Tuesday, March 22, 2011

Nikah: Sekarang atau Karang?

بسم الله الرحمن الرحيم

Dalam blog entri yang ke-1000 ini, sukalah untuk aku berkongsikan hasil penulisan yang bertitik-tolak daripada sedikit pengalaman dan ilmu yang ada. Moga ada hikmah, pertama buat yang menulis, dan seterusnya kepada yang membaca.

Tajuk entri ini diambil daripada sebuah kuliah online yang pernah dianjurkan oleh iluvwarwick, sebuah komuniti ceria dari the University of Warwick.

"Perkahwinan itu Sunnahku, sesiapa yang tidak suka kepada Sunnahku, dia bukan daripada kalangan umatku"
(riwayat Al-Bukhari)

Sejak 4-5 bulan kebelakangan ini, terlalu banyak soalan yang diajukan kepada aku dan Ajah, rata-rata mengenai kahwin ketika belajar. Soalan-soalan yang biasa diajukan:

Camne dah tahu bersedia nak kahwin? Cukup ke duit? Tak rasa hilang kebebasan ke?

Dan banyak lagi. Malah, ada juga antara yang memaklumkan kepadaku, mereka siap menunjukkan facebook profile aku kepada ibu bapa mereka, sebagai bukti, ada kenalan mereka yang mampu untuk berkahwin ketika belajar. Sungguh berat rasa hati ini, andai menjadi ikutan orang. Sungguh takut andai yang aku lakukan itu mungkin tidak tepat dengan kesesuaian semua orang.

Jadi, kami pun bertalu-talulah membalas segala emel, menjawab SMS, menerima panggilan, berdialog, menjawab mesej Facebook dan macam-macam lagi cara perhubungan yang digunakan untuk bertanya kami perihal ini. Jadi, sebab dah banyak sangat pertanyaan, aku tulis je blog entri ni, moga mudah diakses bagi mereka yang mencari. Tetapi, anda harus ingat, segala yang ditulis dalam blog ini mungkin indah dan baik bagi kami, tetapi mungkin keadaan berbeza dengan anda semua.

Pernah suatu ketika dahulu, aku menulis dalam status FB ku:

Mana-mana lelaki yang masih mengatakan perkahwinan itu mengehadkan kebebasannya, dia sebenarnya masih belum matang untuk memimpin keluarga

Maka, ramailah yang semakin bertanya dan terus bertanya.

Bila ditanya rakan-rakan, ada yang berkata, tidak bersedia untuk berkahwin lagi kerana masih belum puas menikmati kebebasan. Lalu aku bertanya, kebebasan sepertimanakah yang engkau maksudkan? Adakah kebebasan itu bererti melakukan perkara-perkara lagho mahupun yang bathil? Adakah kebebasan itu bererti membuang masa melakukan tidak berfaedah? Jika itulah yang didefinisikan sebagai kebebasan, jawapanku YA, setelah berkahwin anda akan tidak bebas.

Sebuah majlis akad nikah yang sedang berlangsung

Tidak bebas? Benar, setelah berkahwin, ada yang menegur kita andai kita melakukan kesilapan. Ada yang mengingatkan kita andai kita membuang masa. Ada yang memberitahu kita, andai kita kerap kali melakukan perkara lagho. Bagi aku, aku rela menggadaikan 'kebebasan' ini asalkan mendapat kebebasan di akhirat kelak. Biarlah lebih cepat ada orang yang mengingatkanku tentang dosa dan pahala daripada aku membiarkan hidup aku ini terus lagho dan membuang masa.

Ya, perkahwinan itu suatu komitmen. Namun, sedarkah kita, setiap komitmen yang kita pegang itu, perlulah disertai dengan pengorbanan. Ambil sahaja contoh persatuan. Komitmen kita terhadap persatuan itu, membuatkan kita mengorbankan masa, tenaga, malah harta demi memastikan aktiviti persatuan itu bergerak lancar. Tanpa pengorbanan, komitmen kita boleh dipersoalkan.

Berbalik kepada statusku itu. Yang dimaksudkan dengan lelaki yang beranggapan bahawa perkahwinan itu mengehadkan kebebasannya, adalah mereka yang takut untuk memberi komitmen kepada suatu ikatan yang dipanggil perkahwinan, kerana mereka tidak bersedia untuk memberi pengorbanan. Mereka inilah yang aku katakan masih belum matang untuk memimpin sebuah organisasi bernama keluarga.

Benar, mungkin ada yang mengatakan aku terlalu ideal, baru 5 bulan kahwin, bajet berpengalaman. Namun, sekurang-kurangnya, inilah pegangan aku ketika ini, dan inilah yang mungkin apa yang boleh aku kongsikan daripada pengalaman singkat ini.

