Tuesday, June 28, 2011

Coretan Hari-hari Terakhirku di London

بسم الله الرحمن الرحيم

Sekarang aku berada di tingkat bawah perpustakaan Imperial College London, menanti ujian terakhirku sebelum tamat belajar, viva voce yang akan berlangsung kurang 2 jam dari sekarang. Buat pengetahuan, viva merupakan peperiksaan lisan dengan pemeriksa. Format viva yang akan aku lalui adalah aku akan bersama 2 orang pemeriksa yang akan bertanyakan soalan-soalan berkaitan dengan dissertation yang aku buat. Moga semuanya berjalan lancar.

http://www.realsoftwaredevelopment.com/WindowsLiveWriter/interview.jpg

Aku sedar, sudah amat lama tidak terusik blog ini. Tetapi, aku tergerak untuk mencatat saat-saat akhirku hidup sebagai pelajar di kota London. Ye lah, peluang belajar di sini ibarat suatu mimpi jadi kenyataan, aku sedar bukan mudah untuk mendapat peluang ni. Kelip mata, rasa 3 tahun tu sekejap sahaja. Kini aku sudah mahu pulang ke Malaysia menghadapi kehidupan realiti yang penuh mencabar.

Selepas keluar dari rumah 256 E Gloucester Terrace, aku kini menumpang rumah Hamid di 74 Lapworth Court yang juga merupakan rumahku tahun lepas. Teman serumahku Famy juga menumpang di rumah yang sama. Awal pagi tadi, aku sempat menelefon rumah di Malaysia menggunakan Skype dan dapat bercakap sebentar dengan keluarga. Terasa nak sangat balik Malaysia.

Jam 9:30 pagi, aku menunggu bas 414 menuju ke Putney Bridge. Kenangan dan memori silam menaiki bas ini tahun lepas terimbas kembali. Salinan projek di tanganku juga dibelek-belek sebagai persediaan akhir sebelum viva petang ini. Seperti biasa, sedikit kesesakan lalu lintas berlaku di sekitar Marble Arch. Ketika melalui hadapan Harrods, teringat kembali memori berjalan bersama isteri di sekitar itu.

http://i.telegraph.co.uk/multimedia/archive/01632/harrod-sale_jps_1632540c.jpg
Harrods

Entah mengapa, sindrom pelajar tahun akhir agaknya. Satu-satu kenangan daripada tahun pertama hinggalah kini terimbas kembali. Inilah jua sebabnya aku menulis kembali nukilan di blog ini. Bukan mengharap ada orang baca, sekadar untuk tatapan aku sekembalinya ke Malaysia nanti.

Photobucket

Monday, June 27, 2011

Apabila seniman mahukan politik BERSIH

بسم الله الرحمن الرحيم

Aku bukan orang bahasa. Bukan jua mahir menggunakan bahasa untuk menyatakan hasrat hati. Namun, aku suka menghayati karya orang yang pandai berbahasa. Boleh jadi ianya dalam bentuk cerita, artikel mahupun puisi. Aku percaya, dengan kemahiran bahasa, hati keras mampu dilembutkan, hati lemah mampu diteguhkan. Sejarah membuktikan, dengan bahasalah, risalah Islam disebarkan Bediuzzaman Said Nursi di Turki ketika sekularisme hebat melanda. Dengan bahasa jualah risalah Islam tersebar meluas di Mesir oleh Hassan al-Banna. Dengan penulisanlah yang menyumbat tokoh-tokoh negara ke dalam penjara era penjajahan British. Disebabkan penulisanlah tsunami pilihanraya 2004 menggila.

http://farm4.static.flickr.com/3049/2780716725_d69b183cb4.jpg

Hari ini, ketika membuka laman Malaysiakini yang merupakan rutin harianku, terbaca laporan mengenai penangkapan sasterawan negara, Datuk A. Samad Said oleh Polis Diraja Malaysia. Alasannya mudah, kerana terlibat dalam cubaan menghasut rakyat. Berita lanjut boleh dapat di sini. Semuanya gara-gara gelombang kuning BERSIH yang melanda negara, 2 minggu lagi bakal dilancarkan. Maka, seperti biasa, pembangkanglah yang nampaknya seperti orang jahat di dalam cereka ini. Merekalah yang kononnya bakal menimbulkan kekacauan, kerugian dan kekeruhan. Apa mereka tidak fikir, pembangkang inilah jua yang mahukan negara yang lebih baik, tiada korupsi dan lebih telus pilihanrayanya.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhDfQucwdkVAxBUWQWssEZk17ow_-lQXEcqLBtd1Q5vhU8sv836xq2Hbbis2-J4H50LqQl3HswOFIkzGYj5Oyz_ZZDR6HCWOzuIFQ41zH9KEgjrcyhJ7oX_8NWLfLMgPIOya8LrwaXzT6qb/s1600/Bersih+2.jpg

Dahulu, pada tahun 1986, A. Samad Said dinobatkan selaku Sasterawan Negara. Aku percaya, gelaran ini bukan calang-calang. Aku percaya, yang dipanggil Sasterawan Negara ini adalah yang mampu mengekspresikan masalah rakyat. Aku masih ingat lagi bait-bait puisi beliau yang aku belajar sewaktu kelas Bahasa Inggeris di sekolah dahulu, "The Dead Crow". Luahan hati beliau dan kekecewaan atas pencemaran alam sekitar begitu jelas dan mudah sahaja untuk kita hayati. Itu dahulu, masalah pencemaran. Hari ini, masalah demokrasi negara, beliau tulis juga puisi yang mengekspresikan kekecewaan beliau, namun, lain pula jadinya. Sasterawan negara terus menjadi buruan polis Malaysia. Sedangkan apa yang diminta melalui puisinya hanyalah demokrasi yang telus. Bukankah itu yang kita semua mahukan?

George Santayana pernah berkata:

The degree in which a poet's imagination dominates reality is, in the end, the exact measure of his importance and dignity

Melalui karyanya, aku yakin A. Samad Said adalah sasterawan sebenar dan murni niatnya. Keberanian beliau menyatakan kebenaran selaku seorang sasterawan menunjukkan kualiti yang dimilikinya. Moga beliau terus tegas dan berani mempertahankan kebenaran.

