Tuesday, April 12, 2011

Kembara bumi Anbiya': Part 2

بسم الله الرحمن الرحيم

Masihkah anda semua ingat apa rukun-rukun umrah?

1. Berihram (Berniat melakukan umrah)
2. Tawaf
3. Sa'i
4. Tahallul
5. Tertib

Berbanding dengan haji, ibadah umrah secara relatifnya amat ringkas dan mudah. Selepas Maghrib, kami sudah selesai melakukan tawaf. Maka, tibalah masa untuk melaksanakan Sa'ie pula. Sepertimana yang pernah kita semua belajar suatu masa indah dahulu di sebuah tempat yang dinamakan sekolah, sepertimana yang kita pernah menjawab dengan cemerlang sewaktu peperiksaan.

Sai'e merupakan sebuah ibadat yang betitik tolak daripada peristiwa isteri Nabi Ibrahin, Hajar berulang alik antara Safa dan Marwah sebanyak 7 kali bagi mencari air minuman untuk anaknya, Nabi Ismail. Akhirnya, menurut pendapat para ulama', air zam-zam keluar daripada kaki Nabi Ismail. Agak jauh juga antara Safa dan Marwah ni, lebih kurang 750 m. Jika didarabkan dengan 7, kira sahajalah berapa jaraknya. Namun, hari ini, tempat Saie ni dah diubahsuai dan menjadi amat selesa. Sudah berbumbung dan sudah diratakan lantainya. Bahkan, ada dua tingkat sekarang ni. di sepanjang laluan Saie pula, sudah diletakkan banyak tempat minuman air zam-zam. Mungkin amat jauh bezanya dengan keadaan Hajar suatu ketika dahulu.

Apakah pengajaran daripada ibadat Saie ini?

Bagi aku, melalui sejarah ibadat Sai'e ini, kita diajar untuk berusaha bersungguh-sungguh di dalam kehidupan. Benar, tawakal kepada Allah itu suatu keperluan, tetapi usaha fizikal kita itu adalah suatu pra-syarat bantuan kepada Allah itu. Sedangkan umat Islam ketika zaman Nabi S.A.W. itu pun perlu pergi berperang untuk memenangkan agama Allah.

Selesai bersai'e, kami keluar ke luar untuk bercukur. Banyak kedai cukur ada di pintu keluar Marwah. Harganya lebih kurang 10-15 Riyal. Seafdhalnya, cukurlah sampai habis, namun jika betul-betul ada masalah andai bercukup, potonglah sedikit rambutmu itu. Selesai bercukur, maka, tamatlah umrah kami dan kami sudah tiada larangan ketika ihram lagi. Alhamdulillah, sudah boleh bertukar ke baju biasa.

Malam itu amat letih. Selepas sahaja bercukur, kami pulang ke hotel kami dan terus tidur sehingga keesokan harinya.


Pukul 3 pagi, kami bangun dan bersiap-siap untuk qiyamullail dan solat Subuh. Kami ingat sekitar jam 4 tu dah awal benar, tapi, selautan manusia sudah berada di situ. Kami baru berniat nak menunaikan tawaf sunat dan mencium hajarul aswad, namun, manusia sungguh ramai seperti waktu siang juga. Kami menangguhkan hasrat kami dan mencari tempat untuk bersolat. Sambil-sambil menunggu azan Subuh, bolehlah perbanyakkan solat sunat dan baca al-Quran.

Selesai solat Subuh, kami melakukan tawaf sunat dan duduk bersolat Dhuha di hadapan Kaabah. Keadaan agak lengang ketika ni, walaupun masih sukar untuk ke hajarul aswad.

Kemudian, kami bersarapan di Felda D'Saji. Maklumlah, walaupun banyak je makanan di sini, kami tetap nak masakan Malaysia! Kami membeli nasi lemak ayam, namun, satu set nasi lemak tu boleh makan 2 orang. Alhamdulillah, kami bungkus makanan itu dan makanan di dalam hotel kami.