Masjid dan makam Abu Ayyub al-Ansari

Kadang-kadang, bila aku bertanya, ada juga yang berkata:

Aku nak kumpul duit dulu, sekurang-kurangnya RM 20000

Benar, Nabi S.A.W. bersabda:

"Wahai pemuda-pemuda, sesiapa sahaja diantara kamu yang berkemampuan untuk berkahwin, maka berkahwinlah kerana dengan berkahwin dapat menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan diri"
(riwayat Bukhari dan Muslim)

Namun, apakah sebenarnya definisi berkemampuan itu? Adakah hanya wang sahaja?

Bila aku bertanya, RM 20000 ni, nak guna untuk apa? Jawapannya:

Kenduri kahwin

......

Betapa ruginya apabila segala penat lelah mengumpul duit akan dihabiskan dalam sebuah majlis yang mengambil masa sehari sahaja. Bagi aku, yang lebih penting adalah duit yang akan digunakan untuk menyara isteri setelah berkahwin. Bagi yang berfikiran mengumpul duit untuk kenduri sahaja, oh, begitu pendeknya perancanganmu. Lebih malang, ada yang menghabiskan wang puluhan ribu untuk kenduri besar-besaran, akhirnya, selepas kahwin, tiada wang untuk digunakan, malah ada yang berhutang! Bukankah lebih elok andai duit yang dikumpul itu digunakan untuk kegunaan awal kehidupan selepas perkahwinan. Waktu awal perkahwinan, itulah waktu tidak stabil, terutamanya dari sudut kewangan.

Ingatlah janji Allah:

http://c0022506.cdn1.cloudfiles.rackspacecloud.com/24_32.png
Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui. (An-Nur: 32)

Namun, tidak dinafikan, budaya setempat yang mengagumi majlis besar-besaran itu, perlu juga kita ambil kira. Namun, nasihatku, bersederhanalah selagi mampu. Contohnya, tidak perlulah nak habiskan duit buat hiasan-hiasan yang bergemerlapan. Tidak perlu juga nak sewa pasukan-pasukan kompang untuk buat persembahan. Ada pula yang sewa penyanyi-penyanyi untuk hiburan tetamu. Daripada sebuah sunnah, walimah jadi tempat maksiat!

“....Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.”
(Surah al-A’raaf: 31)

Alhamdulillah, kedua-dua keluarga kami memahami perihal ini. Tambahan pula, kami adalah pelajar, maka, semua hadirin pun paham keadaan kami. Alhamdulillah, antara perkara-perkara kecil lain yang dapat dilakukan adalah melabelkan tempat muslimin dan muslimat di khemah jamuan. Mungkin itu adalah usaha kecil kami untuk menunjukkan bahawa Islam itu praktikal.

Setakat ini dahulu, aku menulis beberapa perkara yang amat popular ditanya kepada kami kebelakangan ini. Untuk pertanyaan-pertanyaan lebih spesifik, bolehlah bertanya terus kepada kami. Aku tengah merancang juga untuk menulis lagi berkenaan isu kahwin ketika belajar. Moga diberikan masa dan kekuatan untuk menulis.

Mungkin akan bersambung.....

Photobucket

Sunday, March 20, 2011

Masa Depan Malaysia?

بسم الله الرحمن الرحيم


Sekarang ni, sibuk dibincangkan mengenai masa depan penggunaan tenaga nuklear di Malaysia. Isu tempat, kos, keselamatan menjadi topik utama perbincangan. Baru-baru ini sahaja, beberapa reaktor nuklear di Jepun meletup dan runtuh dan meningkatkan risiko radiasi kepada ribuan rakyat Jepun.

Reaktor di Jepun runtuh disebabkan gempa bumi. Stadium di Malaysia runtuh disebabkan?

Secara peribadi, jika dilihat daripada sudut pencemaran secara keseluruhan, jumlah tenaga yang dihasilkan, memang penggunaan tenaga nuklear adalah sesuatu yang ideal. Namun, melihatkan kepada indeks rasuah dunia, aku berfikir kembali, adakah Malaysia mampu untuk melaksanakannya tanpa masalah? Jika masjid, jambatan, bangunan biasa pun, habis kualiti bangunan sebab tangan-tangan manusia yang memberi dan menerima rasuah, ini pula reaktor nuklear? Menurut indeks rasuah sedunia, Jepun mempunyai markah 7.8 manakala Malaysia mempunyai indeks 4.4 (semakin tinggi markah, semakin kurang rasuah). Namun, reaktor di Jepun pun masih runtuh (dengan izin Allah). Jadi, kalau bina di Malaysia, adakah ditiup angin menyebabkan reaktor akan runtuh?

Moga kerajaan mengkaji tahap kompetensi Malaysia untuk melaksanakannya.