Aku sertakan sekali puisi Unggun BERSIH dalam post ini, untuk kita menghayati seni berbahasa dan menghargai mesejnya:

Semakin lara kita didera bara—
kita laungkan juga pesan merdeka:
Demokrasi sebenderang mentari
sehasrat hajat semurni harga diri.

Lama resah kita—demokrasi luka;
lama duka kita—demokrasi lara.
Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi;
suara bebas yang utuh, kita idami!

Dua abad lalu Sam Adams berseru:
(di Boston dijirus teh ke laut biru):
Tak diperlu gempita sorak yang gebu,
diperlu hanya unggun api yang syahdu.

Kini menyalalah unggun sakti itu;
kini merebaklah nyala unggun itu.

Photobucket

Sunday, May 8, 2011

Hargai Ibu Kita

بسم الله الرحمن الرحيم

Hari ini orang duk sibuk ucap hari ibu. Namun, janganlah jadikan 'Hari Ibu' ini satu-satunya hari kita mengucapkan sayang dan menghargai ibu kita. Hargailah ibu kita sentiasa. Bermanjalah dengan mereka. Ucapkanlah ucapan sayang kepada mereka. Bukan sahaja pada hari ibu, tetapi hari-hari lain juga.

Bukan ketika hari ibu sahaja mereka adalah ibu kita. Tetapi setiap hari, mereka adalah ibu yang sentiasa rindukan kita.

http://c0022506.cdn1.cloudfiles.rackspacecloud.com/17_24.png
Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."
(al-Isra': 24)



Photobucket

Wednesday, May 4, 2011

MOC dan WOW

بسم الله الرحمن الرحيم

2-3 hari kebelakangan ini, riuh facebook dengan perukaran gambar profil serta status-status mengenai program pre-departure yang bakal dianjurkan sewaktu musim panas nanti. Banyak sungguh ayat-ayat kreatif yang keluar. Malah, ada yang sampai menulis pantun menantikan kedatangan program pre-departure tersebut. Contoh pantun:

Exam dah dekat, tak boleh dah dok lalai,
WOW dah dekat lagi la pulak,
Tak sabaq dok tunggu 22-25 Julai,
Manfaat untuk hidup di overseas kelak.


Sudah tentu, 2 program pre-departure di mana aku terlibat adalah MOC dan WOW. MOC merupakan program KYUEM turun temurun. Dalam program-program tarbiyah di KYUEM, MOC adalah program terakhir dan paling menyeronokkan. Daripada Muslim Youth Camp (MYC) kepada Muslim Leadership Camp (MLC) sehinggalah siri terakhir program tarbiyah bersiri Muslim Overseas Camp (MOC). MOC mempunyai objektif dan sasaran sendiri untuk melahirkan graduan MOC yang mempunyai kebolehan untuk survive di persekitaran asing dan baru, mempunyai daya keyakinan dan kepimpinan serta cakna dengan perkembangan dunia semasa. Setelah lebih 5 tahun berturut-turut aku menghadiri MOC, pelbagai ragam, suka dan duka telah aku lalui.

Catatan MOC 2010


ustaz Hasrizal (MOC 2010)


MOC 2009


MOC 2010

MOC 2010

WOW pula, tahun ini aku menjadi penasihat. Seumur hidupku, aku tidak pernah menghadiri WOW, samada sebagai peserta atau sebagai fasilitator. Setiap tahun, pasti jadualku diisi dengan menghadiri MOC, jadi, walaupun dah lama ingin ke WOW, hasrat itu masih belum mampu terlaksana. Tahun ini, WOW menampakkan sedikit kelainan apabila yang turut menganjurkannya adalah alumni BEE, alumni pelajar-pelajar Kolej Mara Banting. WOW sepertimana yang diketahui merupakan sebuah program IluvIslam yang lahir atas permintaan yang tinggi oleh pelajar-pelajar bukan KYUEM yang inginkan program seumpama MOC. WOW, sebagai sebuah program IluvIslam mempunyai kualitinya yang tersendiri. InsyaAllah tahun ini, aku berhasrat untuk menginfaqkan masaku menghadiri kedua-dua program, MOC dan WOW.

Jadi, apa tunggu lagi, marilah bersama MOC (untuk pelajar KYUEM) dan WOW. Anda pasti tidak akan menyesal.


Photobucket

Peperiksaan

بسم الله الرحمن الرحيم

Musim peperiksaan tiba lagi. Setelah tadi menulis berbelas muka surat untuk kertas Genetics and Genomics, tetiba rasa bersemangat pula nak menulis blog. Mungkin momentum menulis itu terbawa-bawa ke luar dewan peperiksaan.

Menjelang musim peperiksaan, kelihatan para pelajar, muda atau tua, semuanya mula nampak fokus dan bersungguh-sungguh mengulangkaji. Yang sibuk tengok filem dan main game, nampaknya telah insaf dan mula membuka lembaran nota dan buku yang berhabuk. Library yang sekian lama sunyi, mula dibanjiri kembali lautan manusia yang ingin mencari tempat terbaik untuk meneguk setitis ilmu Allah.

Aku bangun dengan agak berat pagi ini. Jadual peperiksaanku bermula hari ini, pada jam 2 petang waktu UK. Berat untuk bangun kerana hari ini perlu menjawab peperiksaan. Rasa pening kepala. Nota telah habis dibaca, namun biasalah, kerisauan masih ada. Itu lumrah mengambil peperiksaan. Walaupun dah lebih 10 tahun aku keluar masuk dewan peperiksaan, tidak pernah hilang rasa gemuruh setiap kali sebelum peperiksaan seterusnya.

Jam 2 petang. Ramai nampaknya telah berada di luar Great Hall, Sherfield Building, Imperial College. Walaupun ramai di luar dewan, keadaan tidak meriah, masing-masing menelaah buat saat-saat akhir. Mana tahu, perkara terakhir yang mereka lihat itu akan masuk dalam kertas soalan. Rezeki kan?

Pintu dewan peperiksaan dibuka.

Aku melangkah dengan perlahan memasuki dewan peperiksaan. Beg dan notaku diletakkan di belakang dewan, lalu aku berjalan ke arah mejaku.

