Tuesday, September 4, 2012

Da'ie bermata lebah

بسم الله الرحمن الرحيم


Dakwah dalam bahasa Arab membawa maksud mengajak atau menyeru. Secara ringkasnya, menurut istilah, dakwah merupakan suatu usaha berterusan dan bersungguh-sungguh untuk mengajak manusia kembali kepada Islam, daripada perhambaan sesama manusia kepada perhambaan kepada Allah yang satu. 

Ruba’i bin Amir, panglima tentera Muslim berkata di hadapan Rustum, raja Parsi dengan catatan emas berikut:

“Kami datang untuk membebaskan manusia dari perhambaan sesama manusia, kepada menjadi hamba kepada Allah SWT, dan mengeluarkan mereka dari kesempitan dan kezaliman agama-agama kepada keluasan dan keadilan Islam.”

Seorang yang menjalankan tugas-tugas dakwah ini dipanggil sebagai pendakwah, atau dalam bahasa Arabnya disebut sebagai da'ie. Siapakah sebenarnya da'ie ini? Adakah ustaz-ustaz sahaja yang layak digelar da'ie? Berdirilah di hadapan cermin dan tunjuklah kepada imej di dalam cermin itu. Ya, aku adalah da'ie. Kita semua adalah da'ie.

“Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain, mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya, mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana”
(at-Taubah: 71)

Adakah kita mahu mendapat rahmat Allah? Adakah kita mahu tergolong dalam golongan yang telah Allah nukilkan dalam kitab yang agung? Adakah kita ingin nama kita disebut-sebut di langit? Marilah kita bersama-sama memburu serta berusaha menjadi golongan yang Allah sebutkan ini.


Seorang da'ie perlulah mempunyai mata lebah. Bagaimanakah yang dikatakan dengan mata lebah itu? Mata lebah sentiasa mencari-cari bunga yang harum, walaupun di celahan sampah sarap. Janganlah pula seorang da'ie itu mempunyai mata lalat, iaitu walaupun berterbangan di taman bunga, masih mencari-cari tahi dan sampah sarap sahaja.


Seorang da'ie perlulah melihat orang ramai (mad'u) dengan mata lebah. Dalam usaha dakwah ini, seorang da'ie perlulah cerdik untuk mencari kebaikan pada diri mad'u mereka. Walaupun mad'u ini dipalit seribu kejahatan, tetapi seorang da'ie akan berusaha mencari kebaikan mad'u itu, seterusnya mengembangkan potensi kebaikan mad'u itu dan dalam masa yang sama, cuba untuk memperbaiki kelemahan serta keburukan mad'u tersebut.

Jangan jadi seperti lalat. Walaupun berhadapan dengan orang yang baik-baik, dia terus melihat keburukan orang lain. Impaknya, beliau sering memfokuskan kesalahan dan kelemahan dan tidak pula memuji kebaikan orang lain. Orang seperti ini akan dijauhi malah mungkin dibenci oleh masyarakat. Bagaimana orang seperti ini boleh menjadi da'ie yang berkesan?

Mari menjadi da'ie bermata lebah.


Photobucket

Wednesday, August 1, 2012

Merdeka: Janji Ditepati

بسم الله الرحمن الرحيم

Lagu tema hari Merdeka yang ke 55 tahun ini. Berpuluh ribu orang menyumpah seranah.



Photobucket

Bubur Lambuk

بسم الله الرحمن الرحيم



Semalam Razmi (rakan sekerja PERC) membawa masuk sekotak bubur lambuk. Dia mengedarkan satu bungkus bubur lambuk kepada setiap orang. Katanya, ini bubur lambuk Masjid Kg Baru. Bubur lambuk Kg Baru ni memang terkenal, terutamanya pada bulan Ramadan. 

Semalam, selepas bertarawih, aku menjamah bubur lambuk ini sebagai hidangan moreh. Setiap tahun, mesti aku tidak ketinggalan untuk makan bubur lambuk, samada waktu berbuka atau moreh. Alhamdulillah, dah dapat merasa bubur lambuk tahun ini.


