Siapa yang tidak biasa dengan peperiksaan. Mengikut sistem pendidikan Malaysia, memang kita dah amat biasa dengan peperiksaan. Sejak dari darjah 3 dengan PTS (suatu zaman dahulu kala), darjah 6 dengan UPSR, tingkatan 3 dengan PMR dan tingkatan 5 dengan SPM. Antara detik yang paling mencemaskan adalah saat-saat terakhir keputusan peperiksaan diumumkan. Maka, terasa rama-rama di dalam perut, mula terfikir perkara yang negatif. Walaupun dah berpengalaman ambil keputusan peperiksaan sejak tadika lagi, namun, perasaan kaget dan cemas tidak dapat dielakkan.
Pagi ini keputusan A-level diumumkan. Maka, penuhlah status Facebook dengan ucapan tahniah, syukur, tangisan (dalam bentuk tulisan), dan sebagainya. Masih aku teringat saat keputusan A-level aku 3 tahun dahulu diumumkan. Pada ketika itu, tiada sistem online seperti hari ini. Sebaliknya, kami akan menerima e-mel daripada Mr B (guru KYUEM yang uruskan hal ehwal peperiksaan). Aku masih ingat malam itu. Aku tengah syok tengok 'movie'. Tiba-tiba, kawan-kawanku SMS kata keputusan dah keluar. Aku periksa e-mel, masih tiada. Disebabkan zaman purba tiada sistem online, maka keputusan dihantar secara manual. Maka, kami tidak mendapat keputusan secara serentak. Panas telinga mendengar kawan-kawan yang lain sudah tahu keputusan mereka, ibarat mendapat passport untuk fly.
Pagi Ramadhan yang mulia ini, result A-level keluar. Maka, secara lumrahnya, ada yang akan bergembira dan ada pula yang akan kesedihan. Namun ingatlah, walau apa pun keputusan anda, ianya adalah ujian daripada Allah. dan ingat jugalah, ujian dalam bentuk kesenangan itulah yang selalunya lebih mencabar dan ramai daripada manusia tewas dan melupakan Allah selepas mengecapi ujian kesenangan itu.
Bagi yang mencapai 'kejayaan' dalam peperiksaan, ingatlah, kejayaan ini hakikatnya milik Allah. Allah jualah yang mengurniakan kita kejayaan ini. Jangan sesekali merasakan, hanya usaha kita yang membuahkan hasil, sebaliknya insaflah dan sujud syukurlah kepada Allah tanda berterima kasih. Ingat, kejayaan yang diberkati itu adalah yang mendekatkan diri kita kepada Allah. Muhasabah diri dan jangan lupa rakan-rakan yang kurang bernasib baik. Petikan ayat ke-8 surah al-Munafiqun:
...Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta bagi orang-orang yang beriman; akan tetapi golongan yang munafik itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
Kepada yang 'kurang berjaya' dalam peperiksaan dunia ini, ingatlah, ini bukanlah penghujung kehidupan. Kehidupan ini jauh lebih panjang dan lebih besar ertinya daripada segulung sijil mahupun ijazah. Mungkin mudah untuk aku berkata begini, benar, aku amat faham perasaanmu. Aku juga pernah gagal, aku juga pernah kecewa dengan keputusan peperiksaanku. Aku memberi nasihat ini bukanlah sekadar teori dan pembacaan semata-mata, tetapi aku pernah merasainya. Jadikan tempoh ini sebagai peluang untuk kita muhasabah diri kita. Kita kaji dan renung semula usaha kita samada dari sudut sunnatullah mahupun syariatullah. Adakah cara kita mengulangkaji itu sudah terbaik, sejauh manakah usaha kita untuk cemerlang. Jika semuanya sudah mantap, tengok pula hubungan kita dengan Allah. Mungkin ujian getir ini adalah peluang yang Allah berikan kepada kita. Allah masih sayang kepada kita. Allah ingin kita kembali mengingatiNya. Mungkin kita sedikit lalai dan lupa daripada mengingatiNya.
Apalah guna kejayaan di dunia andai itu membawa kepada kegagalan kita di akhirat
Allah yang mengetahui apa yang terbaik untuk agama kita. Bersangka baiklah dengan Allah. Ingatlah, Allah amat dekat dengan kita. Berdoalah.
Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. (al-Baqarah: 186)