Column 7, Row 3

Itu adalah koordinat kedudukanku di dalam dewan itu. Selain yang mengambil jurusan Bioteknologi, turut menghadapi peperiksaan bersama kami dalam dewan itu adalah pelajar jurusan Biologi. Salah seorang yang aku kenal adalah sahabat dari KYUEM, Masrizan. Beliau nampaknya telah bersedia untuk menjawab.

Kertas jawapan berwarna merah jambu di atas meja. Di sebelahnya, kertas soalan berwarna putih yang ditelangkupkan ke belakang. Aku mengambil tempat dudukku. Mulutku terkumat-kamit membaca surah al-Insyirah. Bait-bait surah itu begitu terkesan dengan situasiku yang amat cuak dan gelisah ini.

Hati gelisah. Ayat pertama surah al-Insyirah aku baca:

http://c0022506.cdn1.cloudfiles.rackspacecloud.com/94_1.png
Bukankah Kami telah melapangkan bagimu dadamu

Allah. Terkena sungguh ayat pertama ini pada diriku. Tenangkanlah hatiku ini ya Allah.

http://c0022506.cdn1.cloudfiles.rackspacecloud.com/94_2.png
Dan Kami telah meringankan daripadamu bebanmu

http://c0022506.cdn1.cloudfiles.rackspacecloud.com/94_3.png
Yang memberati tanggunganmu

http://c0022506.cdn1.cloudfiles.rackspacecloud.com/94_4.png
Dan Kami telah meninggikan bagimu sebutan namamu

http://c0022506.cdn1.cloudfiles.rackspacecloud.com/94_5.png
Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan

http://c0022506.cdn1.cloudfiles.rackspacecloud.com/94_6.png
bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.

http://c0022506.cdn1.cloudfiles.rackspacecloud.com/94_7.png
Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain),

http://c0022506.cdn1.cloudfiles.rackspacecloud.com/94_8.png
Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon

Ya Allah, permudahkanlah urusan peperiksaan kami. Golongkanlah kami dalam golongan orang yang berjaya di dunia dan di akhirat. Amin.

Peperiksaan dimulakan.

http://www.indiahealthtour.com/images/innerpages/pediatric_surgery/Genetics.jpg

Aku perlu menjawab 3 daripada 8 soalan. Tajuk peperiksaan pun Genetics and Genomics, sudah tentu soalan berkenaan DNA dan yang berkaitan dengannya. Tangan menulis bagai menggila, otak mencurah-curahkan kembali segala maklumat dan fakta yang dah disumbat ke dalamnya. Ibarat telah disumbat dengan dahsyatnya, begitulah juga dahsyatnya segalanya disembur keluar.

http://farm1.static.flickr.com/133/366958167_939986949c.jpg

3 jam terasa singkat sahaja. Alhamdulillah, cukup masa untuk menjawab semua soalan. Moga pemeriksa akan menjadi pemurah dan mudah sahaja memberikanku markah.

Dalam menghadapi peperiksaan, pelbagai persiapan dilakukan. Sebelum menjawab peperiksaan, pasti kita mahukan persiapan yang terbaik supaya mudah sahaja menjawab peperiksaan. Aku terfikir, dunia ini juga ibarat dewan peperiksaan di mana setiap daripada makhluk bernama manusia sentiasa diuji dan diperiksa. Namun, bukanlah ilmu biologi mahupun genetik yang diuji, tetapi keimanan dan ketaqwaan yang menjadi agenda.

Kita sering terlupa, kehidupan kita di dunia ini sementara. Dalam kesibukan untuk mempersiapkan diri dengan urusan duniawi, samada kerjanya, akademiknya, mahupun tugas-tugas lain, kita sering terlupa persiapan untuk ujian yang hakiki. Ujian selaku hambaNya.

Moga peperiksaan kali ini mengingatkan kita kembali status kita selaku hambaNya. Kita senantiasa diuji dan diuji. Jadi, apa pula persediaan kita untuk menghadapi soalan daripadaNya di akhirat kelak?

Photobucket

Tuesday, April 12, 2011

Kembara bumi Anbiya': Part 2

بسم الله الرحمن الرحيم

Masihkah anda semua ingat apa rukun-rukun umrah?

1. Berihram (Berniat melakukan umrah)
2. Tawaf
3. Sa'i
4. Tahallul
5. Tertib

Berbanding dengan haji, ibadah umrah secara relatifnya amat ringkas dan mudah. Selepas Maghrib, kami sudah selesai melakukan tawaf. Maka, tibalah masa untuk melaksanakan Sa'ie pula. Sepertimana yang pernah kita semua belajar suatu masa indah dahulu di sebuah tempat yang dinamakan sekolah, sepertimana yang kita pernah menjawab dengan cemerlang sewaktu peperiksaan.

Sai'e merupakan sebuah ibadat yang betitik tolak daripada peristiwa isteri Nabi Ibrahin, Hajar berulang alik antara Safa dan Marwah sebanyak 7 kali bagi mencari air minuman untuk anaknya, Nabi Ismail. Akhirnya, menurut pendapat para ulama', air zam-zam keluar daripada kaki Nabi Ismail. Agak jauh juga antara Safa dan Marwah ni, lebih kurang 750 m. Jika didarabkan dengan 7, kira sahajalah berapa jaraknya. Namun, hari ini, tempat Saie ni dah diubahsuai dan menjadi amat selesa. Sudah berbumbung dan sudah diratakan lantainya. Bahkan, ada dua tingkat sekarang ni. di sepanjang laluan Saie pula, sudah diletakkan banyak tempat minuman air zam-zam. Mungkin amat jauh bezanya dengan keadaan Hajar suatu ketika dahulu.

Apakah pengajaran daripada ibadat Saie ini?

Bagi aku, melalui sejarah ibadat Sai'e ini, kita diajar untuk berusaha bersungguh-sungguh di dalam kehidupan. Benar, tawakal kepada Allah itu suatu keperluan, tetapi usaha fizikal kita itu adalah suatu pra-syarat bantuan kepada Allah itu. Sedangkan umat Islam ketika zaman Nabi S.A.W. itu pun perlu pergi berperang untuk memenangkan agama Allah.