Photobucket

Tuesday, July 31, 2012

Ramadan kali ini

بسم الله الرحمن الرحيم


Aku masih ingat, tahun lepas, aku dan Ajah menyambut Ramadan di Malaysia buat pertama kali bersama-sama sejak berkahwin. Disebabkan kami baru pulang dari UK, kami duduk di rumah ibu bapa dahulu sementara menunggu surat masuk kerja. Disebabkan kami hanya duduk di rumah bercuti, maka, agak senang (secara fizikal) kami menghadapi Ramadan kali ini. Andai ingin memandu, kami boleh pilih waktu tidak sesak. Andai hendak ke Bazaar Ramadan, pergilah sebelum orang pulang kerja. Andai letih, boleh berbaring-baring dan lebih enak lagi, memasuki alam mimpi. Tarawih pula, sungguh bertenaga, maklumlah, duduk rumah tidak buat apa-apa, memang banyak lemak berkumpul untuk dibakar kalorinya sepanjang Tarawih.

Adalah sekali sekala kami keluar dari rumah, pergi ke program sana dan sini. Seminggu terakhir Ramadan, aku masih ingat kami menaiki bas ekspres daripada Terminal Putra ke Tanah Merah, Kelantan. Sampainya di Tanah Merah lebih kurang jam 5 pagi, mama dan abah terus ambil dan kami bersahur. Lepas sahur, tidur sampai lewat pagi. Bahagia rasanya (secara fizikal) melayan kemahuan nafsu tidur dan makan itu.

Tahun ini pula cukup berbeza. Pertama, kami sudah berpindah ke rumah sendiri di Wangsa Maju. Jadi, segala urusan rumah perlu kami uruskan sepenuhnya. Daripada urusan membeli barang-barang keperluan sehinggalah menyediakan juadah berbuka dan bersahur. Mujur Ajah masih belum mula bekerja. Aku pula, setiap hari, selepas sahur, kalau ada masa dan tenaga, buat solat sunat secara ringkas dan selepas solat Subuh, sudah perlu bersiap-siap ke pejabat. 


Di pejabat, amat mudah rasa mengantuk. Lalu, pelbagai cara digunakan untuk hilangkan rasa mengantuk ini. Pertama, pergi ke tandas untuk basuh muka. Sambil-sambil basuh muka, melihat ke jendela tandas, memerhatikan bandaraya Kuala Lumpur sejauh-jauhnya (ini teknik meregangkan otot mata). Namun, biasanya, tak sampai 30 minit duduk kembali di tempat kerja, mula rasa mengantuk. Jadi, aku mula bergerak ke surau untuk bersolat Dhuha 2 rakaat. Segar sedikit kerana air wudhu' yang mengenai muka ditambah pula pergerakan dalam solat.

Waktu pulang dari kerja pula merupakan cabaran yang amat besar. Aku yakin, semua yang bekerja di Kuala Lumpur akan merasakannya. Kesesakan lalu lintas telah bermula seawal jam 4 petang lagi. Pada hari biasa, aku akan keluar ke Jalan Ampang lalu terus masuk ke Jalan Jelatek terus sahaja ke rumah. Biasanya paling lama pun akan ambil masa 40 minit sahaja. Sepanjang bulan Ramadan ini, perjalanan terpaksa diubah. Aku terpaksa melalui Jalan Tun Razak, masuk ke Ampang-KL Elevated Highway (AKLEH) lalu turun di jalan Jelatek. Secara purata, akan ambil masa 45 minit - sejam. 

Keletihan bekerja seharian ditambah memandu dalam kesesakan membuatkan badan jadi lesu. Hendak membaca buku pun sudah tidak boleh fokus. Mujur ada majlis ilmu di radio IKIM setiap jam 5 petang. Itulah rasanya pengisian yang dapat dihadam dalam kesesakan. Sampai je di rumah biasanya akan berehat kejap, tengok Facebook dan emel kemudian membantu isteri menyediakan juadah berbuka. Mujur juga sekarang Maghrib agak lewat, lebih kurang jam 7:30 petang, kalau awal macam zaman dahulu, mahu kalut aku yang baru sampai rumah ni.