Kesimpulannya, rasuah itu berdosa dan menyusahkan orang ramai

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
"Allah melaknati pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam hukum."
(HR al-Tarmizi, Ahmad & Ibnu Hibban)

Photobucket

Kisah Warwick dan Penghuninya

بسم الله الرحمن الرحيم

Sepertimana yang dirancang, aku dan Ajah bertolak ke Warwick pada jam 6:30 petang hari Jumaat, menaiki National Express. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 2 jam setengah. Alhamdulillah, perjalanan lancar tanpa sebarang gangguan lalu lintas. Bas kami singgah di Coventry dahulu sebelum meneruskan perjalanan ke University of Warwick.

Anehnya, di Coventry, amat ramai orang yang turun daripada bas, yang tinggal hanyalah 6 orang sahaja. Daripada 6 orang ini, hanya kami berdua yang akan turun di University of Warwick. Yang selebihnya akan ke Leamington mahupun Stratford, tempat kelahiran Shakespeare. Lebih aneh lagi apabila pelajar-pelajar Warwick sendiri ada yang tidak tahu National Express berhenti di situ. Mengapa? Tidak kami ketahui jawapannya.


Kami berhenti di Art Centre. Kehadiran kami disambut oleh 4 orang rakan karibku, Hafizuddin (Hypo), Izzat, Dzull dan Khairul. Aku tersenyum lebar bertemu mereka. Walaupun baru 3 minggu lepas kami berjumpa, seakan-akan tidak bosan pertemuan kami saban kali. Ada sahaja cerita hendak diluahkan, ada sahaja idea dan perkara ingin diborakkan. Sebab itu aku tidak pernah merasa berat untuk ke Warwick, terasa mereka begitu rapat denganku. Merekalah yang selalu bersamaku tika senang dan susah. Jika terdapat masalah, merekalah yang berlumba-lumba membantuku. Inilah sepatutnya hubungan seorang Muslim dengan Muslim yang lain:

Daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Seorang Muslim dengan Muslim yang lain adalah bersaudara, dia tidak menzaliminya dan tidak mengelakkan diri daripada menolongnya, sesiapa yang melepas hajatnya, sesiapa yang melepaskan saudaranya daripada sesuatu kesempitan, maka Allah akan melepaskan satu kesempitan daripada kesempitan-kesempitan hari kiamat, dan sesiapa yang menutup (keaiban) saudaranya, maka Allah akan melindunginya pada hari kiamat.”
(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Ajah pula disambut oleh 2 muslimat, iaitu Aqilah dan Suhaizura. Kami berpisah di situ. Ajah mengikut muslimat ke rumah mereka manakala aku mengikut Hypo dan rakan-rakan ke rumah mereka.

Bangunan mereka diberi nama Redfern, hall 5 bilik di mana mereka lima pelajar Malaysia duduk bersama-sama, masak dan makan bersama, serta bergurau senda bersama. Seperti biasa, aku meletak barang-barangku di bilik Hafizuddin, dah anggap seperti bilikku sendiri. Sesampainya di rumah, aku dihidangkan dengan makan malam yang dimasak oleh Hypo sendiri. Ayam paprik yang amat menarik sekali.

Keesokan harinya adalah Warwick Games. Aku baru tahu. Tidaklah berniat pun untuk datang menyaksikan Warwick Games. Tapi, takpelah, ok juga dapat melihat pelajar-pelajar Malaysia beraksi.


Seawal pagi (ok, tidaklah awal sangat, sekitar jam 10 pagi), aku, Hypo dan Dzull berjalan kaki menuju ke Cryfield. Cuaca hari ini amat cerah, langit pula amat biru sekali. Tetiba rasa nak nyanyi lagu 'Sebiru hari ini' nyanyian Edcoustic. Cuaca begini pula membuatkan rasa rugi tidak mengeluarkan kamera. Maka, segala bentuk kamera dikeluarkan oleh manusia-manusia Warwick ini.


Kami pergi ke padang ragbi dan menonton Touchby - permainan Touch Rugby. Maka, adalah beberapa pelajar yang aku kenal, samada dari Warwick, London mahupun tempat-tempat lain. Suasana permainan agak meriah, walaupun tidaklah segempak Notts Games. Sesekali, terhibut melihat gelagat pemain, ada tak puas hati, gaduh sana sini. Tersenyum sahaja melihatnya. Hypo pula, sibuk mengambil gambar sana sini, tidak ubah seperti seorang jurugambar professional.

Tu dia Abang Po seperti jurugambar BBC

Perut lapar. Kami menuju ke gerai-gerai untuk membeli makanan. Aku dan Hafizuddin membeli nasi kerabu dengan ayam panggang yang sungguh menyelerakan. Alhamdulillah, terisi sedikit perut, lalu kami kembali ke Prayer Hall untuk bersolat.

Lunch di atas padang


Aku berehat di Prayer Hall sehinggalah jam 5 petang. Kami bergerak ke Coventry. Kami singgah sebentar di Prayer Room University of Coventry untuk bersolat Maghrib (dan Isyak bagiku). Seusai solat, kami memulakan misi mencari makan malam, iaitu di sebuah kedai bernama Donya. Oleh sebab aku tidak tahu menahu tentang Coventry, aku hanya taat pada segala perlakuan sahabat-sahabatku ini.

