Wednesday, January 12, 2011

11/1/11

بسم الله الرحمن الرحيم

Hari kesebelas dalam tahun Masihi 2011.

Hari ini merupakan hari kedua spring term di Imperial, selepas bercuti hampir 3 minggu lamanya, masanya untuk kembali menajamkan fikiran, membanting tenaga dan memusatkan fokus. Hampir 3 minggu berada dalam kesejukan, adakah minda dan pemikiran kita sudah semakin membeku? Tiba masanya untuk mencairkan kembali ketulan-ketulan ais yang membeku di dalam pemikiran ini.

http://www.master-optics.eu/biblio/Logo%20IC%20london.jpg

3 minggu cuti yang berlalu, terlalu banyak perkara berlaku, samada suka atau duka, mudah atau sukar, pahit atau manis, semuanya aku rasai dan hadapi. Moga semua perkara yang berlaku itu ada hikmahnya dan semoga aku mendapat ibrah dan react terhadap ibrah itu, supaya aku melangkah maju ke hadapan dalam hidup ini.

Memang, aku mengatakan dalam post lalu yang akan update mengenai perjalanan kami di Istanbul, namun, tidak dapat lagi mencari masa yang sesuai untuk menulis dengan baik. Mungkin ini atas faktor keterbatasanku selaku manusia dan mungkin kerana aku sendiri yang kurang bijak membahagikan masa. InsyaAllah, akan update juga suatu hari nanti mengenai Istanbul.

Berkata pasal Istanbul, ye, memang sedikit rindukan bandar al-Fateh itu. Banyak sungguh pengalaman ditimba, pelbagai ilmu diratah, pelbagai kenangan dicoret. Tetapi hakikat tetap perlu ditelan, aku kini kembali ke bumi London, UK untuk menyambung pengajian tahun akhir bidang Bioteknologi di Imperial College London.

Term ini, subject yang aku ambil adalah Bioreactor and Bioprocess Technology (BBT). Sepertimana namanya, kami belajar mengenai selok belok pengendalian bioreactor untuk menghasilkan produk biochemical dengan banyak dan murah. Subjek ini adalah gabungan antara biochemical, chemical engineering dan sedikit economics. Sedikit kelainan daripada subjek-subjek lain yang aku ambik sebelum ni, tapi itu adalah cabaran buat diriku.

Pengembaraanku di UK ni hampir tamat, moga saki-baki waktu yang tinggal di UK ni dapat digunakan sebaik mungkin untuk kebaikan ummah, Amin.

Photobucket

Sunday, January 9, 2011

Nur Islam di bumi Rome

بسم الله الرحمن الرحيم

Keluar sahaja dari Palatino, kami bergegas untuk bersolat Asar. Mulanya, kami rancang untuk bersolat di hotel sahaja, jadi, kami pun menunggu bas ke Roma Termini. Namun, dalam perjalanan menaiki bas, kami ternampak metro station Spagna yang terletak di Metro Line A. Jadi, kami terus mengambil keputusan untuk terus ke Mosque of Rome, jadi, loceng bas ditekan dan kami bergegas turun.

Peta sistem tren di Rome, Italy (klik untuk saiz lebih besar)

Dari Spagna, kami berhenti di Flaminio dan tukar tren ke utara, iaitu dengan menaiki tren hijau line Roma Nord. Mengikut maklumat yang kami selidiki, Mosque of Rome terletaj hanya bersebelahan sahaja daripada station Campi Sportivi yang hanya terletak 3 station sahaja daripada Flaminio. Keadaan sudah semakin sesak di dalam tren, mungkin kerana orang sudah mula pulang daripada kerja. Tren bergerak akhirnya menuju ke utara Rome.

Namun, selepas station Acqua Acetosa, tren bergerak laju dan tidak pula menunjukkan tanda ingin berhenti. Aku sempat menjeling luar, kami telah melalui stesen Campi Sportivi dengan laju sekali. Kelihatan tape merah menutupi stesen itu, mungkin ditutup untuk ubahsuai dan penambahbaikan. Alamak, macamane ni? Terlihat di sebelah kanan, kelibat bangunan seakan-akan masjid, argghh, dah nak terlepas.

