Saturday, March 26, 2011

Ziarah Haramain

بسم الله الرحمن الرحيم

Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah.....
(al-Baqarah: 196)

InsyaAllah, petang ini, aku dan zaujah akan bertolak ke Jeddah bagi menunaikan ibadah umrah. Kami akan bertolak daripada Heathrow, transit di Cairo dan kemudian akan bertolak ke Jeddah. Semua penerbangan kami adalah menggunakan khidmat EgyptAir.

http://www.inforwarding.com/clientfiles/comp2828/egypt%20air.jpg

Alhamdulillah, kami bersyukur kerana diberikan sedikit rezeki dan kesempatan untuk menunaikan umrah. Lebih istimewa lagi, pemergian kami ini adalah sebagai pasangan yang sudah berkahwin. Moga mendapat keberkatan Allah sebelum, semasa dan selepas daripada menjejakkan kaki ke dua tanah haram (haramain).

Rugilah bagi mereka yang berlumba-lumba ingin melancong ke merata tempat, namun tidak pernah terdetik dan berusaha pun untuk ke tanah suci

Dalam keghairahan kita bercuti musim bunga ini selama lebih kurang sebulan ini, benar, segala perancangan dilakukan, ada yang merancang untuk ke Turki, Itali, Sepanyol dan macam-macam lagi. Namun, dalam keseronokan kita merancang perjalanan itu, haruslah kita sematkan dalam hati untuk suatu hari nanti kita akan ke tanah suci. Bukan sekadar menyematkan hasrat dalam hati, segala jenis usaha dan persiapan juga perlulah dilakukan dengan gigih. Samada dari sudut wang, masa dan ilmu, perlulah dicari dan dilengkapkan. Amat rugilah bagi mereka yang mampu menghabiskan wang dan masa untuk ke tempat-tempat lain, tetapi tidak pernah memikirkan untuk ke tanah haram.

Jadi, dalam entri blog yang pendek kali ini, aku menyeru semua pembaca sekalian, tidak kisah anda dari UK, USA, Australia mahupun Malaysia, marilah sama-sama kita berazam dan berusaha untuk menunaikan ibadat umrah dan haji suatu hari nanti, di samping melancong ke tempat-tempat lain.

Terima kasih diucapkan kepada semua sahabat-sahabat yang membantu, samada melalui persiapan ilmu kami, perkongsian pengalaman, wang ringgit mahupun doa. Kami amat-amat menghargai segala pertolongan anda semua. Moga ianya dijadikan sebagai cagaran untuk kita memperoleh syurga Allah di akhirat kelak.

Barang-barang sudah hampir siap dikemas, tinggal beberapa perkara kecil lagi hendak disiapkan dan dimasukkan dalam beg. Doakanlah semuanya dipermudahkan.

Jadi, dengan ini, blog ini akan direhatkan buat beberapa ketika sehinggalah sekembalinya kami berdua daripada umrah nanti.

Wallahu'alam

Photobucket

Friday, March 25, 2011

Mak, saya mahu kahwin!

بسم الله الرحمن الرحيم

Baru sahaja beberapa tahun lepas, aku memikirkan lama lagi aku akan kahwin. Jadi, sejujurnya, aku tidak pernah pun terfikir dan berfikir untuk mengungkapkan permintaan ini kepada ibu bapaku. Lebih-lebih lagi, aku adalah anak bongsu, satu-satunya anak lelaki dalam keluarga. Jadi, mengikut adat dan kebiasaannya, kenalah tunggu kakak-kakaknya berkahwin dahulu.

Namun, Allah jua yang menentukan segalanya. Perancangan Allah itu sangat cantik, kemas dan penuh hikmah.

Pertama kali ingin mengutarakan hasrat ingin berkahwin, aku kaget, cuak dan cemas. Maklumlah, kami tidak pernah pun berbincang mengenai hal ini secara serius bersama. Mungkin jika aku memaklumkan perkara ini, seolah-olah suatu langkah yang drastik dan mengejutkan. Macam-macam bermain di fikiran. Jadi, pengajaran pertama, walaupun anda masih belum berhasrat untuk berkahwin dalam masa terdekat, selalu-selalulah bertanya kepada ibu bapa dan keluarga mengenai perkara ini, minta pendapat mereka dan siasat apa pendirian mereka. Oleh itu, tidaklah anda akan merasa janggal apabila pertama kali ingin berbincang mengenai hal ini.


Tetapi aku masih tiada keberanian mutlak untuk bertanyakan ibu bapaku secara terus. Jadi, cara yang aku rasakan lebih kecil mafsadahnya diambil. Menggunakan posmen untuk memaklumkan kepada ibu bapaku. Namun, bukanlah Pos Malaysia atau Royal Mail digunakan, apatah lagi DHL. Posmen yang dipilih adalah kakak sulungku sendiri. Aku masih ingat, ketika itu aku berborak dengannya melalui sistem chatting Facebook:

Along, apa pendapat mak abah ye kalau kahwin masa belajar? (berpeluh)

Haaa? Kenapa tetibe tanya? Adik nak kahwin ke?

Tanyalah dulu!!!

Terus off Facebook dan terjun ke atas katil. Cuak.

Sebelum menerima balasan dari emak dan abah, aku cuba menjangka apa kemungkinan respon mereka. Dibantu oleh sepasang pasangan post-graduate, aku merangka persediaan kewangan, masa serta kehidupan untuk dibentangkan kepada ibu bapaku. Barulah hujah tu konkrit sikit. Dengan melakukan pelan ini juga, menunjukkan kesediaan, kematangan dan kesungguhan kita untuk melangkah ke alam baru.