Selesai bersai'e, kami keluar ke luar untuk bercukur. Banyak kedai cukur ada di pintu keluar Marwah. Harganya lebih kurang 10-15 Riyal. Seafdhalnya, cukurlah sampai habis, namun jika betul-betul ada masalah andai bercukup, potonglah sedikit rambutmu itu. Selesai bercukur, maka, tamatlah umrah kami dan kami sudah tiada larangan ketika ihram lagi. Alhamdulillah, sudah boleh bertukar ke baju biasa.

Malam itu amat letih. Selepas sahaja bercukur, kami pulang ke hotel kami dan terus tidur sehingga keesokan harinya.


Pukul 3 pagi, kami bangun dan bersiap-siap untuk qiyamullail dan solat Subuh. Kami ingat sekitar jam 4 tu dah awal benar, tapi, selautan manusia sudah berada di situ. Kami baru berniat nak menunaikan tawaf sunat dan mencium hajarul aswad, namun, manusia sungguh ramai seperti waktu siang juga. Kami menangguhkan hasrat kami dan mencari tempat untuk bersolat. Sambil-sambil menunggu azan Subuh, bolehlah perbanyakkan solat sunat dan baca al-Quran.

Selesai solat Subuh, kami melakukan tawaf sunat dan duduk bersolat Dhuha di hadapan Kaabah. Keadaan agak lengang ketika ni, walaupun masih sukar untuk ke hajarul aswad.

Kemudian, kami bersarapan di Felda D'Saji. Maklumlah, walaupun banyak je makanan di sini, kami tetap nak masakan Malaysia! Kami membeli nasi lemak ayam, namun, satu set nasi lemak tu boleh makan 2 orang. Alhamdulillah, kami bungkus makanan itu dan makanan di dalam hotel kami.


Pagi itu, kami dibawa oleh pemandu kami menaiki kereta Toyota Innova untuk berziarah sekitar kawasan bersejarah di Makkah. Antaranya adalah Gua Hira', tempat di mana Nabi S.A.W. mengasingkan diri dan di situ jugalah wahyu pertama diturunkan. Jika dilihat kedudukan Gua Hira' ni, wah, dahsyat sungguh ketinggiannya. Dan sukar dibayangkan kegigihan Nabi ke situ selalu. Jika difikirkan, Nabi S.A.W. memang memiliki fizikal yang mantap sekali, bukan calang-calang orangnya!

Selepas itu, kami dibawa pula ke tempat-tempat di mana ibadah Haji dilaksanakan. Arafah, Mina, Muzdalifah dan beberapa tempat lagi. Tidak dapat dibayangkan bagaimana keadaan ketika haji. Ketika kami melawat ni, amat lengang sekali keadaan.

Ringkas sahaja ziarah di Makkah, kami lebih fokus untuk menunaikan ibadat di Masjidil Haram.

Photobucket

Thursday, April 7, 2011

Kembara bumi Anbiya': Part 1

بسم الله الرحمن الرحيم

Kapal terbang EgyptAir yang kami naiki mendarat dengan selamat di Jeddah pada tengahari Ahad, 27 Mac 2011. Pada asalnya, sepertimana yang tertulis di dalam tiket, kami akan turun dan ditempatkan di Terminal N (Foreign Airlines Terminal). Buat pengetahuan, di lapangan terbang antarabangsa Jeddah, terdapat 3 terminal; Terminal S (Saudi Airlines), terminal N (Penerbangan lain) serta Terminal Haji (dibuka pada musim haji).

Heathrow

Beberapa penumpang lain di dalam penerbangan yang sama turut memakai ihram dan kami sama-sama bertalbiyah.

لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ، لاَ شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ، إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ
Aku memenuhi panggilanMu ya Allah aku memenuhi panggilanMu. Aku memenuhi panggilanMu tiada sekutu bagiMu aku memenuhi panggilanMu. Sesungguhnya pujaan dan ni’mat adalah milikMu begitu juga kerajaan tiada sekutu bagiMu

Turun sahaja dari kapal terbang, kami menaiki bas lalu dibawa ke sebuah bilik menunggu.

Aku pun menelefon individu yang sepatutnya bertanggungjawab menguruskan kami sepanjang perjalanan kami di Makkah dan Madinah. Tetapi, ketika aku bertanyakan seorang pegawai di lapangan terbang itu, dia berkata bahawa kami sekarang ditempatkan di Terminal Haji. Kami menunggu dan terus menunggu. Hampir sejam juga kami dikehendaki menunggu dalam bilik itu. Entah menunggu apa, aku pun tidak tahu. Kemudian, seorang pegawai mengarahkan kami untuk menuju ke imigresen. Maka, berkejaranlah semua penumpang untuk keluar dari bilik itu. Mujurlah aku dan Ajah muda lagi, kami berjalan agak laju dan terkehadapan berbanding pakcik dan makcik lain. Kami terus menuju ke kaunter imigresen dan dapat nampak lautan manusia beratur di situ. Mungkin ini sebabnya mereka mengasingkan dahulu kami, nak bagi keadaan terkawal rasanya.

Kami antara orang pertama di kalangan penumpang dalam penerbangan kami. Namun, sedang kami beratur menunggu giliran kami dengan penuh hemat, tiba-tiba lambakan manusia yang di belakang kami itu semberono sahaja memintas kami dan tidak beratur. Allah. Entahlah, tidak pasti samada ini adalah budaya mereka atau bukan, tapi akhirnya, walaupun kami orang pertama beratur, tetapi akhirnya kami menjadi orang terakhir yang melalui kaunter imigresen. Sedikit geram di dalam hati, namun aku bersabar, takut pahala umrah tercalar dengan begitu sahaja.

Keluar sahaja daripada lapangan terbang, aku mencari-cari agenku. Oh, tiada! Cari dan terus mencari. Tidak juga berjumpa. Satu nombor telefon yang tidak dikenali menelefon. Beliau adalah pemandu yang sepatutnya bertanggungjawab memandu kami ke Makkah. Namun, disebabkan beliau berbahasa Inggeris dengan nada Urdu, maka, aku sukar memahaminya. Lama juga kami berkeliaran di luar lapangan terbang itu mencari pemandu. Namun, tidak ku jumpa. Aku berdoa dalam hati, moga Allah permudahkan perjalanan kami. Kemudian, beberapa pemandu teksi bertanyakanku ke mana arah tujuku. Mereka melihat passportku dan berbincang sesama mereka tanpa aku fahami. Kemudian, datang seorang pakcik yang pakaiannya sedikit lain mungkin statusnya yang lebih tinggi daripada orang lain. Pakcik ini berkata dia akan menghantar kami kepada pemandu kami. Alhamdululillah, rupa-rupanya pemandu kami berada di luar lapangan terbang dan beliau yang asalnya ingat kami turun di terminal N, tidak dapat masuk ke Terminal Haji kerana menggunakan kereta biasa (hanya teksi dan bas dibenarkan masuk ke Hajj Terminal).