Kami redha. Kami berhenti di station seterusnya, Monte Antenne. Tidak ramai pun orang turun di stesyen ini, hanya kami berdua. Kami keluar dari stesen dan bergerak menuju ke masjid tadi. Kelihatan dari jauh bangunan besar tersergam dengan menara azan terpacak di sebelahnya. Ya, pasti itulah masjid yang ingin dituju.

Tangga masuk ke tempat wudhu'

30 minit lagi bakal masuk maghrib, tapi kami masih belum bersolat Asar dan Zuhur. Segera kami memasuki perkarangan masjid. MasyaAllah, besarnya masjid ini! Namun, kami terus meluru ke tempat wudhu' untuk mengambil wudhu' dan bersolat. Tempat wudhu' masjid ini amat besar, sampaikan kami sesat untuk keluar daripada tempat wudhu' tersebut.


Seusai bersolat Asar dan Zuhur, kami berjalan-jalan sekitar perkarangan masjid untuk mengambil gambar. Beberapa minit lagi nak masuk Maghrib, jadi kami hanya menunggu masuknya waktu untuk terus bersolat.

Mosque of Rome merupakan masjid terbesar di Eropah. Dalam satu-satu masa, ianya boleh menampung hampir 12000 jemaah. Masjid ini diasaskan oleh seorang putera yang berasal dari Afghanistan. Namun, pembinaannya turut dibiaya oleh Raja dari Arab Saudi. Selain tempat untuk bersolat, masjid ini juga berperanan sebagai pusat budaya Islam dan pertemuan masyarakat Islam pelbagai mazhab.

Amat besar masjid ini. MasyaAllah, di bumi asing ini, rumah Allah masih ada dan menjadi pusat tumpuan umat Islam. Teringat pula firman Allah S.W.T

http://c0022506.cdn1.cloudfiles.rackspacecloud.com/9_18.png
Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.
(at-Taubah: 18)

Moga kami tergolong di kalangan orang yang mendapat petunjuk.

Masuk waktu Maghrib. Namun, azan tidaklah berkumandang di angkasa, sama seperti di UK. Aku mendekati ruang solat, walaupun masjid ini besar, solat jemaah Maghrib petang itu hanya 4 orang termasuk aku sahaja yang ada. Kami diimamkan oleh sheikh Aladdin Muhammad Ismail al-Ghobashi, seorang imam dari Mesir.

Seusai solat, kami bersalaman dan berborak-borak sejenak. Sebelum kami berangkat pergi, beliau menghadiahkan kami senaskhah al-Quran untuk menjadi pedoman dan pengajaran buat kami. Terima kasih diucapkan, moga kita bertemu lagi.

al-Quran yang dihadiahkan imam Masjid Rome

Pengembaraan kami di Italy adalah suatu perjalanan yang amat bermakna dan berharga. Bukan sahaja kami dapat ke tempat-tempat tarikan pelancong, tetapi kami juga dapat mempelajari budaya masyarakat Italy serta dapat menyelami dan mewujudkan rasa MAHU untuk lebih mendalami sejarah peradaban tamadun Rom Kuno, kerana bertitik tolak daripada ketamadunan inilah wujudnya tamadun Rom Timur. Tamadun Rom Kuno juga menghasilkan impak yang besar kepada perjalanan dunia sekarang. Mereka dulu pernah menjadi suatu ketamadunan yang hebat, namun, kerana melupakan yang Maha Hebat, tiada nilainya di sisi Allah. Kami insaf apabila memikirkan perkara ini. Kita juga, tidak terkecuali, andai kita melupakan Pencipta kita, tidak mustahil Allah akan menggantikan kita dengan kaum yang lebih mencintaiNya. Firman Allah:

http://c0022506.cdn1.cloudfiles.rackspacecloud.com/5_54.png
Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya.
(al-Maidah: 54)

Rugilah mereka yang ke sana ke mari, namun tidak mengambil ibrah pada perjalanannya