Masa berlalu.

Suatu pagi yang hening, abah menghubungiku. Seperti dijangka, selepas bertanya khabar ringkas, abah bertanya perihal perkahwinan. Abah berkata, abah dan mak berpendapat, kahwinlah selepas habis belajar. Kerja dua tahun dahulu, barulah stabil sikit kehidupan nak sara anak orang. Walaupun aku seperti sudah menjangka jawapan itu, namun masih lagi seperti menerima sebuah tamparan. Sedih. Namun, alhamdulillah, Allah masih memelihara diriku lagi dengan memberikanku kesabaran dan tidak cepat melatah. Nasihatku kepada mereka yang menerima tentangan ibu bapa mengenai idea selepas berkahwin, jangan sesekali meninggikan suara kepada mereka, takut-takut kita ni termasuk dalam golongan anak derhaka. Allah berfirman:

http://c0022506.cdn1.cloudfiles.rackspacecloud.com/17_23.png

Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).
(al-Israa': 23)

Sebaliknya, bertenanglah, dan fikirkan cara lain yang lebih halus dan berhikmah untuk mengambil hati mereka.

Masa berlalu lagi....

Setelah aku rasakan masa telah menyejukkan suasana, aku kembali memberanikan diri untuk bertanya lagi kepada ibu bapaku mengenai hal ini. Oh, apabila berdepan dengan cabaran sekali, jangan terus berputus asa. Jika kita tidak berganjak dengan keputusan kita, itulah bukti kesungguhan dan kesediaan kita.

Kali ini, aku membentangkan segala perancangan masa depanku, kewangan, akademik, kehidupan dan sebagainya. Namun, masih tidak berhasil mengubah keputusan ibu bapaku. Buntu.

Musim panas tiba. Aku pulang bercuti di Malaysia. Masih lagi keazamanku untuk berbincang 'face-to-face' dengan ibu bapaku.

Dipendekkan cerita, pada suatu hari, abah mendekatiku. Abah menceritakan sebab sebenar mereka tidak membenarkanku berkahwin. Ianya perihal hati dan perasaan. Bukanlah sebnarnya mengenai persoalan material. Persoalan duit, masa dan pelajaran itu hanyalah sebagai pelapik sahaja kepada perasaan kasih dan sayang mereka terhadap anaknya ini.

Sahabat-sahabat.

Ibu bapa kita adalah orang yang paling mengenali kita. Dari kecil mereka melahirkan, membesarkan kita bagai menatang minyak yang penuh. Namun, apabila besar, melepaskan anak ke sekolah asrama adalah suatu pengorbanan besar buat ibu bapa. Ibu bapa mana yang mahu berjauhan dengan anaknya? Namun, pengorbanan itu dilakukan demi membolehkan anaknya menjadi insan berguna. Kemudian, satu keputusan besar dibuat, iaitu membenarkan anaknya belajar ke luar negara. Lebih terguris hati ibu bapa memikirkan semakin berjauhan dengan anaknya. Ketika si anak meloncat-loncat tak sabar nak ke UK, ibu dan bapa hanya mampu tersenyum sayu. Si anak tidak pernah memikirkan perasaan ibu bapanya, yang penting, teruja sebab nak ke UK. Tiba-tiba, belum sempat si ibu bapa mendapatkan kembali kasih sayang dan perhatian anaknya, sudah mahu berkahwin dan melangkah ke dunia sendiri. Oh, betapa tergurisnya hati ibu bapa. Apabila sedar dengan hakikat ini, aku seperti mahu menangis. Perasaan bersalah menyelubungi diri. Adakah aku mementingkan diri? Adakah aku anak yang derhaka?

Aku tidak lagi berbincang mengenai hal ini. Namun, dalam doaku setiap kali selepas solat, aku meminta kepada Allah agar memberikan yang terbaik buat diriku, agamaku serta keluargaku. Jika perkahwinan itu yang terbaik, berilah kemudahan kepadaku, walau dengan apa cara pun yang Engkau kehendaki. Namun, jika ada yang lebih baik daripada itu, maka, Engkau permudahkanlah jalan itu, dengan apa cara pun yang Engkau kehendaki.

Hidup diteruskan seperti biasa. Aku sibuk menghadiri dan menganjurkan program-program musim panas. Program-program predeparture, usrah-usrah, ziarah meminimumkan lagi masa aku di rumah. Namun, emak dan abah tidak pernah menghalangku. Mereka tahu, anak mereka melakukan perkara yang baik. Namun aku tahu, jauh di sudut hati mereka, mereka sedih sebab semakin masa bersama anak mereka.

Ibu bapa kita paling faham dan mengenali diri kita. Jika mereka tidak membenarkan kita berkahwin, pasti ada sebabnya. Namun, saban kali, si anak gagal untuk menafsir tanda kasih sayang ibu bapanya. Bagi anak, ibu dan bapa hanya mahu mengawal hidupnya. Oh, dangkalnya pemikiran si anak. Jika ini berlaku terhadap anda, berlapang dadalah. Cubalah cari waktu dan keadaan yang sesuai untuk bertanya mereka, apakah yang mereka nampak pada kita.