Seusai solat Maghrib, bersiap-siap pula untuk Isyak dan Tarawih. Disebabkan Isyak pun masuk lewat (jam 8:45 malam), maka, tarawih pun bermula dan berakhir agak lewat. Di Wangsa Maju, surau tempat aku bersolat biasanya akan habis 8 rakaat jam 10 malam. Berjalan pulang, aku pun menjamah moreh di rumah lalu biasanya hanya terbaring keletihan.

Mungkin ini tahun pertama aku berpuasa ketika bekerja. Stamina pun amat-amat kurang. Ada 20 hari lagi Ramadan, mari kita manfaatkannya!


Photobucket

Monday, May 7, 2012

Berpesta Buku

بسم الله الرحمن الرحيم


Antara program yang paling kami suami isteri nantikan, Pesta Buku Antarabangsa 2012 yang bertempat di PWTC, Kuala Lumpur. Sudah hampir sebulan kami menantikan pesta ini, mana taknya, di sinilah kami boleh mendapatkan buku dengan harga super murah, ada yang mencecah sehingga diskaun 70%! Mantap!

Dulu di UK, kami telah biasa dengan harga buku yang murah. Ada beberapa pilihan untuk mencari buku murah. Cara yang paling mudah dan agak murah adalah membeli dengan Amazon. Di sini, kita boleh 'survey' buku dan harga yang kita mahukan persis hujung jari sahaja. Klik sana dan klik sini, dah pun kita beli buku kegemaran, sedar-sedar 2-3 hari lagi dah boleh dapat bukunya di peti surat kita. Mudah, walaupun kadang-kadang bukunya tidaklah murah mana, tapi hampir pasti buku yang kita mahukan itu ada dijual.

Kedua, kami biasanya menyerang Charity Shop yang bertebaran di London. Aku masih ingat, di High Street Kensington sahaja, ada dua Charity Shop. Habis kami hop on hop off bas di London itu dan singgah satu-satu Charity Shop berdekatan. Buku di Charity Shop ni super murah, anda boleh dapat buku dengan harga semurah 50 pence sebiji. Namun, kekurangannya adalah buku-buku yang ada dijual di sini adalah terhad, jadi, biasanya, untuk membeli di Charity Shop, anda tidak perlu untuk target buku terlebih dahulu, sebaliknya, survey di Charity Shop dan baru buat keputusan nak beli buku apa.

Pilihan ketiga adalah dengan membeli di Carboot sales. Di London, agak jauh Carboot sales, tapi yang aku pernah pergi adalah berdekatan Guildford. Di sini pun samalah juga keadaannya dengan Charity Shop, cuma kita boleh lagi untuk tawar menawar dengan tuan punya barang.

Antara pilihan lain juga adalah WH Smith yang kadang-kadang ada jualan buku-buku dan ensiklopedia dengan diskaun hebat.

Kembali cerita kita ke Malaysia.

Aku dan Ajah bertolak awal daripada rumah, seawal jam 8:45 pagi lalu singgah di CIMB Bandar Baru Ampang untuk mengeluarkan duit untuk dibelanjakan dengan dahsyatnya di PWTC. Kemudian, terus kereta kami dipandu ke STAR LRT Ampang. Disebabkan tempat letak kereta yang dah penuh, kami meletakkan kereta di rumah kedai berdekatan. Walaupun masih awal pagi, ramai juga orang. Kami terpaksa beratur untuk membeli token untuk Ajah. Aku pula, menggunakan Touch n Go sahaja. Mudah!

Sampainya di stesen PWTC, aku lihat berpusu-pusu orang menuju ke sana. Dalam hati:

Rajin juga orang Malaysia ni membaca

Kami pun taknak ketinggalan. Melihat jumlah pengunjung yang ramai itu menaikkan lagi semangat kami untuk memburu buku-buku idaman. Beberapa syarikat penerbitan buku berada dalam fikiran. Telaga Biru dan Jundi Resources adalah target utama hari ini.