Pagi itu, kami dibawa oleh pemandu kami menaiki kereta Toyota Innova untuk berziarah sekitar kawasan bersejarah di Makkah. Antaranya adalah Gua Hira', tempat di mana Nabi S.A.W. mengasingkan diri dan di situ jugalah wahyu pertama diturunkan. Jika dilihat kedudukan Gua Hira' ni, wah, dahsyat sungguh ketinggiannya. Dan sukar dibayangkan kegigihan Nabi ke situ selalu. Jika difikirkan, Nabi S.A.W. memang memiliki fizikal yang mantap sekali, bukan calang-calang orangnya!

Selepas itu, kami dibawa pula ke tempat-tempat di mana ibadah Haji dilaksanakan. Arafah, Mina, Muzdalifah dan beberapa tempat lagi. Tidak dapat dibayangkan bagaimana keadaan ketika haji. Ketika kami melawat ni, amat lengang sekali keadaan.

Ringkas sahaja ziarah di Makkah, kami lebih fokus untuk menunaikan ibadat di Masjidil Haram.

Photobucket

Thursday, April 7, 2011

Kembara bumi Anbiya': Part 1

بسم الله الرحمن الرحيم

Kapal terbang EgyptAir yang kami naiki mendarat dengan selamat di Jeddah pada tengahari Ahad, 27 Mac 2011. Pada asalnya, sepertimana yang tertulis di dalam tiket, kami akan turun dan ditempatkan di Terminal N (Foreign Airlines Terminal). Buat pengetahuan, di lapangan terbang antarabangsa Jeddah, terdapat 3 terminal; Terminal S (Saudi Airlines), terminal N (Penerbangan lain) serta Terminal Haji (dibuka pada musim haji).

Heathrow

Beberapa penumpang lain di dalam penerbangan yang sama turut memakai ihram dan kami sama-sama bertalbiyah.

لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ، لاَ شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ، إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ
Aku memenuhi panggilanMu ya Allah aku memenuhi panggilanMu. Aku memenuhi panggilanMu tiada sekutu bagiMu aku memenuhi panggilanMu. Sesungguhnya pujaan dan ni’mat adalah milikMu begitu juga kerajaan tiada sekutu bagiMu

Turun sahaja dari kapal terbang, kami menaiki bas lalu dibawa ke sebuah bilik menunggu.

Aku pun menelefon individu yang sepatutnya bertanggungjawab menguruskan kami sepanjang perjalanan kami di Makkah dan Madinah. Tetapi, ketika aku bertanyakan seorang pegawai di lapangan terbang itu, dia berkata bahawa kami sekarang ditempatkan di Terminal Haji. Kami menunggu dan terus menunggu. Hampir sejam juga kami dikehendaki menunggu dalam bilik itu. Entah menunggu apa, aku pun tidak tahu. Kemudian, seorang pegawai mengarahkan kami untuk menuju ke imigresen. Maka, berkejaranlah semua penumpang untuk keluar dari bilik itu. Mujurlah aku dan Ajah muda lagi, kami berjalan agak laju dan terkehadapan berbanding pakcik dan makcik lain. Kami terus menuju ke kaunter imigresen dan dapat nampak lautan manusia beratur di situ. Mungkin ini sebabnya mereka mengasingkan dahulu kami, nak bagi keadaan terkawal rasanya.

Kami antara orang pertama di kalangan penumpang dalam penerbangan kami. Namun, sedang kami beratur menunggu giliran kami dengan penuh hemat, tiba-tiba lambakan manusia yang di belakang kami itu semberono sahaja memintas kami dan tidak beratur. Allah. Entahlah, tidak pasti samada ini adalah budaya mereka atau bukan, tapi akhirnya, walaupun kami orang pertama beratur, tetapi akhirnya kami menjadi orang terakhir yang melalui kaunter imigresen. Sedikit geram di dalam hati, namun aku bersabar, takut pahala umrah tercalar dengan begitu sahaja.

