بسم الله الرحمن الرحيم
Alhamdulillah, baru sahaja pulang dari rumah terbuka yang diadakan gabungan empat rumah terkemuka di London ini. Lapworth Court, Westbourne Park, Manor House dan
West Kensington telah mengambil bahagian dalam majlis yang diadakan untuk merapatkan ukhuwah antara komuniti di London ini.
Pada malam semalam, kami di Lapworth Court bertungkus lumus, bersengkang mata menyiapkan bahan2. Segala bahan dibeli, segala ramuan dikisar dan segala bahan-bahan mentah disediakan, bagi memudahkan penyediaan hidangan esok pagi. Aku dan Faris bertugas mengisar bawang di ruang tamu, habis menangis kami kepedihan. Satu ruang tamu berbau bawang! Poklah, Iq dan Famy pula bertungkus lumus di dapur menggoreng ayam. Sehingga 1 pagi, kami berjaga.
Keesokan paginya, di kala ahli rumahku masih lena diulit mimpi, aku bangun lalu menyiapkan nasi beriyaniku. Walaupun tidaklah sesedap mana, namun, bolehla dimakan. Menjelang pukul 8 pagi, Hanif, chef dari West Kensington datang untuk memasak resipi istimewanya, rendang opor. Beberapa minit kemudian, Fitri, wakil Manor House turut datang untuk membantu.
Masa semakin suntuk. Barang2 masakan perlu dihantar ke Westbourne Park. Aku dan Faris ditugaskan sebagai batch pertama bergerak ke Westbourne Park. Alhamdulillah, kami sampai dengan selamat menaiki bas 18 menghala ke Sudbury. Alhamdulillah, warga Westbourne Park telah bersiap siaga untuk menerima kedatangan tetamu. Rumah sudah agak bersih dan kemas, dan kuih muih telah terhidang cantik. Kuih sagu, buah melaka, bengkang dan puding jagung menjadi perhatian.
Tetamu mula hadir. Tetamu terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat, batch dan latar belakang. Kami turut makan bersama tetamu. Sungguh meriah sekali suasana di Westbourne Park. Amat jarang sekali warga London dapat berkumpul serentak untuk bertemu dan beramah mesra. Alhamdulillah, sekali sekala dapat berkumpul begini, terasa indah sekali.
Terima kasih kepada semua yang menjayakan majlis, terutama kepada semua tetamu yang hadir dan menghabiskan makanan. Moga ukhuwah bertaut lebih erat.