Sepanjang keberadaanku di rumah, dengan masa yang sedikit itu, aku cuba mengoptimakan masa dengan keluarga. Aku mengurangkan menonton televisyen dan duduk di depan laptop, sebaliknya masa yang ada digunakan untuk berborak dan bermanja dengan ibu dan bapa. Mungkin ada yang kata, gelilah nak bermanja-manja ni, tak jantan lah. Ah, peduli apa, aku rasa dengan ibu bapalah orang yang patut kita manja sekali, bukan dengan awek atau sesiapa sahaja yang kita tiada kewajipan pun.

Allah maha berkuasa atas segala-galanya. Dipendekkan cerita, aku pulang ke UK awal, waktu itu memang sudah menyimpan hasrat berkahwin itu. Sudah tidak mengharap keajaiban akan berlaku. Tetapi apabila Allah telah menetapkan ianya berlaku, mudah sahaja bagiNya. Suatu petang, ketika bulan Ramadhan, abah menelefonku menggunakan Skype. Abah berkata, baliklah, kita langsungkan perkahwinan lepas Raya ni.

.....

Aku rasa macam salah dengar ni. Urm, ni bertunang ke kahwin?

Dua-dua, abah jawab. Belilah tiket balik.

Masih dalam keadaan separa sedar, aku membeli tiket Emirates pulang ke Malaysia. Hanya 4 hari sebelum penerbangan sahaja aku beli tiket, namun Alhamdulillah, dapat tiket harga lebih kurang £400 sahaja.


Jadi, dipendekkan lagi cerita yang dah pendek ni, pernikahan dan perkahwinanku berjalan dengan lancar (perkara-perkara birokrasi seperti dokumen dan sebagainya tu, aku taknak cerita sekarang, nak tulis post lain pasal ni).

Jadi, apa pengajarannya?

1) Berboraklah mengenai perancangan masa depan anda dengan ibu bapa anda, walaupun anda rasa awal lagi untuk membincangkannya. Jadi, anda tidak akan rasa janggal apabila hendak serius mengenainya.

2) Sediakanlah perancangan kewangan, akademik serta masa anda dengan baik, seelok-eloknya ditulis dalam satu dokumen dengan kemas. Kalau anda nak merancang eksperimen anda pun dah buat elok-elok, ini pula nak merancang kehidupan. Lebih baik jika perancangan ini dirangka bersama-sama dengan pasangan lebih dewasa yang sudah berkahwin, yang mungkin mempunyai lebih pengalaman. supaya perancangan anda ini realistik dan mampu dilaksanakan.

3) Jangan emosi atau naik angin apabila mendapat tentangan ibu bapa. Dalam kita hendak menjalankan sunnah perkahwinan, jangan sampai ditinggalkan kewajipan mentaati ibu bapa.

4) Sayangilah dan hargailah ibu bapa kita. Mereka tidak boleh diganti

5) Doa senjata mukmin. Sentiasalah doa mohon perlindungan daripada perkara yang tidak bermanfaat bagi agama dan diri kita. Pohonlah, luahkanlah kepada Allah segala yang terbuku dalam hati. Allah sentiasa mendengar luahan dan rintihan hambaNya.

Mak, abah, terima kasih atas kasih sayang selama ini. Tidak terbalas jasa dan kasih sayang mak dan abah. Terima kasih kerana meredhai malah amat membantu perkahwinan kami. Kami sayang mak dan abah!!!

Wallahu'alam. Moga bermanfaat.



Photobucket

Wednesday, March 23, 2011

Kahwin ketika belajar

بسم الله الرحمن الرحيم

Pertamanya, aku bukanlah pro atau anti kahwin semasa belajar. Aku tidak berada di mana-mana pihak pun. Bagi aku, tidak penting kahwin semasa belajar atau selepas bekerja, apa yang penting, adalah kahwin ketika sudah BERSEDIA. Persediaan itu pula merangkumi rohani dan fizikal. Dari segi rohani, adakah kita sudah yakin dapat memimpin keluarga ke arah yang diredhai Allah? Dari sudut fizikal pula, adakah kita mampu untuk menyara hidup berkeluarga?

Ramai yang menceritakan kepadaku, waktu belajar adalah waktu ideal. Waktu belajar, kita banyak masa terluang, berbanding waktu bekerja. Banyak sungguh peringatan aku terima mengenai kesibukan di Malaysia, samada dari sudut kerjayanya, dakwah dan sebagainya.

Teringat pesanan ustaz Khosim (ustaz SBPI Rawang):

Bila nak kahwin, mulalah kita banyak sangat fikir masalah duit la, masalah masa la, itu semua hasutan syaitan taknak kita buat ibadah!!!

Tersentak....

Memang, kita perlu berfikir tentang masalah-masalah tersebut. Tapi jangan terlalu banyak fikir masalah, sehingga kita tidak berusaha pun nak mengatasinya. Perasaan-perasaan berat, susah, sukar itu, hanyalah permainan syaitan. Janji Allah:

http://c0022506.cdn1.cloudfiles.rackspacecloud.com/24_32.png
Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui. (An-Nur: 32)

Namun, dalam masa yang sama, jangan pula kita lupa persediaan sunnatullah kita. Kumpullah duit secukupnya (bukan sebanyak-banyaknya), timbalah ilmu secukupnya (bukan sampai jadi perfect) serta persiapan-persiapan lainnya.