Keluar sahaja daripada lapangan terbang, aku mencari-cari agenku. Oh, tiada! Cari dan terus mencari. Tidak juga berjumpa. Satu nombor telefon yang tidak dikenali menelefon. Beliau adalah pemandu yang sepatutnya bertanggungjawab memandu kami ke Makkah. Namun, disebabkan beliau berbahasa Inggeris dengan nada Urdu, maka, aku sukar memahaminya. Lama juga kami berkeliaran di luar lapangan terbang itu mencari pemandu. Namun, tidak ku jumpa. Aku berdoa dalam hati, moga Allah permudahkan perjalanan kami. Kemudian, beberapa pemandu teksi bertanyakanku ke mana arah tujuku. Mereka melihat passportku dan berbincang sesama mereka tanpa aku fahami. Kemudian, datang seorang pakcik yang pakaiannya sedikit lain mungkin statusnya yang lebih tinggi daripada orang lain. Pakcik ini berkata dia akan menghantar kami kepada pemandu kami. Alhamdululillah, rupa-rupanya pemandu kami berada di luar lapangan terbang dan beliau yang asalnya ingat kami turun di terminal N, tidak dapat masuk ke Terminal Haji kerana menggunakan kereta biasa (hanya teksi dan bas dibenarkan masuk ke Hajj Terminal).


Perjalanan ke Makkah tidak lama. Lebih kurang sejam sahaja. Ditambah dengan kesesakan jalan sedikit, mungkin sejam setengah. Disebabkan kami keletihan, kami tertidur dengan damainya. Risau juga dengan keadaan pemanduan di Saudi ni. Ke hulu ke hilir kereta menyusup dengan laju, bunyi hon tu, macam irama dan lagu sahaja di sini, tak payah nak pasang radio dah!

Apabila masuk ke kota Makkah, hati makin tidak sabar. Ingin melihat Baitullah. Ingin melihat Kaabah. Nampak sahaja papan tanda menunjukkan arah Masjidil Haram, aku semakin teruja. Pakcik, tolongla drive laju sikit (padahal dah cukup laju).

Kami melalui Bab as-Salam dengan kereta. Ternampak gahnya dan indahnya pintu Masjidil Haral dari dalam kereta (Kaabah tidak nampak dari luar). Kami terus dibawak ke hotel kami, terus disambut oleh Hafiz Emad, seorang warga Bangladesh yang menetap di Makkah. Beliau menunjukkan kami bilik kami, lalu terus meminta kami bersiap untuk solat Asar. Jarak antara hotel dan Masjidil Haram hanya 5 minit berjalan kaki sahaja. Kami sedikit terlambat untuk ke Solat Asar, jadi, keadaan di Masjidil Haram sudah amat penuh, kami hanya mampu solat di luar sahaja, sebab jemaah sudah bermula ketika kami sampai. Oh, kecewa, baru ingat nak masuk tengok Kaabah. Namun, hasrat ini masih tersimpan lagi. Hafiz membawa kami ke tempat tukaran wang.

Kadar tukaran wang di sini jauh lebih untung berbanding andai tukar di UK. Di UK, tukaran matawang adalah 5.75 Riyal untuk satu Pounds, tetapi di Makkah, 5.97 untuk satu Pounds. Jadi, tips untuk mereka yang bakal ke tanah suci dari UK, aku cadangkan, tukar sedikit je wang di UK, selebihnya bawa dalam Pounds dan tukar di Makkah. Kemudian, Hafiz membawa kami ke restoran untuk makan. Alhamdulillah, makanan pertama yang kami beli adalah nasi beriyani berharga 18 riyal. Namun, sungguh banyak dan cukup untuk makan 2 orang, untuk 2 kali makan!