Dalam keghairahan kita untuk melancong ketika musim cuti, sentiasa ingat niat sebenar penghijrahan kita itu. Adakah sekadar ingin bergambar dengan bangunan-bangunan unik, pemandangan cantik, atau benda-benda pelik? Atau adakah kita ingin berubah kepada yang diredhai Allah? Amatlah rugi wang yang dibelanjakan untuk melancong andai dapatan daripada perjalanan itu, hanya beberapa keping gambar sebagai bukti sahaja. Kalau setakat gambar, boleh je cari di internet. Tetapi, cubalah berinteraksi dengan masyarakat, kenal budaya mereka, dalami sejarah mereka supaya kita boleh belajar dan tidak mengulangi kesilapan mereka, timbalah ilmu daripada mereka, carilah nur Islam di tempat-tempat yang kita lawati, insyaAllah, perjalanan itu akan lebih manis dan puas.

InsyaAllah, daripada ketamadunan Rom Kuno, kami akan bergerak pula ke Tamadun Rom Timur, berpusat di Constantinople yang kininya dikenali sebagai Istanbul.

Entri seterusnya: Jelajah bumi al-Fateh, Istanbul

Photobucket

Saturday, January 8, 2011

Menelusuri tinggalan Empayar Rom Kuno: Colosseum dan Palatino

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah, kami telah selamat sampai kembali ke London dari Istanbul. Alhamdulillah, perjalanan kami dipermudahkan oleh Allah. Namun, sebelum kami menulis tentang perjalanan kami di Istanbul, kami perlu menghabiskan dulu catatan perjalanan kami di Rome, Italy yang tertangguh. Sebab dah lama sangat perjalanan ini, cabaran utama kami adalah untuk ingat kembali peristiwa yang berlaku sepanjang perjalanan ini.

Dari Isola Tiberina, kami menaiki bas menuju ke Colosseum, tarikan paling utama di kota Rome ini. Memang tak sah orang kata apabila ke Rome tetapi tidak ke Colosseum. Kalau anda pernah menonton filem Gladiator, pasti tahu apakah fungsi Colosseum ini di dalam peradaban masyarakat Rome Kuno. Selaku tempat hiburan untuk masyarakat Rome ketika itu, ia menyaksikan pelbagai pertempuran.

Colosseum

Kami tiba di Colosseum sekitar pukul 10 pagi. Namun, sudah ramai orang membanjiri tarikan utama di Rome ini. Di luar colosseum ini, dilihat banyak orang berpakaian pelik ala Gladiator. Berhati-hati!!! Jika anda mendekati mereka, malah jika anda ingin mengambil gambar dengan mereka, mereka akan minta bayaran daripada anda.

Barisan untuk membeli tiket untuk masuk ke Colosseum agak panjang. Hampir 20 minit jugalah kami terpaksa beratur untuk sampai ke meja pembelian tiket. Harga tiket adalam 15.50 Euro seorang, termasuk juga dalam tiket itu adalah untuk ke Palatino (Roman Forum). Selepas membeli tiket, kami terus masuk ke dalam Colosseum. Adakah anda memerlukan audio guide untuk memahami penjelajahan anda di Colosseum dan Roman Forum? Tidak, sebab di semua tempat yang memerlukan description, terdapat juga tulisan dalam bahasa Inggeris, itu pun dah tak larat kami nak baca, sebab banyak sgt.

Kami memanjat tangga untuk ke bahagian atas Colosseum, di mana para penonton suatu ketika dahulu duduk dan menyaksikan perlawanan berlangsung. Colosseum ini adalah bangunan yang dibina sewaktu Zaman Flavian, dan ianya juga dikenali sebagai Flavian Ampitheatre. Dikatakan, nama Colosseum ini juga asalnya adalah daripada kewujudan sebuah patung gangsa yang dinamakan Colossus of Nero yang didirikan oleh Emperor Nero berdekatan ampitheatre ini. Namun, sekarang, tiada lagi patung itu boleh dilihat.