Menjelang jam 10 pagi, pintu ke dewan pameran dibuka. Orang agak ramai, namun, kami masih selesa berjalan dan meninjau-ninjau buku idaman. Sekelip mata, beberapa ratus ringgit melayang dan berplastik-plastik buku di tangan. Kami melalui booth Telaga Biru dan nampaknya ramai sungguh orang di situ, maklumlah, ada slot bersama ustaz Don yang terkenal itu. Namun, fokus kami hanya kepada buku. Pedulilah ada artis mana pun, buku adalah matlamat  hari ini.

Dalam pada itu, aku sempat melihat ramai juga budak-budak muda remaja hingusan yang berada di Pesta Buku. Yang si lelaki memakai seluar jeans, kasut ala-ala Airwalk (tapi ni pasar malam), topi yang warnanya striking, dan pakai cermin mata hitam (walaupun keadaan dalam PWTC agak kelam). Baguslah budak-budak ni datang sini, membaca. Namun bila tengok plastik di tangan mereka, tertulis MOY, GempakStarz, hati rasa nak pulas je telinga diorang ni. Haih!

Di booth Telaga Biru, jualan Solusi edisi lama dengan harga murah dijalankan. Kami pun sama-sama memborong. 12 edisi Solusi kami beli dengan harga RM40, Alhamdulillah. Tidak sabar ingin membaca kesemuanya. Kami tidak kisah walaupun Solusi ini edisi lama, namun, ilmu di dalamnya tidak lekang dek zaman. Tiada tarikh luput!

Ustaz Riduan

Kemudian, kami mencari-cari booth Jundi Resources. Setelah mencari-cari dengan sukarnya, akhirnya, berjumpa juga booth Jundi. Kelihatan waktu kami sampai itu, Ustaz Riduan dan ustaz Nik Abduh, dua tokoh anak muda sedang mempromosikan buku. Aku sempat mengambil tandatangan mereka dan bergambar dengan kedua-dua tokoh keilmuan ini. 

Iqra'

Itu adalah ayat pertama yang disampaikan kepada Nabi S.A.W. Dengan membaca kita memperoleh ilmu pengetahuan. Dengan membaca kita mendapat maklumat. Dengan membaca kita dapat mengubah paradigma kita terhadap dunia. Dengan membaca kita merasakan dunia ini luas. Dengan membaca kita tidak mudah goyah dan fobia dengan pelbagai perkara. Itulah kuasa membaca.

Ustaz Nik Abduh

Para ulama' dan tokoh-tokoh terkemuka biasanya akan banyak membaca. Lihat sahaja Syeikh Wahbah Zuhaily, seorang ulama' tersohor dari Syria. Dikhabarkan beliau memperuntukkan 16 jam sehari hanya untuk membaca dan menulis karyanya. Imam as-Syafie pula memperuntukkan 8 jam sehari untuk tugas-tugas keilmuan. Kita, hampir 2 jam pun dah pancit. Kalau tak pancit, mulalah bosan. Asalnya buka laman ilmiah, dalam 10 minit, tiba-tiba dah ada tab Facebook.

Dari Anas bin Malik r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Menuntut ilmu adalah satu fardu yang wajib atas tiap-tiap seorang Islam."
(Ibnu Majah dan Lain-lainnya)

Dalam keghairahan mencari ilmu-ilmu seperti matematik, sains, falsafah, sejarah atau apa-apa sahaja ilmu lain, jangan dilupa, dan jangan kita double standard terhadap ilmu yang secara terus mengenai agama. Antara ilmu paling penting adalah tauhid dan Aqidah, kemudian barulah dicambahkan kepada akhlak, sirah, fiqh dan lain-lain. Tanpa yang aqidah yang jitu, ilmu-ilmu lain yang didapati kemungkinan akan menyesatkan kita.

Contohnya, bayangkan seorang pakar matematik, namun, beliau tidak kuat keyakinan kepada perintah Allah. Jadi, mana mungkin beliau akan melaksanakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya. Jadilah beliau seorang ahli Matematik yang sesat dan menyesatkan. Apa maksudnya? Beliau akan menggunakan kepakaran Matematiknya untuk melakukan perbuatan yang haram. Mengira-ngira riba', mewujudkan instrumen pelaburan yang haram dan sebagainya. Ini semua kerana setiap perlakuannya tidak dipasakkan kepada Allah.