Menaiki bas 12 menuju Coventry. Singgah di pertengahan jalan menghantar Ajah balik ke rumah. Dari Coventry, kami berjalan kaki berpandukan GPS daripada telefon bimbit Po, alhamdulillah, berjumpa jua dengan restoran Donya. Tempat duduk dipenuhkan, menu dilihat dan ditatapi dan pesanan diberikan. Aku memesan Nasi Beriyani ayam yang nampaknya begitu menyelerakan.

Servis restoran ini tidak mengecewakan. Rasa baru sahaja kerusi dihangatkan, sudah sampai makanan ke meja. Tu dia, meriah sekali nampak pinggannya. Nasi penuh diisi, ayam seketul besar, tak lupa juga kepada sayur-mayur yang tidak digemari Izzat. Izzat bertindak pantas dengan terus menyerahkan hak milik sayurnya kepada Hafizuddin. Moga sistem penghadaman Hafizuddin sihat dengan lambakan sayur itu.


Alhamdulillah kenyang. Sambil makan, kami turut berbincang-bincang perihal masa depan kami masing-masing, daripada hal kekeluargaan, kerjaya sehinggalah dakwah dan ummah. Aku, Izzat dan Dzull akan bekerja bersama di PNB nanti. Jadi, kami memikirkan, apakah perubahan yang boleh kami sumbang bagi membantu mewujudkan biah Solehah di persekitaran kami nanti. Alhamdulillah, Izzat membelanja makan malamku hari ini. Ni yang makin sayang Warwick ni! 3 minggu lepas, makananku dibelanja oleh Hafizuddin, hehe. Sebuah hadis Qudsi:

Rasulullah s.a.w. bersabda: Allah s.w.t. berfirman:
عن النبي صلى اللهم عليه وسلم يرفعه إلى الرب عز وجل قال حقت محبتي للمتحابين في وحقت محبتي للمتزاورين في وحقت محبتي للمتباذلين في وحقت محبتي للمتواصلين في
“Orang yang berkasih sayang kerana Allah, orang yang saling berziarah kerana Aku (Allah), orang yang saling berbelanja membelanja kerana Aku(Allah), orang yang saling berhubungan kerana Aku(Allah), mereka semua berhak mendapat kasih sayangKu (Allah)”
(Riwayat Ahmad)


Kami pulang ke kampus, keletihan tetapi kekenyangan dan gembira dapat meluangkan masa bersama.

“Jika seseorang itu sayang kepada sahabatnya maka hendaklah dia beritahu bahawa dia menyayanginya.”
(Riwayat Abu Daud)

Aku sayang korang. Moga kita berukhuwah keranaNya, dan moga kita dapat bersama-sama mengecapi syurga Allah.

Photobucket

Wednesday, March 16, 2011

Presentation

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah, tadi sudah selesai menjalankan presentation PEDD. Berikut merupakan apa yang aku present tadi:



Tidaklah cemerlang mana presentation tadi, tapi masih diri ini penuh dengan rasa kesyukuran yang tidak terhingga, rasa lega kerana telah tamat presentation dariku. Walaupun presentation hanya mengambil masa 30 minit, terasa begitu sesak dan cemas sekali. Mujurlah semua nampaknya macam faham penerangan kami dan soalan yang ditanya pula tidaklah sukar untuk dijawab.

Ada juniorku di KYUEM bertanya, hidup di Imperial sukar ke? Workload banyak? Susah tak belajar?

Jawapanku, ianya depends kepada diri kita sendiri. Bukanlah masa yang tidak cukup, tetapi adakah kita yang tidak cekap menguruskan masa. Teringat kata-kata hikmah:

Time is what we want most, but what we use worst

Kepada yang nak tahu kehidupan di UK secara umumnya dan Imperial secara khususnya, bolehlah baca arkib-arkib catatan aku terdahulu. Apa-apa pun, di mana-mana pun kita belajar, kesusahan pasti akan ada. Samada kita sanggup hadapi cabaran atau tidak, aku rasa itu yang lebih penting. Adakah kita bersedia?

Accept the challenges so that you may feel the exhilaration of victory

Wallahu'alam

Photobucket

Tuesday, March 15, 2011

Kembali

بسم الله الرحمن الرحيم

Wah, sudah hampir 2 bulan blog ini sudah tidak dikemaskini. Sebuah pencapaian buatku. Memang, bukan sengaja mahu meninggalkan dunia blog ini. Setiap hari, kuat hatiku meraung ingin kembali menulis, malah, banyak sungguh yang ingin dikongsikan dalam blog ini. Namun, keupayaan, masa dan tenagaku terbatas untuk melakukan demikian. Blog yang disayangi ini terpaksa ditinggalkan selama lebih kurang 2 bulan.

