaran.

Aku sertakan sekali puisi Unggun BERSIH dalam post ini, untuk kita menghayati seni berbahasa dan menghargai mesejnya:

Semakin lara kita didera bara—
kita laungkan juga pesan merdeka:
Demokrasi sebenderang mentari
sehasrat hajat semurni harga diri.

Lama resah kita—demokrasi luka;
lama duka kita—demokrasi lara.
Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi;
suara bebas yang utuh, kita idami!

Dua abad lalu Sam Adams berseru:
(di Boston dijirus teh ke laut biru):
Tak diperlu gempita sorak yang gebu,
diperlu hanya unggun api yang syahdu.

Kini menyalalah unggun sakti itu;
kini merebaklah nyala unggun itu.

Photobucket