Alhamdulillah, tahun ini, aku diberi kesempatan menjalani Ramadhan di UK. Walaupun sejujurnya dalam hati terasa sedih kerana hilang kenikmatan puasa di Malaysia, namun, aku mendapat sedikit sebanyak pengalaman berpuasa di negara asing ini.
London merupakan pusat kehidupan masyarakat. Semua jenis masyarakat ada di sini. Alhamdulillah, komunit Malaysia Muslim di London juga agak ramai dan agak rapat. Sepanjang bulan Ramadhan, di Malaysia Hall diadakan majlis berbuka puasa, tarawih serta tadarus al-Quran. Segala aktiviti ini membuat hidupku tidak bosan, malah hilang sedikit perasaan rindukan suasana Ramadhan di Malaysia.
Tempoh berpuasa di UK lebih panjang berbanding di Malaysia. Subuh bermula seawal jam 3 pagi dan Maghrib pula pada 8.15 malam. Namun, itu bukan alasan untuk kita tidak melakukan ibadah kepadaNya. Sebaliknya, tempoh yang lama itu menjadi medan pentarbiyahan untuk kita menjadi lebih bersabar dan mengingatiNya.
Seawal jam 6 petang, majlis tadarus al-Quran dimulakan. Boleh tahan juga bilangan yang datang. Secara purata, setiap hari, kami membaca hampir 1 juzu' setengah al-Quran. Pada saat aku menulis post ini, kami telah mencapai ke juzu' yang ke-23 al-Quran. Setiap 2 mukasurat, ustaz Erfino akan berhenti dan memberi peluang kepada para hadirin untuk bertanya soalan tentang tajwid khususnya. Kadang-kadang, ustaz juga turut menceritakan terjemahan ringkas ayat-ayat yang dibaca.
Kemudian, saat ditunggu tiba. Berbuka puasa. Kami berbuka ringan dahulu dengan tamar dan sedikit kuih muih dan minuman sebelum bersolat Maghrib dan barulah kemudiannya diteruskan dengan makan berat, iaitu nasi dan lauk. Setiap hari, pasti masakan sedap-sedap disumbangkan ahli jemaah yang hadir. Kami tidak pernah bosan dengan makanan yang dihidangkan, dari ikan bakar, sehinggalah kerabu perut, semua ada!!! Terima kasih kepada yang menyumbang makanan berbuka!
“Siapa memberi makan orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tersebut, tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun juga.”
(Tirmidzi, Hasan Sahih)
Selepas makan, sambil menunggu waktu Isyak, kami menyambung sedikit tadarus al-Quran. Kemudian, selepas solat Isyak, solat Tarawih dijalankan sebanyak 8 rakaat disertai 3 witir, kebiasaannya diimami ustaz Erfino. Selepas Tarawih, sepertimana di Malaysia, dihidangkan pula moreh, biasanya kuih muih, tetapi luar biasanya kadang2 ada sup kambing, nasi tomato dan sebagainya (buka puasa second round).
Kesimpulannya, Ramadhan di London amat meriah sekali. Moga malam-malam Ramadhan kita juga turut meriah dengan amalan kepadaNya.....
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Illahi, sebuah lagi panduan ke luar negara (UK dan Ireland) telah dihasilkan oleh IluvIslam. Tahun ini, ia dinamakan dengan Small ISSUE (Iluvislam Students Survival guide for UK and Eire). Di dalamnya terdapat maklumat-maklumat yang diperlukan oleh seorang Muslim untuk survive di luar negara. Moga membantu mereka yang akan fly tidak lama lagi, insyaAllah.
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. (al-Baqarah: 185)
Setahun berlalu, pintu madrasah dibuka kembali. Selamat datang Ramadhan, madrasah tarbiyah buat para muslim. Syaitan dibelenggu, pintu syurga dibuka serta pintu neraka ditutup. Bulan ini juga ada suatu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan, malam Qadr.
Moga Ramadhan kita tahun ini lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya. Moga kita graduate dengan cemerlang dalam madrasah ini.