Terlalu banyak yang berlaku dalam tempoh 2 bulan ini. Sedih, pahit, gembira, ketawa, seronok, letih, riang, semuanya umpama ramuan yang digaul sebati, dalam resipi bernama kehidupan.

Menjalani kehidupan sebagai pelajar tahun akhir ini sememangnya mencabar. Walaupun sudah 2 tahun aku 'survive' di Imperial, namun, tahun terakhir tetap dirasakan lelah dan letih untuk diharungi. Modul yang aku ambil untuk tahun terakhir adalah Genetics and Genomics, Cancer, Bioreactor and Bioprocess Technology dan Protein Engineering and Drug Design. Memang seronok belajar, namun tak seronok bila nak exam.

Siapa yang tidak tahu pasal tragedi tsunami yang menimpa negara matahari terbit, Jepun. Kuasa Allah meranapkan keegoan dan keangkuhan manusia. Sejauh mana kehebatan teknologi manusia meramal bencana, namun kuasa Allah yang tidak terkata hebatnya. Kita yang tidak berada di sana, turut terasa kesedihan dan kesusahan rakyat Jepun. Moga sahabat kita di sana selamat dan dipermudahkan urusan. Moga ada hikmahnya untuk semua.

http://static.guim.co.uk/sys-images/Guardian/About/General/2011/3/12/1299889509204/A-woman-carrying-a-child--008.jpg

Sekarang di UK baru nak masuk musim bunga. Bunga-bunga telah mula menampakkan dirinya. Orang kata, inilah masa sesuai nak keluar dan bergambar riang. InsyaAllah, akan ku lakukan sebelum pulang ke tanah air tercinta.

Pagi tadi aku bangun dan tersedar aku berada di Guildford. Terasa amat pendek hujung minggu di sisi isteri tersayang. Dengan berat hati (dan badan), aku membersihkan diri dan bersiap-siap hendak pulang ke London. Pukul 7 pagi, aku bersalam, salam perpisahan dengan sang isteri. Aku berjalan perlahan menuju ke stesen keretapi Guildford. Jam 7:17 pagi, keretapi membawaku pulang menuju ke London Waterloo. Dari Waterloo, terus sahaja aku menaiki tube menuju ke South Kensington. Terus lagi berjalan menuju ke bangunan Biochemistry, masuk ke bilik 311 (bilik komputer). Seawal jam 8:30 pagi, aku menyambung tugasan untuk membuat model sebuah enzyme untuk membolehkan beberapa drugs boleh diproses oleh enzyme tersebut. Salah satu hasil kerja aku harini adalah seperti di bawah:


Sepertimana yang dapat lihat dalam contoh di atas, ubat bernama warfarin ini terletak dekat sahaja dengan lingkaran haem, untuk membolehkan OH group menyerangnya. Phenylalanine dan Leucine tu pula mungkin bertindak sebagai asid amino yang memegang ubat berkenaan. Oh, sudahlah sampai situ sahaja pasal bab ini, ini bukan blog akademik.

Malaysia pula, haih, tak habis-habis isu liwat. Hari demi hari, makin banyak perkataan menjengkelkan yang dipelajari. Makin banyak pula berita-berita yang memalukan disiarkan. Tak hairanlah kalau budak-budak zaman sekarang, kecik2 dah pandai cakap bukan-bukan.

Esok ada presentation PEDD, doakan....


Photobucket

Wednesday, January 12, 2011

11/1/11

بسم الله الرحمن الرحيم

Hari kesebelas dalam tahun Masihi 2011.

Hari ini merupakan hari kedua spring term di Imperial, selepas bercuti hampir 3 minggu lamanya, masanya untuk kembali menajamkan fikiran, membanting tenaga dan memusatkan fokus. Hampir 3 minggu berada dalam kesejukan, adakah minda dan pemikiran kita sudah semakin membeku? Tiba masanya untuk mencairkan kembali ketulan-ketulan ais yang membeku di dalam pemikiran ini.

http://www.master-optics.eu/biblio/Logo%20IC%20london.jpg

3 minggu cuti yang berlalu, terlalu banyak perkara berlaku, samada suka atau duka, mudah atau sukar, pahit atau manis, semuanya aku rasai dan hadapi. Moga semua perkara yang berlaku itu ada hikmahnya dan semoga aku mendapat ibrah dan react terhadap ibrah itu, supaya aku melangkah maju ke hadapan dalam hidup ini.

Memang, aku mengatakan dalam post lalu yang akan update mengenai perjalanan kami di Istanbul, namun, tidak dapat lagi mencari masa yang sesuai untuk menulis dengan baik. Mungkin ini atas faktor keterbatasanku selaku manusia dan mungkin kerana aku sendiri yang kurang bijak membahagikan masa. InsyaAllah, akan update juga suatu hari nanti mengenai Istanbul.