Perkahwinan ketika belajar ada kekurangan dan kelebihannya, bergantung kepada siapa anda dan bagaimana anda melihatnya. Ya, selepas berkahwin, pergerakan kita sedikit terbatas, setiap kali nak melancong atau bersiar-siar, kena fikir untuk dua orang. Setiap kali hendak melakukan sesuatu, kena fikir untuk kita dan pasangan. Mungkin agak leceh bagi sesetengah orang, tetapi tidak bagi yang lain. Tetapi, aku pula, jenis yang tidak suka keluar berseorangan, jadi, bagi aku, setelah berkahwin, terbukti aku lebih banyak jalan daripada ketika bujang! Mungkin sebab Allah kurniakan aku pasangan yang menjadi teman perjalanan yang best.

Antara cabaran berkahwin ketika belajar juga adalah pengurusan masa. Masa kita sehari-hari perlulah menitikberatkan juga pasangan kita. Di sini, teknik pengurusan masa efektif amat teruji. Masa untuk belajar, bekerja, berusrah, berehat dan sebagainya perlulah ditentukan dengan baik dan disiplin diri perlu bagi memastikan kita tidak tersungkur. Lebih-lebih lagi, orang macam aku ni, kalau nak belajar, kena berseorangan dan senyap. Namun, alhamdulillah, aku dikurniakan pasangan yang amat memahami. Ketika aku ingin mengulangkaji, beliau akan berusaha sedaya upaya tidak menggangguku. Malah, pengurusan masaku lebih efektif dan tersusun. Beliaulah yang membantuku menyusun tugas-tugasku, beliaulah juga yang mengingatkanku deadline yang perlu dipatuhi. Beliau menjadi Personal Assistance yang amat efektif!

Bagaimana pula dengan duit?

Berkenaan kewangan, aku hanya boleh kongsikan pengalaman kami, mungkin berlainan dengan orang lain. Yang penting, kita merancang berdasarkan kapasiti kita sendiri.

Kami tidak menghadapi banyak masalah berkenaan kewangan. Kami masing-masing mempunyai penaja sendiri. Jadi, apabila pendapatan kami digabungkan, tiada beza sangat pun dari sudut perbelanjaan. Malah, apabila kami berkongsi pendapatan kami, terasa lebih pula wang kami. Dari sudut motivasinya, ini dinamakan sinergi. Dari sudut Islamnya, mungkin ini yang dikatakan keberkatan.

Keberkatan itu bukan bermakna memiliki wang sebanyak-banyaknya, tetapi keberkatan itu adalah merasa cukup dengan wang yang sedikit.

http://c0022506.cdn1.cloudfiles.rackspacecloud.com/67_1.png
Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu
(al-Mulk: 1)

Perkahwinan ketika belajar mungkin akan membuahkan kemanisan. Ketika belajar, berada dalam dunia ideal. Banyaknya masa, elaun yang cukup banyak, membolehkan kami untuk melancong ke sana ke mari, memahat kenangan di negara-negara yang kami lawati. Setiap pengembaraan ke program tarbiyah dan dakwah juga kami gunakan untuk lebih mengenali diri masing-masing. Setiap kali perjalanan ke tempat program, terasa manis perjalanan itu, terasa pendek destinasi yang dituju.


Namun yang lebih penting, apa yang kita dapat bantu ummah selepas perkahwinan. Elakkanlah menjadi kaku dan beku selepas perkahwinan. Benar, mungkin ada keterbatasan dalam beberapa sudut yang membuatkan kita sedikit perlahan di medan dakwah, tetapi, carilah sudut-sudut lain untuk kita membantu selaku seorang pasangan yang sudah berkahwin. Terlalu banyak lagi sudut yang boleh kita tampung. Selepas kami berkahwin, ramai rakan-rakan yang merujuk kami beberapa perkara dan masalah. Malah, ada juga rakan-rakan dari Malaysia dan Australia yang turut bertanyakan kami. Pintu dakwah dapat dibuka seluas-luasnya, dan kami nampak, terlalu banyak ruang yang boleh kami bantu masyarakat secara umumnya.

Kesimpulannya, anda sendiri yang lebih tahu, adakah diri anda sudah bersedia untuk melangkah ke dunia baru. Tidak boleh pukul rata isu perkahwinan ini kepada semua orang. Mungkin ada yang memang bersedia untuk berkahwin ketika belajar, tetapi ada juga yang masih belum bersedia. Tetapi tidak dinafikan, ada kekurangan dan ada kelebihannya berkahwin ketika belajar. Yang penting, apa persiapan kita menghadapi era perkahwinan?

Tapuk dada, tanya iman (bukan tanya Iman Manan).....


Photobucket

Tuesday, March 22, 2011

Nikah: Sekarang atau Karang?

بسم الله الرحمن الرحيم

Dalam blog entri yang ke-1000 ini, sukalah untuk aku berkongsikan hasil penulisan yang bertitik-tolak daripada sedikit pengalaman dan ilmu yang ada. Moga ada hikmah, pertama buat yang menulis, dan seterusnya kepada yang membaca.

Tajuk entri ini diambil daripada sebuah kuliah online yang pernah dianjurkan oleh iluvwarwick, sebuah komuniti ceria dari the University of Warwick.

"Perkahwinan itu Sunnahku, sesiapa yang tidak suka kepada Sunnahku, dia bukan daripada kalangan umatku"
(riwayat Al-Bukhari)

Sejak 4-5 bulan kebelakangan ini, terlalu banyak soalan yang diajukan kepada aku dan Ajah, rata-rata mengenai kahwin ketika belajar. Soalan-soalan yang biasa diajukan:

Camne dah tahu bersedia nak kahwin? Cukup ke duit? Tak rasa hilang kebebasan ke?