Hafiz meninggalkan kami untuk menyelesaikan umrah. Katanya, esok, selsai umrah, awal pagi, ada pemandu akan jemput kami untuk ziarah sekitar Makkah. Jadi, target kami untuk malam ini adalah untuk menyelesaikan umrah kami dahulu dan bertahallul daripada keadaan berihram. Kami bergegas ke Masjidil Haram. Kami masuk melalui pintu King Abdul Aziz. Kasut kami diletakkan di dalam kantung dan dibawa masuk ke dalam masjid, ini bagi mengelakkan kasut hilang. Langkah diatur satu persatu. Aku dapat nampak sedikit demi sedikit, binaan di tengah-tengah Masjidil Haram tersebut. Hati semakin tidak sabar dan teruja. Aku keluar ke bahagian lapang di tengah masjidil haram, selautan manusia yang amat ramai sedang melakukan tawaf mengelilingi Kaabah, pusat kiblat umat Islam. Oh, inilah dia pusat kiblat tempat aku bersolat selama ini.



Ihram ditukar kepada posisi idtiba'. Kami terus bertawaf umrah. Keadaan agak sesak, terutamanya di sudut Hajarul Aswad. Namun, selepas itu sehinggalah ke Rukun Yamani, keadaan agak longgar. Alhamdulillah, kami selesai bertawaf umrah menjelang Maghrib. dalam 30 minit sebelum solat Maghrib, kelihatan pegawai-pegawai masjidil Haram sudah mula mengarahkan Muslimat untuk keluar daripada tawaf dan pergi ke tempat Muslimat. Mujur kami sudah dapat melengkapkan tawaf umrah kami. Lalu, kami berpisah sejenak untuk menanti solat Maghrib.

Bersambung....

Photobucket

Monday, April 4, 2011

Bercinta Sampai ke Syurga

بسم الله الرحمن الرحيم

Pertamanya, tajuk entri kali ini adalah diambil daripada tajuk buku keluaran Ustaz Hasrizal. Namun, andai anda mengharapkan ulasan buku itu di sini, anda akan kecewa kerana itu bukanlah isi sebenar entri ini.

Dahulu, sebelum berkahwin (malah sebelum tahu siapa pun bakal aku kahwini), aku sudah menanamkan azam di dalam hati:

Lepas berkahwin, bulan maduku nanti adalah di Makkah dan Madinah!!!

Lantas, aku pun berkahwin... (nak pendekkan cerita)

Alhamdulillah, aku dan Ajah diberikan kesempatan, kelapangan masa serta kecukupan bekalan untuk menyahut jemputan Allah ke tanah suci Makkah dan Madinah. Alhamdulillah, setelah hampir seminggu berada di bumi mulia itu, kami selamat pulang semula ke London untuk meneruskan kehidupan yang juga merupakan suatu perjuangan. Penerbangan Egypt Air selamat mendarat di lapangan terbang Heathrow pada jam 9:20 malam semalam.


Tidak dapat digambarkan kegembiraan berada di tanah suci. Setibanya di Makkah, hati meronta-ronta ingin cepat masuk untuk melihat Kaabah. Itulah pusat kiblat umat Islam. Ke situlah arah aku bersolat selama lebih 20 tahun ini. Di sekitar itulah pelbagai sejarah umat Islam dilakar. Bukan sekadar zaman Rasulullah S.A.W., tetapi sejarah peradaban manusia beragama juga turut terlakar di situ. Itulah tempat Nabi kita berjuang. Oh, banyak sungguh peristiwa yang berlaku. Namun, yang paling menggiurkan sudah pasti ganjaran beribadat di masjidil haram.

Rasulullah SAW bersabda: “Solat di masjidku (Masjid Nabawi) lebih afdal daripada 1,000 kali solat di masjid lain kecuali Masjidilharam, dan solat di Masjidilharam lebih afdal daripada 100 kali solat di masjid-Ku ini (iaitu 100 ribu kali di masjid lain)”
(HR Ahmad)

100000 kali sahabat-sahabat sekalian. Berapa lama diperlukan untuk kita dapat 100000 solat? Betapa pemurahnya Allah kepada hambaNya. Kira sendirilah kawan-kawan untuk dapat anggaran waktunya. Ini bukan blog matematik.