Berkata pasal Istanbul, ye, memang sedikit rindukan bandar al-Fateh itu. Banyak sungguh pengalaman ditimba, pelbagai ilmu diratah, pelbagai kenangan dicoret. Tetapi hakikat tetap perlu ditelan, aku kini kembali ke bumi London, UK untuk menyambung pengajian tahun akhir bidang Bioteknologi di Imperial College London.

Term ini, subject yang aku ambil adalah Bioreactor and Bioprocess Technology (BBT). Sepertimana namanya, kami belajar mengenai selok belok pengendalian bioreactor untuk menghasilkan produk biochemical dengan banyak dan murah. Subjek ini adalah gabungan antara biochemical, chemical engineering dan sedikit economics. Sedikit kelainan daripada subjek-subjek lain yang aku ambik sebelum ni, tapi itu adalah cabaran buat diriku.

Pengembaraanku di UK ni hampir tamat, moga saki-baki waktu yang tinggal di UK ni dapat digunakan sebaik mungkin untuk kebaikan ummah, Amin.

Photobucket

Sunday, January 9, 2011

Nur Islam di bumi Rome

بسم الله الرحمن الرحيم

Keluar sahaja dari Palatino, kami bergegas untuk bersolat Asar. Mulanya, kami rancang untuk bersolat di hotel sahaja, jadi, kami pun menunggu bas ke Roma Termini. Namun, dalam perjalanan menaiki bas, kami ternampak metro station Spagna yang terletak di Metro Line A. Jadi, kami terus mengambil keputusan untuk terus ke Mosque of Rome, jadi, loceng bas ditekan dan kami bergegas turun.

Peta sistem tren di Rome, Italy (klik untuk saiz lebih besar)

Dari Spagna, kami berhenti di Flaminio dan tukar tren ke utara, iaitu dengan menaiki tren hijau line Roma Nord. Mengikut maklumat yang kami selidiki, Mosque of Rome terletaj hanya bersebelahan sahaja daripada station Campi Sportivi yang hanya terletak 3 station sahaja daripada Flaminio. Keadaan sudah semakin sesak di dalam tren, mungkin kerana orang sudah mula pulang daripada kerja. Tren bergerak akhirnya menuju ke utara Rome.

Namun, selepas station Acqua Acetosa, tren bergerak laju dan tidak pula menunjukkan tanda ingin berhenti. Aku sempat menjeling luar, kami telah melalui stesen Campi Sportivi dengan laju sekali. Kelihatan tape merah menutupi stesen itu, mungkin ditutup untuk ubahsuai dan penambahbaikan. Alamak, macamane ni? Terlihat di sebelah kanan, kelibat bangunan seakan-akan masjid, argghh, dah nak terlepas.

Kami redha. Kami berhenti di station seterusnya, Monte Antenne. Tidak ramai pun orang turun di stesyen ini, hanya kami berdua. Kami keluar dari stesen dan bergerak menuju ke masjid tadi. Kelihatan dari jauh bangunan besar tersergam dengan menara azan terpacak di sebelahnya. Ya, pasti itulah masjid yang ingin dituju.

Tangga masuk ke tempat wudhu'

30 minit lagi bakal masuk maghrib, tapi kami masih belum bersolat Asar dan Zuhur. Segera kami memasuki perkarangan masjid. MasyaAllah, besarnya masjid ini! Namun, kami terus meluru ke tempat wudhu' untuk mengambil wudhu' dan bersolat. Tempat wudhu' masjid ini amat besar, sampaikan kami sesat untuk keluar daripada tempat wudhu' tersebut.


Seusai bersolat Asar dan Zuhur, kami berjalan-jalan sekitar perkarangan masjid untuk mengambil gambar. Beberapa minit lagi nak masuk Maghrib, jadi kami hanya menunggu masuknya waktu untuk terus bersolat.

Mosque of Rome merupakan masjid terbesar di Eropah. Dalam satu-satu masa, ianya boleh menampung hampir 12000 jemaah. Masjid ini diasaskan oleh seorang putera yang berasal dari Afghanistan. Namun, pembinaannya turut dibiaya oleh Raja dari Arab Saudi. Selain tempat untuk bersolat, masjid ini juga berperanan sebagai pusat budaya Islam dan pertemuan masyarakat Islam pelbagai mazhab.

Amat besar masjid ini. MasyaAllah, di bumi asing ini, rumah Allah masih ada dan menjadi pusat tumpuan umat Islam. Teringat pula firman Allah S.W.T

http://c0022506.cdn1.cloudfiles.rackspacecloud.com/9_18.png
Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.
(at-Taubah: 18)

Moga kami tergolong di kalangan orang yang mendapat petunjuk.

Masuk waktu Maghrib. Namun, azan tidaklah berkumandang di angkasa, sama seperti di UK. Aku mendekati ruang solat, walaupun masjid ini besar, solat jemaah Maghrib petang itu hanya 4 orang termasuk aku sahaja yang ada. Kami diimamkan oleh sheikh Aladdin Muhammad Ismail al-Ghobashi, seorang imam dari Mesir.