Dan banyak lagi. Malah, ada juga antara yang memaklumkan kepadaku, mereka siap menunjukkan facebook profile aku kepada ibu bapa mereka, sebagai bukti, ada kenalan mereka yang mampu untuk berkahwin ketika belajar. Sungguh berat rasa hati ini, andai menjadi ikutan orang. Sungguh takut andai yang aku lakukan itu mungkin tidak tepat dengan kesesuaian semua orang.

Jadi, kami pun bertalu-talulah membalas segala emel, menjawab SMS, menerima panggilan, berdialog, menjawab mesej Facebook dan macam-macam lagi cara perhubungan yang digunakan untuk bertanya kami perihal ini. Jadi, sebab dah banyak sangat pertanyaan, aku tulis je blog entri ni, moga mudah diakses bagi mereka yang mencari. Tetapi, anda harus ingat, segala yang ditulis dalam blog ini mungkin indah dan baik bagi kami, tetapi mungkin keadaan berbeza dengan anda semua.

Pernah suatu ketika dahulu, aku menulis dalam status FB ku:

Mana-mana lelaki yang masih mengatakan perkahwinan itu mengehadkan kebebasannya, dia sebenarnya masih belum matang untuk memimpin keluarga

Maka, ramailah yang semakin bertanya dan terus bertanya.

Bila ditanya rakan-rakan, ada yang berkata, tidak bersedia untuk berkahwin lagi kerana masih belum puas menikmati kebebasan. Lalu aku bertanya, kebebasan sepertimanakah yang engkau maksudkan? Adakah kebebasan itu bererti melakukan perkara-perkara lagho mahupun yang bathil? Adakah kebebasan itu bererti membuang masa melakukan tidak berfaedah? Jika itulah yang didefinisikan sebagai kebebasan, jawapanku YA, setelah berkahwin anda akan tidak bebas.

Sebuah majlis akad nikah yang sedang berlangsung

Tidak bebas? Benar, setelah berkahwin, ada yang menegur kita andai kita melakukan kesilapan. Ada yang mengingatkan kita andai kita membuang masa. Ada yang memberitahu kita, andai kita kerap kali melakukan perkara lagho. Bagi aku, aku rela menggadaikan 'kebebasan' ini asalkan mendapat kebebasan di akhirat kelak. Biarlah lebih cepat ada orang yang mengingatkanku tentang dosa dan pahala daripada aku membiarkan hidup aku ini terus lagho dan membuang masa.

Ya, perkahwinan itu suatu komitmen. Namun, sedarkah kita, setiap komitmen yang kita pegang itu, perlulah disertai dengan pengorbanan. Ambil sahaja contoh persatuan. Komitmen kita terhadap persatuan itu, membuatkan kita mengorbankan masa, tenaga, malah harta demi memastikan aktiviti persatuan itu bergerak lancar. Tanpa pengorbanan, komitmen kita boleh dipersoalkan.

Berbalik kepada statusku itu. Yang dimaksudkan dengan lelaki yang beranggapan bahawa perkahwinan itu mengehadkan kebebasannya, adalah mereka yang takut untuk memberi komitmen kepada suatu ikatan yang dipanggil perkahwinan, kerana mereka tidak bersedia untuk memberi pengorbanan. Mereka inilah yang aku katakan masih belum matang untuk memimpin sebuah organisasi bernama keluarga.

Benar, mungkin ada yang mengatakan aku terlalu ideal, baru 5 bulan kahwin, bajet berpengalaman. Namun, sekurang-kurangnya, inilah pegangan aku ketika ini, dan inilah yang mungkin apa yang boleh aku kongsikan daripada pengalaman singkat ini.

Masjid dan makam Abu Ayyub al-Ansari

Kadang-kadang, bila aku bertanya, ada juga yang berkata:

Aku nak kumpul duit dulu, sekurang-kurangnya RM 20000

Benar, Nabi S.A.W. bersabda:

"Wahai pemuda-pemuda, sesiapa sahaja diantara kamu yang berkemampuan untuk berkahwin, maka berkahwinlah kerana dengan berkahwin dapat menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan diri"
(riwayat Bukhari dan Muslim)

Namun, apakah sebenarnya definisi berkemampuan itu? Adakah hanya wang sahaja?

Bila aku bertanya, RM 20000 ni, nak guna untuk apa? Jawapannya:

Kenduri kahwin

......

Betapa ruginya apabila segala penat lelah mengumpul duit akan dihabiskan dalam sebuah majlis yang mengambil masa sehari sahaja. Bagi aku, yang lebih penting adalah duit yang akan digunakan untuk menyara isteri setelah berkahwin. Bagi yang berfikiran mengumpul duit untuk kenduri sahaja, oh, begitu pendeknya perancanganmu. Lebih malang, ada yang menghabiskan wang puluhan ribu untuk kenduri besar-besaran, akhirnya, selepas kahwin, tiada wang untuk digunakan, malah ada yang berhutang! Bukankah lebih elok andai duit yang dikumpul itu digunakan untuk kegunaan awal kehidupan selepas perkahwinan. Waktu awal perkahwinan, itulah waktu tidak stabil, terutamanya dari sudut kewangan.