Ku mengharapkan Ramadhan Kali ini penuh makna Agar dapat kulalui Dengan sempurna
Selangkah demi selangkah Setahun sudah pun berlalu Masa yang pantas berlalu Hingga tak terasa ku berada Di bulan Ramadhan semula
Puasa satu amalan Sebagaimana yang diperintahNya Moga dapat ku lenturkan Nafsu yang selalu membelenggu diri Tiada henti-henti
Tak ingin ku biarkan Ramadhan berlalu saja Tuhan pimpinlah daku yang lemah Mengharungi segalanya dengan sabar Kita memohon pada Tuhan diberikan kekuatan Ku merayu pada Tuhan diterima amalan
Selangkah demi selangkah... Dengan rahmatMu oh Tuhanku... Ku tempuh jua
Alhamdulillah, setelah hampir setahun tidak menemui mereka, akhirnya ketika MOC minggu lepas, dapat bertemu kembali mereka.
- Apak, pelajar Matematik tajaan PNB graduated Imperial College London, batch 7 KYUEM.
- Faris Fasri, graduan LSE tajaan Sime Darby, SyuRel batch 7 MUSCOM KYUEM - Hizami, graduan Oxford University tajaan PNB, Presiden SC batch 7 KYUEM
Merekalah yang menyambut dan melayanku ketika aku tahun pertama dan baru tiba ke UK dahulu, menziarahiku, membantuku, berusrah bersama, masak bersama dan banyak mengajarku dan berkongsi pengalaman. Seronok rasanya melihat mereka semua sudah mempunyai kerjaya dan hidup sendiri.
Semoga semua berbahagia di sini dan di akhirat nanti....
Alhamdulillah, tahun ini, aku diberi lagi peluang untuk menyertai program yang diadakan setiap tahun untuk pelajar KYUEM yang akan ke luar negara, Muslim Overseas Camp (MOC). Tahun ini, program diadakan di Taman Pertanian Malaysia, Bukit Cahaya Seri Alam, Shah Alam, Selangor. Tempat ini terletak di dalam sebuah taman yang dikelilingi pohon menghijau dan udara segar rimba!!!
Ini merupakan tahun keempat berturut-turut aku menyertai MOC. Kali pertama aku ke MOC adalah sewaktu aku tahun kedua di KYUEM (2007), pada waktu tu, aku menyertai MOC batch 8 (batch seniorku) selaku pemerhati dan wakil MUSCOM. Kali kedua adalah sewaktu aku nak fly (2008), menjadi peserta dan AJK Promosi. Kali ketiga adalah pada tahun lepas (2009), aku menjadi ketua fasilitator dan alhamdulillah, tahun ini datang pula sebagai Pengarah Modul.
Menjadi pengarah modul bukanlah suatu tugas yang mudah. Aku perlu berusaha mencari penceramah untuk mengisi program. Penceramah pula, bukanlah orang yang tidak sibuk, kadang-kadang perlu bertoleransi dalam masa slot mereka. Namun, memikirkan untuk memberi yang terbaik kepada peserta, aku tidak berputus asa. Penceramah tahun ini adalah Ustaz Hasrizal, Prof Hamdi dan Ustaz Ridha. Sewaktu berurusan dengan mereka, skill common sense aku diuji dengan hebatnya. Adab-adab berkomunikasi dan professionalisme juga menjadi taruhan.
ustaz Hasrizal
ustaz Ridha
Selain penceramah, aku juga perlu menyambung puzzle2 untuk membentuk suatu modul yang lengkap untuk melahirkan graduan MOC yang mempunyai survival skill yang mapan, pengetahuan yang luas, keyakinan diri serta mempunyai prinsip. Terima kasih kepada Hypo Hafizuddin, Akmal Amri, Hamizah Hanapi serta Fatin kerana menjadi tulang belakang membantu aku merangka modul.
Modul ibarat skrip. Yang melakonkan pula, adalah fasilitator. Tanpa pelakon yang baik, mesej cerita akan sukar untuk disampaikan malah mungkin juga disalahertikan. Alhamdulillah, kami berjaya mengumpul 24 fasilitator yang komited dengan tugas mereka. Namun, aku sendiri rasa mencabar menguruskan 24 fasilitator yang mempunyai latar belakang berbeza, minat yang berbeza serta perwatakan yang berlainan. Benar, menguruskan manusia itu lebih jauh mencabar berbanding menguruskan benda. Melayan kerenah fasilitator sedikit sebanyak mengajar aku erti kesabaran dan mematangkan skill pengurusanku.