Dari Muawiyah r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesiapa yang dikehendaki Allah mendapat kebaikan, nescaya dijadikan dia seorang yang beroleh fahaman yang teliti dalam perkara agama dan bahawa sesungguhnya aku ini hanyalah yang membahagikan, sedang Allah Taala jualah yang memberi dan sebahagian dari umatku ini tetap terus menjalankan agama Allah,  tidak ada sesiapa pun dari kalangan orang-orang yang menyalahi mereka dapat merosakkan mereka, sehinggalah datang perintah Allah."
(Bukhari dan Muslim)

Namun, dalam keghairahan kita mencari ilmu, jangan pula berlagak pandai. Baru baca satu kitab, dah nak keluar fatwa. Baru baca satu buku, dah nak menghukum dan kata orang lain salah. Baru habis satu bab, dah nak kata pendapat kita sahaja yang betul. Benar, pembacaan yang banyak itu suatu perkara yang amat baik. Namun, perlu dipasakkan dalam hati bahawa kita ini masih belajar. Bacalah semua perkara, tetapi terimalah perkara yang telah dirujuk dengan ulama' untuk kita jadikan panduan hidup. Contoh, kita boleh baca mengenai komunisme untuk mendapatkan maklumat mengenainya, tapi jangan kita pula mengambil komunisme sebagai aliran hidup. Sekali lagi, ini pentingnya aqidah yang jitu!

Kita juga perlu cerdik untuk mengklasifikasikan bacaan umum dan bacaan khusus. Untuk bacaan khusus, dicadangkan untuk dibaca secara bertalaqqi atau secara berguru. Dikhuatiri pelbagai istilah sukar dalam buku itu disalahtafsir oleh kita yang kurang ilmu.

Banyakkan membaca. Moga kita menjadi insan yang lebih baik.

Photobucket

Tuesday, December 20, 2011

Belajar Sampai Mati

بسم الله الرحمن الرحيم

"Korang takkan buat apa yang korang belajar tu nanti", pesan seorang senior PNB kepadaku beberapa tahun dahulu.

Sewaktu aku masih berada di UK dahulu, kekecewaan melanda hatiku kerana dimaklumkan bahawa peluang untuk kami menceburi bidang yang kami pelajari di universiti adalah tipis. Aku sebagai contoh, pulang dengan sekeping ijazah Bioteknologi daripada sebuah universiti terkemuka luar negara, Imperial College London, namun pulang dan berkhidmat sebagai eksekutif pelaburan di Permodalan Nasional. Kekecewaan yang jelas tergambar apabila difikirkan penat lelah 3 tahun menimba dan mendalami ilmu bioteknologi, seolah-olah sia-sia sahaja apabila pulang nanti. Sebaliknya, aku perlu bermula dari awal, belajar asas kewangan dan pelaburan apabila memasuki PNB nanti.

Begitu berkecamuk hati ini dan sakit rasanya setiap kali memikirkannya. Kontrak yang kami tandatangani seolah-olah memerangkapku dalam realiti ini.

September 2011. Aku melaporkan diri di PNB. Gembira hati bertemu rakan-rakan lama, bergelak tawa dan riang. Aku melupakan sebentar kegusaran hati mengenai apa yang bakal aku hadapi.

Memasuki kelas kami, otak aku diisi dengan ilmu kewangan dan pelaburan, ditambah lagi dengan ilmu ekonomi dan perniagaan dan yang paling aku tidak minat adalah perakaunan. Tidak pernah terlintas dalam fikiranku semenjak kecil lagi yang aku akan buat perakaunan. Namun itu hakikat yang aku terpaksa telan. Aku merasakan diri ini kerdil berbanding rakan-rakan yang memang berlatarbelakang subjek yang berkaitan. Aku pula, masih terkapai-kapai nak membiasakan diri dengan terma baru dalam hidup ini. Balance sheet, financial statement, dividend yield, return on asset, return on investment, semua terma ini terpaksa aku telan sampai nak termuntah.