Perjalanan ke Makkah tidak lama. Lebih kurang sejam sahaja. Ditambah dengan kesesakan jalan sedikit, mungkin sejam setengah. Disebabkan kami keletihan, kami tertidur dengan damainya. Risau juga dengan keadaan pemanduan di Saudi ni. Ke hulu ke hilir kereta menyusup dengan laju, bunyi hon tu, macam irama dan lagu sahaja di sini, tak payah nak pasang radio dah!

Apabila masuk ke kota Makkah, hati makin tidak sabar. Ingin melihat Baitullah. Ingin melihat Kaabah. Nampak sahaja papan tanda menunjukkan arah Masjidil Haram, aku semakin teruja. Pakcik, tolongla drive laju sikit (padahal dah cukup laju).

Kami melalui Bab as-Salam dengan kereta. Ternampak gahnya dan indahnya pintu Masjidil Haral dari dalam kereta (Kaabah tidak nampak dari luar). Kami terus dibawak ke hotel kami, terus disambut oleh Hafiz Emad, seorang warga Bangladesh yang menetap di Makkah. Beliau menunjukkan kami bilik kami, lalu terus meminta kami bersiap untuk solat Asar. Jarak antara hotel dan Masjidil Haram hanya 5 minit berjalan kaki sahaja. Kami sedikit terlambat untuk ke Solat Asar, jadi, keadaan di Masjidil Haram sudah amat penuh, kami hanya mampu solat di luar sahaja, sebab jemaah sudah bermula ketika kami sampai. Oh, kecewa, baru ingat nak masuk tengok Kaabah. Namun, hasrat ini masih tersimpan lagi. Hafiz membawa kami ke tempat tukaran wang.

Kadar tukaran wang di sini jauh lebih untung berbanding andai tukar di UK. Di UK, tukaran matawang adalah 5.75 Riyal untuk satu Pounds, tetapi di Makkah, 5.97 untuk satu Pounds. Jadi, tips untuk mereka yang bakal ke tanah suci dari UK, aku cadangkan, tukar sedikit je wang di UK, selebihnya bawa dalam Pounds dan tukar di Makkah. Kemudian, Hafiz membawa kami ke restoran untuk makan. Alhamdulillah, makanan pertama yang kami beli adalah nasi beriyani berharga 18 riyal. Namun, sungguh banyak dan cukup untuk makan 2 orang, untuk 2 kali makan!

Hafiz meninggalkan kami untuk menyelesaikan umrah. Katanya, esok, selsai umrah, awal pagi, ada pemandu akan jemput kami untuk ziarah sekitar Makkah. Jadi, target kami untuk malam ini adalah untuk menyelesaikan umrah kami dahulu dan bertahallul daripada keadaan berihram. Kami bergegas ke Masjidil Haram. Kami masuk melalui pintu King Abdul Aziz. Kasut kami diletakkan di dalam kantung dan dibawa masuk ke dalam masjid, ini bagi mengelakkan kasut hilang. Langkah diatur satu persatu. Aku dapat nampak sedikit demi sedikit, binaan di tengah-tengah Masjidil Haram tersebut. Hati semakin tidak sabar dan teruja. Aku keluar ke bahagian lapang di tengah masjidil haram, selautan manusia yang amat ramai sedang melakukan tawaf mengelilingi Kaabah, pusat kiblat umat Islam. Oh, inilah dia pusat kiblat tempat aku bersolat selama ini.



Ihram ditukar kepada posisi idtiba'. Kami terus bertawaf umrah. Keadaan agak sesak, terutamanya di sudut Hajarul Aswad. Namun, selepas itu sehinggalah ke Rukun Yamani, keadaan agak longgar. Alhamdulillah, kami selesai bertawaf umrah menjelang Maghrib. dalam 30 minit sebelum solat Maghrib, kelihatan pegawai-pegawai masjidil Haram sudah mula mengarahkan Muslimat untuk keluar daripada tawaf dan pergi ke tempat Muslimat. Mujur kami sudah dapat melengkapkan tawaf umrah kami. Lalu, kami berpisah sejenak untuk menanti solat Maghrib.

Bersambung....

Photobucket

Monday, April 4, 2011

Bercinta Sampai ke Syurga

بسم الله الرحمن الرحيم

Pertamanya, tajuk entri kali ini adalah diambil daripada tajuk buku keluaran Ustaz Hasrizal. Namun, andai anda mengharapkan ulasan buku itu di sini, anda akan kecewa kerana itu bukanlah isi sebenar entri ini.

Dahulu, sebelum berkahwin (malah sebelum tahu siapa pun bakal aku kahwini), aku sudah menanamkan azam di dalam hati:

Lepas berkahwin, bulan maduku nanti adalah di Makkah dan Madinah!!!

Lantas, aku pun berkahwin... (nak pendekkan cerita)

Alhamdulillah, aku dan Ajah diberikan kesempatan, kelapangan masa serta kecukupan bekalan untuk menyahut jemputan Allah ke tanah suci Makkah dan Madinah. Alhamdulillah, setelah hampir seminggu berada di bumi mulia itu, kami selamat pulang semula ke London untuk meneruskan kehidupan yang juga merupakan suatu perjuangan. Penerbangan Egypt Air selamat mendarat di lapangan terbang Heathrow pada jam 9:20 malam semalam.


Tidak dapat digambarkan kegembiraan berada di tanah suci. Setibanya di Makkah, hati meronta-ronta ingin cepat masuk untuk melihat Kaabah. Itulah pusat kiblat umat Islam. Ke situlah arah aku bersolat selama lebih 20 tahun ini. Di sekitar itulah pelbagai sejarah umat Islam dilakar. Bukan sekadar zaman Rasulullah S.A.W., tetapi sejarah peradaban manusia beragama juga turut terlakar di situ. Itulah tempat Nabi kita berjuang. Oh, banyak sungguh peristiwa yang berlaku. Namun, yang paling menggiurkan sudah pasti ganjaran beribadat di masjidil haram.