Melihat wajah adik-adik peserta yang akan ke luar negara ini, penuh dengan sinaran semangat dan tenaga. Aku terbayang diri aku 3 tahun dahulu ketika aku berada di tempat mereka. Nervous, berkobar-kobar dan berfikiran tulus suci ingin berjaya di UK dan Ireland. Namun, ada kalanya melihat mereka kebosanan, hilang fokus, sedikit sebanyak mengguris hati aku. Kekurangan modul itu adalah pasti, adakah aku telah menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan ini dengan baik?
think tank ku (tiada dalam gambar, Dzull)
Terima kasih juga kepada think tank ku, Hypo Hafizuddin, Ariff Ismail (Yorke), Khairul Anwar serta Dzullfefry. Mereka hadir bukanlah sebagai fasilitator, tetapi sebagai AJK pelbagai tugas; pemandu, jurukamera, MC dan sebagainya. Aku amat kagum dan berterima kasih dengan kehadiran mereka, merekalah yang menjadi ahli mesyuaratku untuk menentukan perubahan tentatif, apabila mereka disuruh merangka suatu permainan, dengan pantas mereka menyediakan bahan seperti yang disuruh. Ibarat dalam perang, perlu untuk ada sahabat yang sehati sejiwa, sama-sama berjuang dengan kita. Itulah mereka.
Erti hidup pada memberi
Itulah kata-kata yang sering dilafazkan oleh ustaz Hasrizal. Dahulu, aku tidak berupaya untuk menghadam kata-kata ini melalui perbuatanku. Namun, setelah menginjak lebih dewasa, sedikit demi sedikit aku mula menghayati kata-kata ini. Mungkin sekali lihat, dirasakan para peserta MOC lah yang paling banyak menerima ilmu dan pengalaman melalui program ini. Tapi bagi aku, penganjurlah yang paling banyak menerima kebaikan daripada penganjuran program. Melalui penganjuran programlah yang berupaya membentuk aku hari ini.
Di MOC, setiap malam, aku tidur di atas lantai sejuk dewan. Dewan pula dewan terbuka. Berselibutkan embun, bertemankan nyanyian cengkerik. Kesejukan malam menjadi cabaran setiap malam di MOC. Mujur ada rakan-rakan yang menemankan, seperti Amir Hashim Soksek KYUEM, Hypo Hafizuddin dan Khairul Anwar, malam yang dingin terasa hangat semula, malam yang panjang terasa amat pendek.
Kadang-kadang aku rasa bersalah, ketika aku ingin melelapkan mata, ada AJK dan fasi ku yang masih mengadap komputer menyiapkan modul, meniup belon dan membuat persiapan untuk hari seterusnya. Aku pula, selesa berehat. Ada kalanya, ketika aku sudah kenyang, baru aku sedar, ada AJK dan fasi yang masih belum menjamah makanan. Aku tahu, akulah sepatutnya yang paling akhir kenyang, akulah yang sepatutnya paling akhir berehat, namun aku sering lupa.
ustaz Maliki dan CEO kolej, En Azman
Kepada semua rakan-rakan peserta, AJK, fasilitators dan super seniors yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung di dalam penganjuran MOC tahun ini, seinfiniti kemaafan andai program ini tidak mencapai expectation anda. Maafkan juga andai terdapat sebarang kesilapan, kekurangan dan kekasaran bahasa. Terima kasih kerana sanggup volunteer untuk bersama-sama di dalam MOC. Tidak terbalas jasa anda semua melainkan hanya doa untuk keselamatanmu di dunia dan akhirat. Moga Allah membalas jasa anda semua....
Muhammad Huzaifah bin Abd Rashid Male Ampang Lahir pada 27 Rabiulawal 1410 H, bersamaan 27 Oktober 1989, Umur, kira sendiri yer.. ex-SBPI Rawang ex-KYUEM, BSc Biotechnology, Imperial College London, Executive I, PNB
Huzaifahar di Facebook E-mail: huzaifahar2000[at]yahoo[dot]com Yahoo Messenger: huzaifahar2000 Skype: huzaifahar