Kemudian, kami turut berkesempatan menziarahi kota Nabi, Madinah al-Munawarah. Terasa begitu sayu dan syahdu apabila membayangkan suatu ketika dahulu, di sinilah Nabi dan para sahabat berhalaqah, berbincang serta menyebarkan Islam. Di sinilah empayar Islam mula terbina.

Oh, kali ini aku tidak berniat untuk menceritakan pengalamanku di dua tanah suci ini, mungkin lain hari akan diceritakan.

******************************

Semua daripada kita mengimpikan bulan madu yang terindah. Sebut sahaja tempat-tempat dalam dunia ini, mungkin Paris, Rome, Venice atau Amsterdam menjadi destinasi pilihan. Benar, tiada masalah untuk ke tempat-tempat berkenaan. Namun, alangkah ruginya andai tidak terlintas pun dalam hati kita untuk ke tanah suci bersama pasangan kita. Bukankah ianya kenangan terindah andai dapat berbulan madu sambil beribadah secara khusus untuk menggapai keredhaan Allah. Pahala dilipatgandakan, bukankah itu hadiah terindah buat diri dan pasangan kita?

Perkahwinan bukanlah suatu jaminan kegembiraan. Perkahwinan memerlukan pengorbanan. Perkahwinan yang bahagia dunia dan akhirat memerlukan keberkatan. Keberkatan itu datangnya daripada Allah. Bagaimana pula ingin mendapat keberkatan itu? Sudah tentu dengan menjadi hamba yang bertakwa kepadanya. Dengan takwalah, dua insan akan terus bersahabat ketika akhirat nanti. Allah berfirman:

http://c0022506.cdn1.cloudfiles.rackspacecloud.com/43_67.png
Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh).
(az-Zukhruf: 67)

Buat yang sedang bercinta, mencari cinta mahupun yang sudah berkahwin, renungkanlah, adakah cinta kita itu cinta yang mendekatkan diri kita dengan Allah? Atau sekadar cinta buta yang membutakan diri kita daripada maksiat dan kefasikan. Atau adakah kalimat 'cinta suci' itu benar-benar suci andai dipalit dengan dosa?


Buat yang membaca. Marilah tanamkan azam dalam diri untuk kita mengejar cinta yang diredhai Allah. Cinta yang mendekatkan diri kepada Allah. Tanamkanlah azam untuk mengutamakan tanah suci sebagai destinasi pilihan berbulan madu, barulah disusuli dengan tempat-tempat yang lain. Sentiasalah berdoa supaya hati kita tidak dipalingkan daripada cinta hakiki, kepada Allah Rabbul Alamin. Kejarlah cinta yang membawa kita ke syurga, bukan syurga di dunia, tetapi syurga di akhirat sana.

Bercinta Sampai ke Syurga

Itu impian kami suami isteri bersama. Aku pasti, itu adalah impian semua. Namun, sejauh manakah kita berusaha ke arahnya?

Aku bukan Doktor Cinta, bukan juga Pakar Perkahwinan.

http://c0022506.cdn1.cloudfiles.rackspacecloud.com/43_69.png
(Mereka itu ialah) orang-orang yang beriman akan ayat-ayat keterangan Kami, serta mereka menjadi orang-orang Islam yang taat patuh,

http://c0022506.cdn1.cloudfiles.rackspacecloud.com/43_70.png
(Mereka diberi sebaik-baik balasan dengan dikatakan kepada mereka): "Masuklah kamu ke dalam Syurga bersama-sama isteri-isteri kamu (yang beriman), dengan menikmati sepenuh-penuh kegembiraan dan kesenangan". (az-Zukhruf: 69-70)

Photobucket