Ingatlah janji Allah:

http://c0022506.cdn1.cloudfiles.rackspacecloud.com/24_32.png
Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui. (An-Nur: 32)

Namun, tidak dinafikan, budaya setempat yang mengagumi majlis besar-besaran itu, perlu juga kita ambil kira. Namun, nasihatku, bersederhanalah selagi mampu. Contohnya, tidak perlulah nak habiskan duit buat hiasan-hiasan yang bergemerlapan. Tidak perlu juga nak sewa pasukan-pasukan kompang untuk buat persembahan. Ada pula yang sewa penyanyi-penyanyi untuk hiburan tetamu. Daripada sebuah sunnah, walimah jadi tempat maksiat!

“....Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.”
(Surah al-A’raaf: 31)

Alhamdulillah, kedua-dua keluarga kami memahami perihal ini. Tambahan pula, kami adalah pelajar, maka, semua hadirin pun paham keadaan kami. Alhamdulillah, antara perkara-perkara kecil lain yang dapat dilakukan adalah melabelkan tempat muslimin dan muslimat di khemah jamuan. Mungkin itu adalah usaha kecil kami untuk menunjukkan bahawa Islam itu praktikal.

Setakat ini dahulu, aku menulis beberapa perkara yang amat popular ditanya kepada kami kebelakangan ini. Untuk pertanyaan-pertanyaan lebih spesifik, bolehlah bertanya terus kepada kami. Aku tengah merancang juga untuk menulis lagi berkenaan isu kahwin ketika belajar. Moga diberikan masa dan kekuatan untuk menulis.

Mungkin akan bersambung.....

Photobucket

Sunday, March 20, 2011

Masa Depan Malaysia?

بسم الله الرحمن الرحيم


Sekarang ni, sibuk dibincangkan mengenai masa depan penggunaan tenaga nuklear di Malaysia. Isu tempat, kos, keselamatan menjadi topik utama perbincangan. Baru-baru ini sahaja, beberapa reaktor nuklear di Jepun meletup dan runtuh dan meningkatkan risiko radiasi kepada ribuan rakyat Jepun.

Reaktor di Jepun runtuh disebabkan gempa bumi. Stadium di Malaysia runtuh disebabkan?

Secara peribadi, jika dilihat daripada sudut pencemaran secara keseluruhan, jumlah tenaga yang dihasilkan, memang penggunaan tenaga nuklear adalah sesuatu yang ideal. Namun, melihatkan kepada indeks rasuah dunia, aku berfikir kembali, adakah Malaysia mampu untuk melaksanakannya tanpa masalah? Jika masjid, jambatan, bangunan biasa pun, habis kualiti bangunan sebab tangan-tangan manusia yang memberi dan menerima rasuah, ini pula reaktor nuklear? Menurut indeks rasuah sedunia, Jepun mempunyai markah 7.8 manakala Malaysia mempunyai indeks 4.4 (semakin tinggi markah, semakin kurang rasuah). Namun, reaktor di Jepun pun masih runtuh (dengan izin Allah). Jadi, kalau bina di Malaysia, adakah ditiup angin menyebabkan reaktor akan runtuh?

Moga kerajaan mengkaji tahap kompetensi Malaysia untuk melaksanakannya.

Kesimpulannya, rasuah itu berdosa dan menyusahkan orang ramai

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
"Allah melaknati pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam hukum."
(HR al-Tarmizi, Ahmad & Ibnu Hibban)

Photobucket

Kisah Warwick dan Penghuninya

بسم الله الرحمن الرحيم

Sepertimana yang dirancang, aku dan Ajah bertolak ke Warwick pada jam 6:30 petang hari Jumaat, menaiki National Express. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 2 jam setengah. Alhamdulillah, perjalanan lancar tanpa sebarang gangguan lalu lintas. Bas kami singgah di Coventry dahulu sebelum meneruskan perjalanan ke University of Warwick.

Anehnya, di Coventry, amat ramai orang yang turun daripada bas, yang tinggal hanyalah 6 orang sahaja. Daripada 6 orang ini, hanya kami berdua yang akan turun di University of Warwick. Yang selebihnya akan ke Leamington mahupun Stratford, tempat kelahiran Shakespeare. Lebih aneh lagi apabila pelajar-pelajar Warwick sendiri ada yang tidak tahu National Express berhenti di situ. Mengapa? Tidak kami ketahui jawapannya.


Kami berhenti di Art Centre. Kehadiran kami disambut oleh 4 orang rakan karibku, Hafizuddin (Hypo), Izzat, Dzull dan Khairul. Aku tersenyum lebar bertemu mereka. Walaupun baru 3 minggu lepas kami berjumpa, seakan-akan tidak bosan pertemuan kami saban kali. Ada sahaja cerita hendak diluahkan, ada sahaja idea dan perkara ingin diborakkan. Sebab itu aku tidak pernah merasa berat untuk ke Warwick, terasa mereka begitu rapat denganku. Merekalah yang selalu bersamaku tika senang dan susah. Jika terdapat masalah, merekalah yang berlumba-lumba membantuku. Inilah sepatutnya hubungan seorang Muslim dengan Muslim yang lain:

Daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Seorang Muslim dengan Muslim yang lain adalah bersaudara, dia tidak menzaliminya dan tidak mengelakkan diri daripada menolongnya, sesiapa yang melepas hajatnya, sesiapa yang melepaskan saudaranya daripada sesuatu kesempitan, maka Allah akan melepaskan satu kesempitan daripada kesempitan-kesempitan hari kiamat, dan sesiapa yang menutup (keaiban) saudaranya, maka Allah akan melindunginya pada hari kiamat.”
(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Ajah pula disambut oleh 2 muslimat, iaitu Aqilah dan Suhaizura. Kami berpisah di situ. Ajah mengikut muslimat ke rumah mereka manakala aku mengikut Hypo dan rakan-rakan ke rumah mereka.