Seusai solat, kami bersalaman dan berborak-borak sejenak. Sebelum kami berangkat pergi, beliau menghadiahkan kami senaskhah al-Quran untuk menjadi pedoman dan pengajaran buat kami. Terima kasih diucapkan, moga kita bertemu lagi.

al-Quran yang dihadiahkan imam Masjid Rome

Pengembaraan kami di Italy adalah suatu perjalanan yang amat bermakna dan berharga. Bukan sahaja kami dapat ke tempat-tempat tarikan pelancong, tetapi kami juga dapat mempelajari budaya masyarakat Italy serta dapat menyelami dan mewujudkan rasa MAHU untuk lebih mendalami sejarah peradaban tamadun Rom Kuno, kerana bertitik tolak daripada ketamadunan inilah wujudnya tamadun Rom Timur. Tamadun Rom Kuno juga menghasilkan impak yang besar kepada perjalanan dunia sekarang. Mereka dulu pernah menjadi suatu ketamadunan yang hebat, namun, kerana melupakan yang Maha Hebat, tiada nilainya di sisi Allah. Kami insaf apabila memikirkan perkara ini. Kita juga, tidak terkecuali, andai kita melupakan Pencipta kita, tidak mustahil Allah akan menggantikan kita dengan kaum yang lebih mencintaiNya. Firman Allah:

http://c0022506.cdn1.cloudfiles.rackspacecloud.com/5_54.png
Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya.
(al-Maidah: 54)

Rugilah mereka yang ke sana ke mari, namun tidak mengambil ibrah pada perjalanannya

Dalam keghairahan kita untuk melancong ketika musim cuti, sentiasa ingat niat sebenar penghijrahan kita itu. Adakah sekadar ingin bergambar dengan bangunan-bangunan unik, pemandangan cantik, atau benda-benda pelik? Atau adakah kita ingin berubah kepada yang diredhai Allah? Amatlah rugi wang yang dibelanjakan untuk melancong andai dapatan daripada perjalanan itu, hanya beberapa keping gambar sebagai bukti sahaja. Kalau setakat gambar, boleh je cari di internet. Tetapi, cubalah berinteraksi dengan masyarakat, kenal budaya mereka, dalami sejarah mereka supaya kita boleh belajar dan tidak mengulangi kesilapan mereka, timbalah ilmu daripada mereka, carilah nur Islam di tempat-tempat yang kita lawati, insyaAllah, perjalanan itu akan lebih manis dan puas.

InsyaAllah, daripada ketamadunan Rom Kuno, kami akan bergerak pula ke Tamadun Rom Timur, berpusat di Constantinople yang kininya dikenali sebagai Istanbul.

Entri seterusnya: Jelajah bumi al-Fateh, Istanbul

Photobucket

Saturday, January 8, 2011

Menelusuri tinggalan Empayar Rom Kuno: Colosseum dan Palatino

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah, kami telah selamat sampai kembali ke London dari Istanbul. Alhamdulillah, perjalanan kami dipermudahkan oleh Allah. Namun, sebelum kami menulis tentang perjalanan kami di Istanbul, kami perlu menghabiskan dulu catatan perjalanan kami di Rome, Italy yang tertangguh. Sebab dah lama sangat perjalanan ini, cabaran utama kami adalah untuk ingat kembali peristiwa yang berlaku sepanjang perjalanan ini.

Dari Isola Tiberina, kami menaiki bas menuju ke Colosseum, tarikan paling utama di kota Rome ini. Memang tak sah orang kata apabila ke Rome tetapi tidak ke Colosseum. Kalau anda pernah menonton filem Gladiator, pasti tahu apakah fungsi Colosseum ini di dalam peradaban masyarakat Rome Kuno. Selaku tempat hiburan untuk masyarakat Rome ketika itu, ia menyaksikan pelbagai pertempuran.

Colosseum

Kami tiba di Colosseum sekitar pukul 10 pagi. Namun, sudah ramai orang membanjiri tarikan utama di Rome ini. Di luar colosseum ini, dilihat banyak orang berpakaian pelik ala Gladiator. Berhati-hati!!! Jika anda mendekati mereka, malah jika anda ingin mengambil gambar dengan mereka, mereka akan minta bayaran daripada anda.

Barisan untuk membeli tiket untuk masuk ke Colosseum agak panjang. Hampir 20 minit jugalah kami terpaksa beratur untuk sampai ke meja pembelian tiket. Harga tiket adalam 15.50 Euro seorang, termasuk juga dalam tiket itu adalah untuk ke Palatino (Roman Forum). Selepas membeli tiket, kami terus masuk ke dalam Colosseum. Adakah anda memerlukan audio guide untuk memahami penjelajahan anda di Colosseum dan Roman Forum? Tidak, sebab di semua tempat yang memerlukan description, terdapat juga tulisan dalam bahasa Inggeris, itu pun dah tak larat kami nak baca, sebab banyak sgt.