Antara lukisan menunjukkan perlawanan di Colosseum


Di bahagian atas Colosseum itu, telah diwujudkan seperti muzium yang menunjukkan banyak tinggalan sejarah Colosseum, termasuk batu-batu runtuhan serta lukisan-lukisan di atas batu yang menceritakan kisah-kisah yang berlaku di dalam Colosseum. Terdapat juga patung-patung raja-raja Rome terdahulu yang diabadikan di dalam Colosseum ini. Di ruangan ini juga, diceritakan sejarah pembinaan Colosseum oleh Raja Vespasian, bagaimana Colosseum ini musnah akibat kebakaran, gempa bumi dan usaha-usaha untuk membaikpulih keadaan bangunan ini.

Menunjukkan struktur hypogeum di bahagian tengah Colosseum

Dari bahagian atas Colosseum, kami dapat memandang ke bawah dengan jelas. Kami dapat lihat struktur hypogeum di tengah-tengah Colosseum itu. Hypogeum ini dahulu kala ditutupi dengan papan di bahagian atasnya dan ditabur dengan pasir, di atas inilah pertempuran berlaku. Namun, papan itu sudah tiada sekarang dan kita boleh nampak struktur hypogeum ini. Di dalam underground ini jugalah para gladiators berkumpul sebelum dilepaskan untuk pertempuran. Kami dapat membayangkan suasana pertempuran yang berlaku. Begitu gahnya ketamadunan mereka pada ketika itu. Namun, keangkuhan tamadun ini dengan mudah dapat dibinasakan oleh Allah.

Setelah menghabiskan masa dalam lebih kurang sejam di dalam Colosseum, kami beransur keluar dan bergerak ke Palatino, yang hanya terletak bersebelahan daripada Colosseum sahaja. Di sinilah letaknya Roman Forum yang terkenal itu. Dengan menggunakan tiket yang sama dengan tiket Colosseum, kami masuk ke dalam kawasan lapang yang menempatkan banyak kawasan runtuhan dan Ruins of ancient buildings.

Bangunan pertama yang kami lawati adalah the Temple of Antoninus and Faustina. Temple ini adalah hasil cinta Antoninus terhadap isterinya yang telah mati, iaitu Faustina. Namun, kematian Antonius menyebabkan temple ini akhirnya disiapkan untuk meperingati mereka berdua. Cinta hingga akhir hayat? Namun, ingatlah, cinta yang bukan kerana Allah itu tidak akan membawa ke syurga.

Temple of Antoninus and Faustina


Kami juga dapat melihat hasil-hasil tinggalan bangunan Roman Forum yang lain. Di sinilah dahulunya merupakan pusat kehidupan masyarakat Rome, di sinilah banyak patung-patung tokoh-tokoh Rome ketika itu dibina. Dapat dibayangkan dahulu kala, di sinilah bangunan-bangunan kerajaan, bangunan pusat membeli belah dan sebagainya. Ala-ala Putrajaya sekarang ini lah kut keadaannya (mungkin pakaian dan bahasa berbeza). Dari situ, kami bergerak menaiki bukit Palatine.

Mengikut sejarahnya, dikatakan di bukit inilah pengasas bandar Rome iaitu Romulus dan adiknya, Remus dibesarkan. Dikatakan mereka ini adalah anak pembesar yang dijatuhkan, lalu untuk menyelamatkan mereka, mereka dihanyutkan di sungai Tiber dan kemudian dijumpai oleh seekor serigala betina dan dijaga sehingga mereka besar. Di sinilah juga didirikan Temple of Romulus.

Temple of Romulus

Dari atas Palatine Hill, kami melawati Farnese Gardens, sebuah taman yang amat indah sekali, terletak di tanah tinggi dan dari situ, kami dapat melihat hampir keseluruhan kota Rome. Subhanallah, cantik sungguh pemandangan di situ. Pokok-pokok juga menghijau di atas bukit itu.


Turun dari Palatino, kami bergegas untuk ke Mosque of Rome untuk bersolat Asar.

Entri seterusnya: Nur Islam di bumi Rome, Mosque of Rome

Photobucket