بسم الله الرحمن الرحيم
Aku masih ingat, tahun lepas, aku dan Ajah menyambut Ramadan di Malaysia buat pertama kali bersama-sama sejak berkahwin. Disebabkan kami baru pulang dari UK, kami duduk di rumah ibu bapa dahulu sementara menunggu surat masuk kerja. Disebabkan kami hanya duduk di rumah bercuti, maka, agak senang (secara fizikal) kami menghadapi Ramadan kali ini. Andai ingin memandu, kami boleh pilih waktu tidak sesak. Andai hendak ke Bazaar Ramadan, pergilah sebelum orang pulang kerja. Andai letih, boleh berbaring-baring dan lebih enak lagi, memasuki alam mimpi. Tarawih pula, sungguh bertenaga, maklumlah, duduk rumah tidak buat apa-apa, memang banyak lemak berkumpul untuk dibakar kalorinya sepanjang Tarawih.
Adalah sekali sekala kami keluar dari rumah, pergi ke program sana dan sini. Seminggu terakhir Ramadan, aku masih ingat kami menaiki bas ekspres daripada Terminal Putra ke Tanah Merah, Kelantan. Sampainya di Tanah Merah lebih kurang jam 5 pagi, mama dan abah terus ambil dan kami bersahur. Lepas sahur, tidur sampai lewat pagi. Bahagia rasanya (secara fizikal) melayan kemahuan nafsu tidur dan makan itu.
Tahun ini pula cukup berbeza. Pertama, kami sudah berpindah ke rumah sendiri di Wangsa Maju. Jadi, segala urusan rumah perlu kami uruskan sepenuhnya. Daripada urusan membeli barang-barang keperluan sehinggalah menyediakan juadah berbuka dan bersahur. Mujur Ajah masih belum mula bekerja. Aku pula, setiap hari, selepas sahur, kalau ada masa dan tenaga, buat solat sunat secara ringkas dan selepas solat Subuh, sudah perlu bersiap-siap ke pejabat.
Di pejabat, amat mudah rasa mengantuk. Lalu, pelbagai cara digunakan untuk hilangkan rasa mengantuk ini. Pertama, pergi ke tandas untuk basuh muka. Sambil-sambil basuh muka, melihat ke jendela tandas, memerhatikan bandaraya Kuala Lumpur sejauh-jauhnya (ini teknik meregangkan otot mata). Namun, biasanya, tak sampai 30 minit duduk kembali di tempat kerja, mula rasa mengantuk. Jadi, aku mula bergerak ke surau untuk bersolat Dhuha 2 rakaat. Segar sedikit kerana air wudhu' yang mengenai muka ditambah pula pergerakan dalam solat.
Waktu pulang dari kerja pula merupakan cabaran yang amat besar. Aku yakin, semua yang bekerja di Kuala Lumpur akan merasakannya. Kesesakan lalu lintas telah bermula seawal jam 4 petang lagi. Pada hari biasa, aku akan keluar ke Jalan Ampang lalu terus masuk ke Jalan Jelatek terus sahaja ke rumah. Biasanya paling lama pun akan ambil masa 40 minit sahaja. Sepanjang bulan Ramadan ini, perjalanan terpaksa diubah. Aku terpaksa melalui Jalan Tun Razak, masuk ke Ampang-KL Elevated Highway (AKLEH) lalu turun di jalan Jelatek. Secara purata, akan ambil masa 45 minit - sejam.
Keletihan bekerja seharian ditambah memandu dalam kesesakan membuatkan badan jadi lesu. Hendak membaca buku pun sudah tidak boleh fokus. Mujur ada majlis ilmu di radio IKIM setiap jam 5 petang. Itulah rasanya pengisian yang dapat dihadam dalam kesesakan. Sampai je di rumah biasanya akan berehat kejap, tengok Facebook dan emel kemudian membantu isteri menyediakan juadah berbuka. Mujur juga sekarang Maghrib agak lewat, lebih kurang jam 7:30 petang, kalau awal macam zaman dahulu, mahu kalut aku yang baru sampai rumah ni.
Seusai solat Maghrib, bersiap-siap pula untuk Isyak dan Tarawih. Disebabkan Isyak pun masuk lewat (jam 8:45 malam), maka, tarawih pun bermula dan berakhir agak lewat. Di Wangsa Maju, surau tempat aku bersolat biasanya akan habis 8 rakaat jam 10 malam. Berjalan pulang, aku pun menjamah moreh di rumah lalu biasanya hanya terbaring keletihan.
Mungkin ini tahun pertama aku berpuasa ketika bekerja. Stamina pun amat-amat kurang. Ada 20 hari lagi Ramadan, mari kita manfaatkannya!