Rasulullah SAW bersabda: “Solat di masjidku (Masjid Nabawi) lebih afdal daripada 1,000 kali solat di masjid lain kecuali Masjidilharam, dan solat di Masjidilharam lebih afdal daripada 100 kali solat di masjid-Ku ini (iaitu 100 ribu kali di masjid lain)”
(HR Ahmad)

100000 kali sahabat-sahabat sekalian. Berapa lama diperlukan untuk kita dapat 100000 solat? Betapa pemurahnya Allah kepada hambaNya. Kira sendirilah kawan-kawan untuk dapat anggaran waktunya. Ini bukan blog matematik.

Kemudian, kami turut berkesempatan menziarahi kota Nabi, Madinah al-Munawarah. Terasa begitu sayu dan syahdu apabila membayangkan suatu ketika dahulu, di sinilah Nabi dan para sahabat berhalaqah, berbincang serta menyebarkan Islam. Di sinilah empayar Islam mula terbina.

Oh, kali ini aku tidak berniat untuk menceritakan pengalamanku di dua tanah suci ini, mungkin lain hari akan diceritakan.

******************************

Semua daripada kita mengimpikan bulan madu yang terindah. Sebut sahaja tempat-tempat dalam dunia ini, mungkin Paris, Rome, Venice atau Amsterdam menjadi destinasi pilihan. Benar, tiada masalah untuk ke tempat-tempat berkenaan. Namun, alangkah ruginya andai tidak terlintas pun dalam hati kita untuk ke tanah suci bersama pasangan kita. Bukankah ianya kenangan terindah andai dapat berbulan madu sambil beribadah secara khusus untuk menggapai keredhaan Allah. Pahala dilipatgandakan, bukankah itu hadiah terindah buat diri dan pasangan kita?

Perkahwinan bukanlah suatu jaminan kegembiraan. Perkahwinan memerlukan pengorbanan. Perkahwinan yang bahagia dunia dan akhirat memerlukan keberkatan. Keberkatan itu datangnya daripada Allah. Bagaimana pula ingin mendapat keberkatan itu? Sudah tentu dengan menjadi hamba yang bertakwa kepadanya. Dengan takwalah, dua insan akan terus bersahabat ketika akhirat nanti. Allah berfirman:

http://c0022506.cdn1.cloudfiles.rackspacecloud.com/43_67.png
Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh).
(az-Zukhruf: 67)

Buat yang sedang bercinta, mencari cinta mahupun yang sudah berkahwin, renungkanlah, adakah cinta kita itu cinta yang mendekatkan diri kita dengan Allah? Atau sekadar cinta buta yang membutakan diri kita daripada maksiat dan kefasikan. Atau adakah kalimat 'cinta suci' itu benar-benar suci andai dipalit dengan dosa?


Buat yang membaca. Marilah tanamkan azam dalam diri untuk kita mengejar cinta yang diredhai Allah. Cinta yang mendekatkan diri kepada Allah. Tanamkanlah azam untuk mengutamakan tanah suci sebagai destinasi pilihan berbulan madu, barulah disusuli dengan tempat-tempat yang lain. Sentiasalah berdoa supaya hati kita tidak dipalingkan daripada cinta hakiki, kepada Allah Rabbul Alamin. Kejarlah cinta yang membawa kita ke syurga, bukan syurga di dunia, tetapi syurga di akhirat sana.

Bercinta Sampai ke Syurga

Itu impian kami suami isteri bersama. Aku pasti, itu adalah impian semua. Namun, sejauh manakah kita berusaha ke arahnya?

Aku bukan Doktor Cinta, bukan juga Pakar Perkahwinan.

http://c0022506.cdn1.cloudfiles.rackspacecloud.com/43_69.png
(Mereka itu ialah) orang-orang yang beriman akan ayat-ayat keterangan Kami, serta mereka menjadi orang-orang Islam yang taat patuh,

http://c0022506.cdn1.cloudfiles.rackspacecloud.com/43_70.png
(Mereka diberi sebaik-baik balasan dengan dikatakan kepada mereka): "Masuklah kamu ke dalam Syurga bersama-sama isteri-isteri kamu (yang beriman), dengan menikmati sepenuh-penuh kegembiraan dan kesenangan". (az-Zukhruf: 69-70)

Photobucket

Saturday, March 26, 2011

Ziarah Haramain

بسم الله الرحمن الرحيم

Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah.....
(al-Baqarah: 196)

InsyaAllah, petang ini, aku dan zaujah akan bertolak ke Jeddah bagi menunaikan ibadah umrah. Kami akan bertolak daripada Heathrow, transit di Cairo dan kemudian akan bertolak ke Jeddah. Semua penerbangan kami adalah menggunakan khidmat EgyptAir.

http://www.inforwarding.com/clientfiles/comp2828/egypt%20air.jpg

Alhamdulillah, kami bersyukur kerana diberikan sedikit rezeki dan kesempatan untuk menunaikan umrah. Lebih istimewa lagi, pemergian kami ini adalah sebagai pasangan yang sudah berkahwin. Moga mendapat keberkatan Allah sebelum, semasa dan selepas daripada menjejakkan kaki ke dua tanah haram (haramain).

Rugilah bagi mereka yang berlumba-lumba ingin melancong ke merata tempat, namun tidak pernah terdetik dan berusaha pun untuk ke tanah suci

Dalam keghairahan kita bercuti musim bunga ini selama lebih kurang sebulan ini, benar, segala perancangan dilakukan, ada yang merancang untuk ke Turki, Itali, Sepanyol dan macam-macam lagi. Namun, dalam keseronokan kita merancang perjalanan itu, haruslah kita sematkan dalam hati untuk suatu hari nanti kita akan ke tanah suci. Bukan sekadar menyematkan hasrat dalam hati, segala jenis usaha dan persiapan juga perlulah dilakukan dengan gigih. Samada dari sudut wang, masa dan ilmu, perlulah dicari dan dilengkapkan. Amat rugilah bagi mereka yang mampu menghabiskan wang dan masa untuk ke tempat-tempat lain, tetapi tidak pernah memikirkan untuk ke tanah haram.