Bangunan mereka diberi nama Redfern, hall 5 bilik di mana mereka lima pelajar Malaysia duduk bersama-sama, masak dan makan bersama, serta bergurau senda bersama. Seperti biasa, aku meletak barang-barangku di bilik Hafizuddin, dah anggap seperti bilikku sendiri. Sesampainya di rumah, aku dihidangkan dengan makan malam yang dimasak oleh Hypo sendiri. Ayam paprik yang amat menarik sekali.

Keesokan harinya adalah Warwick Games. Aku baru tahu. Tidaklah berniat pun untuk datang menyaksikan Warwick Games. Tapi, takpelah, ok juga dapat melihat pelajar-pelajar Malaysia beraksi.


Seawal pagi (ok, tidaklah awal sangat, sekitar jam 10 pagi), aku, Hypo dan Dzull berjalan kaki menuju ke Cryfield. Cuaca hari ini amat cerah, langit pula amat biru sekali. Tetiba rasa nak nyanyi lagu 'Sebiru hari ini' nyanyian Edcoustic. Cuaca begini pula membuatkan rasa rugi tidak mengeluarkan kamera. Maka, segala bentuk kamera dikeluarkan oleh manusia-manusia Warwick ini.


Kami pergi ke padang ragbi dan menonton Touchby - permainan Touch Rugby. Maka, adalah beberapa pelajar yang aku kenal, samada dari Warwick, London mahupun tempat-tempat lain. Suasana permainan agak meriah, walaupun tidaklah segempak Notts Games. Sesekali, terhibut melihat gelagat pemain, ada tak puas hati, gaduh sana sini. Tersenyum sahaja melihatnya. Hypo pula, sibuk mengambil gambar sana sini, tidak ubah seperti seorang jurugambar professional.

Tu dia Abang Po seperti jurugambar BBC

Perut lapar. Kami menuju ke gerai-gerai untuk membeli makanan. Aku dan Hafizuddin membeli nasi kerabu dengan ayam panggang yang sungguh menyelerakan. Alhamdulillah, terisi sedikit perut, lalu kami kembali ke Prayer Hall untuk bersolat.

Lunch di atas padang


Aku berehat di Prayer Hall sehinggalah jam 5 petang. Kami bergerak ke Coventry. Kami singgah sebentar di Prayer Room University of Coventry untuk bersolat Maghrib (dan Isyak bagiku). Seusai solat, kami memulakan misi mencari makan malam, iaitu di sebuah kedai bernama Donya. Oleh sebab aku tidak tahu menahu tentang Coventry, aku hanya taat pada segala perlakuan sahabat-sahabatku ini.

Menaiki bas 12 menuju Coventry. Singgah di pertengahan jalan menghantar Ajah balik ke rumah. Dari Coventry, kami berjalan kaki berpandukan GPS daripada telefon bimbit Po, alhamdulillah, berjumpa jua dengan restoran Donya. Tempat duduk dipenuhkan, menu dilihat dan ditatapi dan pesanan diberikan. Aku memesan Nasi Beriyani ayam yang nampaknya begitu menyelerakan.

Servis restoran ini tidak mengecewakan. Rasa baru sahaja kerusi dihangatkan, sudah sampai makanan ke meja. Tu dia, meriah sekali nampak pinggannya. Nasi penuh diisi, ayam seketul besar, tak lupa juga kepada sayur-mayur yang tidak digemari Izzat. Izzat bertindak pantas dengan terus menyerahkan hak milik sayurnya kepada Hafizuddin. Moga sistem penghadaman Hafizuddin sihat dengan lambakan sayur itu.


Alhamdulillah kenyang. Sambil makan, kami turut berbincang-bincang perihal masa depan kami masing-masing, daripada hal kekeluargaan, kerjaya sehinggalah dakwah dan ummah. Aku, Izzat dan Dzull akan bekerja bersama di PNB nanti. Jadi, kami memikirkan, apakah perubahan yang boleh kami sumbang bagi membantu mewujudkan biah Solehah di persekitaran kami nanti. Alhamdulillah, Izzat membelanja makan malamku hari ini. Ni yang makin sayang Warwick ni! 3 minggu lepas, makananku dibelanja oleh Hafizuddin, hehe. Sebuah hadis Qudsi:

Rasulullah s.a.w. bersabda: Allah s.w.t. berfirman:
عن النبي صلى اللهم عليه وسلم يرفعه إلى الرب عز وجل قال حقت محبتي للمتحابين في وحقت محبتي للمتزاورين في وحقت محبتي للمتباذلين في وحقت محبتي للمتواصلين في
“Orang yang berkasih sayang kerana Allah, orang yang saling berziarah kerana Aku (Allah), orang yang saling berbelanja membelanja kerana Aku(Allah), orang yang saling berhubungan kerana Aku(Allah), mereka semua berhak mendapat kasih sayangKu (Allah)”
(Riwayat Ahmad)


Kami pulang ke kampus, keletihan tetapi kekenyangan dan gembira dapat meluangkan masa bersama.

“Jika seseorang itu sayang kepada sahabatnya maka hendaklah dia beritahu bahawa dia menyayanginya.”
(Riwayat Abu Daud)

Aku sayang korang. Moga kita berukhuwah keranaNya, dan moga kita dapat bersama-sama mengecapi syurga Allah.