Kami memanjat tangga untuk ke bahagian atas Colosseum, di mana para penonton suatu ketika dahulu duduk dan menyaksikan perlawanan berlangsung. Colosseum ini adalah bangunan yang dibina sewaktu Zaman Flavian, dan ianya juga dikenali sebagai Flavian Ampitheatre. Dikatakan, nama Colosseum ini juga asalnya adalah daripada kewujudan sebuah patung gangsa yang dinamakan Colossus of Nero yang didirikan oleh Emperor Nero berdekatan ampitheatre ini. Namun, sekarang, tiada lagi patung itu boleh dilihat.

Antara lukisan menunjukkan perlawanan di Colosseum


Di bahagian atas Colosseum itu, telah diwujudkan seperti muzium yang menunjukkan banyak tinggalan sejarah Colosseum, termasuk batu-batu runtuhan serta lukisan-lukisan di atas batu yang menceritakan kisah-kisah yang berlaku di dalam Colosseum. Terdapat juga patung-patung raja-raja Rome terdahulu yang diabadikan di dalam Colosseum ini. Di ruangan ini juga, diceritakan sejarah pembinaan Colosseum oleh Raja Vespasian, bagaimana Colosseum ini musnah akibat kebakaran, gempa bumi dan usaha-usaha untuk membaikpulih keadaan bangunan ini.

Menunjukkan struktur hypogeum di bahagian tengah Colosseum

Dari bahagian atas Colosseum, kami dapat memandang ke bawah dengan jelas. Kami dapat lihat struktur hypogeum di tengah-tengah Colosseum itu. Hypogeum ini dahulu kala ditutupi dengan papan di bahagian atasnya dan ditabur dengan pasir, di atas inilah pertempuran berlaku. Namun, papan itu sudah tiada sekarang dan kita boleh nampak struktur hypogeum ini. Di dalam underground ini jugalah para gladiators berkumpul sebelum dilepaskan untuk pertempuran. Kami dapat membayangkan suasana pertempuran yang berlaku. Begitu gahnya ketamadunan mereka pada ketika itu. Namun, keangkuhan tamadun ini dengan mudah dapat dibinasakan oleh Allah.

Setelah menghabiskan masa dalam lebih kurang sejam di dalam Colosseum, kami beransur keluar dan bergerak ke Palatino, yang hanya terletak bersebelahan daripada Colosseum sahaja. Di sinilah letaknya Roman Forum yang terkenal itu. Dengan menggunakan tiket yang sama dengan tiket Colosseum, kami masuk ke dalam kawasan lapang yang menempatkan banyak kawasan runtuhan dan Ruins of ancient buildings.

Bangunan pertama yang kami lawati adalah the Temple of Antoninus and Faustina. Temple ini adalah hasil cinta Antoninus terhadap isterinya yang telah mati, iaitu Faustina. Namun, kematian Antonius menyebabkan temple ini akhirnya disiapkan untuk meperingati mereka berdua. Cinta hingga akhir hayat? Namun, ingatlah, cinta yang bukan kerana Allah itu tidak akan membawa ke syurga.

Temple of Antoninus and Faustina


Kami juga dapat melihat hasil-hasil tinggalan bangunan Roman Forum yang lain. Di sinilah dahulunya merupakan pusat kehidupan masyarakat Rome, di sinilah banyak patung-patung tokoh-tokoh Rome ketika itu dibina. Dapat dibayangkan dahulu kala, di sinilah bangunan-bangunan kerajaan, bangunan pusat membeli belah dan sebagainya. Ala-ala Putrajaya sekarang ini lah kut keadaannya (mungkin pakaian dan bahasa berbeza). Dari situ, kami bergerak menaiki bukit Palatine.

Mengikut sejarahnya, dikatakan di bukit inilah pengasas bandar Rome iaitu Romulus dan adiknya, Remus dibesarkan. Dikatakan mereka ini adalah anak pembesar yang dijatuhkan, lalu untuk menyelamatkan mereka, mereka dihanyutkan di sungai Tiber dan kemudian dijumpai oleh seekor serigala betina dan dijaga sehingga mereka besar. Di sinilah juga didirikan Temple of Romulus.

Temple of Romulus

Dari atas Palatine Hill, kami melawati Farnese Gardens, sebuah taman yang amat indah sekali, terletak di tanah tinggi dan dari situ, kami dapat melihat hampir keseluruhan kota Rome. Subhanallah, cantik sungguh pemandangan di situ. Pokok-pokok juga menghijau di atas bukit itu.


Turun dari Palatino, kami bergegas untuk ke Mosque of Rome untuk bersolat Asar.

Entri seterusnya: Nur Islam di bumi Rome, Mosque of Rome

Photobucket