Jadi, dalam entri blog yang pendek kali ini, aku menyeru semua pembaca sekalian, tidak kisah anda dari UK, USA, Australia mahupun Malaysia, marilah sama-sama kita berazam dan berusaha untuk menunaikan ibadat umrah dan haji suatu hari nanti, di samping melancong ke tempat-tempat lain.

Terima kasih diucapkan kepada semua sahabat-sahabat yang membantu, samada melalui persiapan ilmu kami, perkongsian pengalaman, wang ringgit mahupun doa. Kami amat-amat menghargai segala pertolongan anda semua. Moga ianya dijadikan sebagai cagaran untuk kita memperoleh syurga Allah di akhirat kelak.

Barang-barang sudah hampir siap dikemas, tinggal beberapa perkara kecil lagi hendak disiapkan dan dimasukkan dalam beg. Doakanlah semuanya dipermudahkan.

Jadi, dengan ini, blog ini akan direhatkan buat beberapa ketika sehinggalah sekembalinya kami berdua daripada umrah nanti.

Wallahu'alam

Photobucket

Friday, March 25, 2011

Mak, saya mahu kahwin!

بسم الله الرحمن الرحيم

Baru sahaja beberapa tahun lepas, aku memikirkan lama lagi aku akan kahwin. Jadi, sejujurnya, aku tidak pernah pun terfikir dan berfikir untuk mengungkapkan permintaan ini kepada ibu bapaku. Lebih-lebih lagi, aku adalah anak bongsu, satu-satunya anak lelaki dalam keluarga. Jadi, mengikut adat dan kebiasaannya, kenalah tunggu kakak-kakaknya berkahwin dahulu.

Namun, Allah jua yang menentukan segalanya. Perancangan Allah itu sangat cantik, kemas dan penuh hikmah.

Pertama kali ingin mengutarakan hasrat ingin berkahwin, aku kaget, cuak dan cemas. Maklumlah, kami tidak pernah pun berbincang mengenai hal ini secara serius bersama. Mungkin jika aku memaklumkan perkara ini, seolah-olah suatu langkah yang drastik dan mengejutkan. Macam-macam bermain di fikiran. Jadi, pengajaran pertama, walaupun anda masih belum berhasrat untuk berkahwin dalam masa terdekat, selalu-selalulah bertanya kepada ibu bapa dan keluarga mengenai perkara ini, minta pendapat mereka dan siasat apa pendirian mereka. Oleh itu, tidaklah anda akan merasa janggal apabila pertama kali ingin berbincang mengenai hal ini.


Tetapi aku masih tiada keberanian mutlak untuk bertanyakan ibu bapaku secara terus. Jadi, cara yang aku rasakan lebih kecil mafsadahnya diambil. Menggunakan posmen untuk memaklumkan kepada ibu bapaku. Namun, bukanlah Pos Malaysia atau Royal Mail digunakan, apatah lagi DHL. Posmen yang dipilih adalah kakak sulungku sendiri. Aku masih ingat, ketika itu aku berborak dengannya melalui sistem chatting Facebook:

Along, apa pendapat mak abah ye kalau kahwin masa belajar? (berpeluh)

Haaa? Kenapa tetibe tanya? Adik nak kahwin ke?

Tanyalah dulu!!!

Terus off Facebook dan terjun ke atas katil. Cuak.

Sebelum menerima balasan dari emak dan abah, aku cuba menjangka apa kemungkinan respon mereka. Dibantu oleh sepasang pasangan post-graduate, aku merangka persediaan kewangan, masa serta kehidupan untuk dibentangkan kepada ibu bapaku. Barulah hujah tu konkrit sikit. Dengan melakukan pelan ini juga, menunjukkan kesediaan, kematangan dan kesungguhan kita untuk melangkah ke alam baru.

Masa berlalu.

Suatu pagi yang hening, abah menghubungiku. Seperti dijangka, selepas bertanya khabar ringkas, abah bertanya perihal perkahwinan. Abah berkata, abah dan mak berpendapat, kahwinlah selepas habis belajar. Kerja dua tahun dahulu, barulah stabil sikit kehidupan nak sara anak orang. Walaupun aku seperti sudah menjangka jawapan itu, namun masih lagi seperti menerima sebuah tamparan. Sedih. Namun, alhamdulillah, Allah masih memelihara diriku lagi dengan memberikanku kesabaran dan tidak cepat melatah. Nasihatku kepada mereka yang menerima tentangan ibu bapa mengenai idea selepas berkahwin, jangan sesekali meninggikan suara kepada mereka, takut-takut kita ni termasuk dalam golongan anak derhaka. Allah berfirman:

http://c0022506.cdn1.cloudfiles.rackspacecloud.com/17_23.png

Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).
(al-Israa': 23)

Sebaliknya, bertenanglah, dan fikirkan cara lain yang lebih halus dan berhikmah untuk mengambil hati mereka.

Masa berlalu lagi....

Setelah aku rasakan masa telah menyejukkan suasana, aku kembali memberanikan diri untuk bertanya lagi kepada ibu bapaku mengenai hal ini. Oh, apabila berdepan dengan cabaran sekali, jangan terus berputus asa. Jika kita tidak berganjak dengan keputusan kita, itulah bukti kesungguhan dan kesediaan kita.

Kali ini, aku membentangkan segala perancangan masa depanku, kewangan, akademik, kehidupan dan sebagainya. Namun, masih tidak berhasil mengubah keputusan ibu bapaku. Buntu.

Musim panas tiba. Aku pulang bercuti di Malaysia. Masih lagi keazamanku untuk berbincang 'face-to-face' dengan ibu bapaku.

Dipendekkan cerita, pada suatu hari, abah mendekatiku. Abah menceritakan sebab sebenar mereka tidak membenarkanku berkahwin. Ianya perihal hati dan perasaan. Bukanlah sebnarnya mengenai persoalan material. Persoalan duit, masa dan pelajaran itu hanyalah sebagai pelapik sahaja kepada perasaan kasih dan sayang mereka terhadap anaknya ini.

Sahabat-sahabat.