Photobucket

Wednesday, March 16, 2011

Presentation

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah, tadi sudah selesai menjalankan presentation PEDD. Berikut merupakan apa yang aku present tadi:



Tidaklah cemerlang mana presentation tadi, tapi masih diri ini penuh dengan rasa kesyukuran yang tidak terhingga, rasa lega kerana telah tamat presentation dariku. Walaupun presentation hanya mengambil masa 30 minit, terasa begitu sesak dan cemas sekali. Mujurlah semua nampaknya macam faham penerangan kami dan soalan yang ditanya pula tidaklah sukar untuk dijawab.

Ada juniorku di KYUEM bertanya, hidup di Imperial sukar ke? Workload banyak? Susah tak belajar?

Jawapanku, ianya depends kepada diri kita sendiri. Bukanlah masa yang tidak cukup, tetapi adakah kita yang tidak cekap menguruskan masa. Teringat kata-kata hikmah:

Time is what we want most, but what we use worst

Kepada yang nak tahu kehidupan di UK secara umumnya dan Imperial secara khususnya, bolehlah baca arkib-arkib catatan aku terdahulu. Apa-apa pun, di mana-mana pun kita belajar, kesusahan pasti akan ada. Samada kita sanggup hadapi cabaran atau tidak, aku rasa itu yang lebih penting. Adakah kita bersedia?

Accept the challenges so that you may feel the exhilaration of victory

Wallahu'alam

Photobucket

Tuesday, March 15, 2011

Kembali

بسم الله الرحمن الرحيم

Wah, sudah hampir 2 bulan blog ini sudah tidak dikemaskini. Sebuah pencapaian buatku. Memang, bukan sengaja mahu meninggalkan dunia blog ini. Setiap hari, kuat hatiku meraung ingin kembali menulis, malah, banyak sungguh yang ingin dikongsikan dalam blog ini. Namun, keupayaan, masa dan tenagaku terbatas untuk melakukan demikian. Blog yang disayangi ini terpaksa ditinggalkan selama lebih kurang 2 bulan.

Terlalu banyak yang berlaku dalam tempoh 2 bulan ini. Sedih, pahit, gembira, ketawa, seronok, letih, riang, semuanya umpama ramuan yang digaul sebati, dalam resipi bernama kehidupan.

Menjalani kehidupan sebagai pelajar tahun akhir ini sememangnya mencabar. Walaupun sudah 2 tahun aku 'survive' di Imperial, namun, tahun terakhir tetap dirasakan lelah dan letih untuk diharungi. Modul yang aku ambil untuk tahun terakhir adalah Genetics and Genomics, Cancer, Bioreactor and Bioprocess Technology dan Protein Engineering and Drug Design. Memang seronok belajar, namun tak seronok bila nak exam.

Siapa yang tidak tahu pasal tragedi tsunami yang menimpa negara matahari terbit, Jepun. Kuasa Allah meranapkan keegoan dan keangkuhan manusia. Sejauh mana kehebatan teknologi manusia meramal bencana, namun kuasa Allah yang tidak terkata hebatnya. Kita yang tidak berada di sana, turut terasa kesedihan dan kesusahan rakyat Jepun. Moga sahabat kita di sana selamat dan dipermudahkan urusan. Moga ada hikmahnya untuk semua.

http://static.guim.co.uk/sys-images/Guardian/About/General/2011/3/12/1299889509204/A-woman-carrying-a-child--008.jpg

Sekarang di UK baru nak masuk musim bunga. Bunga-bunga telah mula menampakkan dirinya. Orang kata, inilah masa sesuai nak keluar dan bergambar riang. InsyaAllah, akan ku lakukan sebelum pulang ke tanah air tercinta.

Pagi tadi aku bangun dan tersedar aku berada di Guildford. Terasa amat pendek hujung minggu di sisi isteri tersayang. Dengan berat hati (dan badan), aku membersihkan diri dan bersiap-siap hendak pulang ke London. Pukul 7 pagi, aku bersalam, salam perpisahan dengan sang isteri. Aku berjalan perlahan menuju ke stesen keretapi Guildford. Jam 7:17 pagi, keretapi membawaku pulang menuju ke London Waterloo. Dari Waterloo, terus sahaja aku menaiki tube menuju ke South Kensington. Terus lagi berjalan menuju ke bangunan Biochemistry, masuk ke bilik 311 (bilik komputer). Seawal jam 8:30 pagi, aku menyambung tugasan untuk membuat model sebuah enzyme untuk membolehkan beberapa drugs boleh diproses oleh enzyme tersebut. Salah satu hasil kerja aku harini adalah seperti di bawah:


Sepertimana yang dapat lihat dalam contoh di atas, ubat bernama warfarin ini terletak dekat sahaja dengan lingkaran haem, untuk membolehkan OH group menyerangnya. Phenylalanine dan Leucine tu pula mungkin bertindak sebagai asid amino yang memegang ubat berkenaan. Oh, sudahlah sampai situ sahaja pasal bab ini, ini bukan blog akademik.

Malaysia pula, haih, tak habis-habis isu liwat. Hari demi hari, makin banyak perkataan menjengkelkan yang dipelajari. Makin banyak pula berita-berita yang memalukan disiarkan. Tak hairanlah kalau budak-budak zaman sekarang, kecik2 dah pandai cakap bukan-bukan.

Esok ada presentation PEDD, doakan....


Photobucket