Ibu bapa kita adalah orang yang paling mengenali kita. Dari kecil mereka melahirkan, membesarkan kita bagai menatang minyak yang penuh. Namun, apabila besar, melepaskan anak ke sekolah asrama adalah suatu pengorbanan besar buat ibu bapa. Ibu bapa mana yang mahu berjauhan dengan anaknya? Namun, pengorbanan itu dilakukan demi membolehkan anaknya menjadi insan berguna. Kemudian, satu keputusan besar dibuat, iaitu membenarkan anaknya belajar ke luar negara. Lebih terguris hati ibu bapa memikirkan semakin berjauhan dengan anaknya. Ketika si anak meloncat-loncat tak sabar nak ke UK, ibu dan bapa hanya mampu tersenyum sayu. Si anak tidak pernah memikirkan perasaan ibu bapanya, yang penting, teruja sebab nak ke UK. Tiba-tiba, belum sempat si ibu bapa mendapatkan kembali kasih sayang dan perhatian anaknya, sudah mahu berkahwin dan melangkah ke dunia sendiri. Oh, betapa tergurisnya hati ibu bapa. Apabila sedar dengan hakikat ini, aku seperti mahu menangis. Perasaan bersalah menyelubungi diri. Adakah aku mementingkan diri? Adakah aku anak yang derhaka?

Aku tidak lagi berbincang mengenai hal ini. Namun, dalam doaku setiap kali selepas solat, aku meminta kepada Allah agar memberikan yang terbaik buat diriku, agamaku serta keluargaku. Jika perkahwinan itu yang terbaik, berilah kemudahan kepadaku, walau dengan apa cara pun yang Engkau kehendaki. Namun, jika ada yang lebih baik daripada itu, maka, Engkau permudahkanlah jalan itu, dengan apa cara pun yang Engkau kehendaki.

Hidup diteruskan seperti biasa. Aku sibuk menghadiri dan menganjurkan program-program musim panas. Program-program predeparture, usrah-usrah, ziarah meminimumkan lagi masa aku di rumah. Namun, emak dan abah tidak pernah menghalangku. Mereka tahu, anak mereka melakukan perkara yang baik. Namun aku tahu, jauh di sudut hati mereka, mereka sedih sebab semakin masa bersama anak mereka.

Ibu bapa kita paling faham dan mengenali diri kita. Jika mereka tidak membenarkan kita berkahwin, pasti ada sebabnya. Namun, saban kali, si anak gagal untuk menafsir tanda kasih sayang ibu bapanya. Bagi anak, ibu dan bapa hanya mahu mengawal hidupnya. Oh, dangkalnya pemikiran si anak. Jika ini berlaku terhadap anda, berlapang dadalah. Cubalah cari waktu dan keadaan yang sesuai untuk bertanya mereka, apakah yang mereka nampak pada kita.

Sepanjang keberadaanku di rumah, dengan masa yang sedikit itu, aku cuba mengoptimakan masa dengan keluarga. Aku mengurangkan menonton televisyen dan duduk di depan laptop, sebaliknya masa yang ada digunakan untuk berborak dan bermanja dengan ibu dan bapa. Mungkin ada yang kata, gelilah nak bermanja-manja ni, tak jantan lah. Ah, peduli apa, aku rasa dengan ibu bapalah orang yang patut kita manja sekali, bukan dengan awek atau sesiapa sahaja yang kita tiada kewajipan pun.

Allah maha berkuasa atas segala-galanya. Dipendekkan cerita, aku pulang ke UK awal, waktu itu memang sudah menyimpan hasrat berkahwin itu. Sudah tidak mengharap keajaiban akan berlaku. Tetapi apabila Allah telah menetapkan ianya berlaku, mudah sahaja bagiNya. Suatu petang, ketika bulan Ramadhan, abah menelefonku menggunakan Skype. Abah berkata, baliklah, kita langsungkan perkahwinan lepas Raya ni.

.....

Aku rasa macam salah dengar ni. Urm, ni bertunang ke kahwin?

Dua-dua, abah jawab. Belilah tiket balik.

Masih dalam keadaan separa sedar, aku membeli tiket Emirates pulang ke Malaysia. Hanya 4 hari sebelum penerbangan sahaja aku beli tiket, namun Alhamdulillah, dapat tiket harga lebih kurang £400 sahaja.


Jadi, dipendekkan lagi cerita yang dah pendek ni, pernikahan dan perkahwinanku berjalan dengan lancar (perkara-perkara birokrasi seperti dokumen dan sebagainya tu, aku taknak cerita sekarang, nak tulis post lain pasal ni).

Jadi, apa pengajarannya?

1) Berboraklah mengenai perancangan masa depan anda dengan ibu bapa anda, walaupun anda rasa awal lagi untuk membincangkannya. Jadi, anda tidak akan rasa janggal apabila hendak serius mengenainya.

2) Sediakanlah perancangan kewangan, akademik serta masa anda dengan baik, seelok-eloknya ditulis dalam satu dokumen dengan kemas. Kalau anda nak merancang eksperimen anda pun dah buat elok-elok, ini pula nak merancang kehidupan. Lebih baik jika perancangan ini dirangka bersama-sama dengan pasangan lebih dewasa yang sudah berkahwin, yang mungkin mempunyai lebih pengalaman. supaya perancangan anda ini realistik dan mampu dilaksanakan.

3) Jangan emosi atau naik angin apabila mendapat tentangan ibu bapa. Dalam kita hendak menjalankan sunnah perkahwinan, jangan sampai ditinggalkan kewajipan mentaati ibu bapa.

4) Sayangilah dan hargailah ibu bapa kita. Mereka tidak boleh diganti

5) Doa senjata mukmin. Sentiasalah doa mohon perlindungan daripada perkara yang tidak bermanfaat bagi agama dan diri kita. Pohonlah, luahkanlah kepada Allah segala yang terbuku dalam hati. Allah sentiasa mendengar luahan dan rintihan hambaNya.

Mak, abah, terima kasih atas kasih sayang selama ini. Tidak terbalas jasa dan kasih sayang mak dan abah. Terima kasih kerana meredhai malah amat membantu perkahwinan kami. Kami sayang mak dan abah!!!

Wallahu'alam. Moga bermanfaat.



Photobucket