Kini, setelah hampir 4 bulan bekerja, dengan penuh pelik, aku tanpa sedar semakin menyukai pekerjaan ini (OK, sekarang baru sedar). Walaupun suatu ketika dahulu aku merasakan rugi kerana tidak dapat mengamalkan ilmu bioteknologiku, hari ini, aku memandangnya pada sudut yang berbeza. Aku merasakan aku bertuah kerana dapat bekerja di sini. Selain ilmu bioteknologi, sekarang aku mempelajari berkenaan ekonomi serta perniagaan. Skop pembacaanku juga semakin luas, begitu juga peluang mengembangkan pengetahuan. Aku seronok kerana dapat belajar banyak perkara baru. Mana nak cari seorang 'biotechnologist' yang boleh berbicara mengenai ekonomi, pelaburan dan politik?

Alhamdulillah, peluang untuk belajar di PNB amat luas. Dari ilmu kewangan hinggalah ilmu agama, semuanya boleh dipelajari dengan baik di sini. Antara tempat kegemaranku adalah perpustakaan PNB. Khazanah ilmu di sini amat luas sekali. Pelbagai genre buku boleh didapati, daripada pengurusan, kewangan, motivasi dan agama. Buku agama di sini bukan calang-calang, banyak buku dan kitab-kitab yang sukar didapati dan aku pasti, kalau ada pun dijual, harganya mesti super duper mahal. Antara yang paling aku minat adalah Encyclopedia of Islamic Finance.

Peluang untuk belajar di PNB juga amat luas. Banyak kelas-kelas yang boleh dihadiri, daripada Finance kepada pengurusan kendiri. Semua ilmu ini harus dikutip dan kita kuasai.

Minat aku sekarang telah bertukar kepada Pengurusan Kewangan Islam. Aku boleh menghabiskan masaku membaca bahan berkaitan tajuk ini. Namun, selain itu, aku masih membaca bahan-bahan mengenai biologi, sains, teknologi dan sejarah. Malah, semua bahan-bahan bacaan ini boleh didapati di perpustakaan PNB.

Jika anda senasib denganku (bekerja benda yang anda ti dak minat), daripada kita melihat secara negatif kerja itu, ambil sisi positifnya, belajar dan kuasai sebaiknya tugas kita itu, insyaAllah, kita akan menjadi insan yang lebih berguna kepada masyarakat. Belajar itu bukan hanya ketika di sekolah atau universiti, sebaliknya belajar itu adalah sehingga kita mati.

Aku adalah pelajar dan akan terus belajar sehingga Allah mencabut nyawaku.

Photobucket

Friday, November 18, 2011

Kita ibarat Pokok

بسم الله الرحمن الرحيم

Anda suka makan buah? Ciku, langsat, durian mahupun rambutan, pasti ada orang yang suka sebahagiannya.

Tapi post kali ini bukan pasal buah mana yang sedap.

Pepatah Arab pernah menyebut:

Ilmu tanpa amal ibarat pohon tidak berbuah


Tetapi post ini bukan nak beritahu kepentingan mengamalkan ilmu.

Waktu tadika dulu, kami ada pementasan drama 'Alam dan Manusia'. Jadi, ada antara pelajar yang kena jadi batu, ada yang kena jadi rama-rama dan ada pula yang jadi pokok. Mari kita kembali ke zaman kanak-kanak dan membayangkan yang kita adalah pokok.

Semalam aku memberikan usrah kepada beberapa generasi muda. Ikut hati, nak je balik rumah rehat, tapi dah banyak kali, bila aku berkeputusan untuk tidak hadir ke program, sewaktu berehat di rumah, rasa menyesal pula. Tambahan pula, usrah ni untuk mentarbiyah dan memupuk fikrah Islami ke dalam diri anak-anak muda. Suatu pelaburan yang amat tinggi nilainya. Passive Income Akhirat.

Tajuk yang disentuh adalah mengenai Aqidah. Ya, perkataan yang dah kita dengar sejak sekolah lagi. Kalau ditanya definisi, bahasa dan istilah, mesti ramai dapat jawab. Tapi malangnya, kesan ilmu aqidah ini tidak diterjemahkan dalam kehidupan seharian.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgI3G-vcMeyub-w9Ppmxth2xhZ_nfoxRPqybuQuvb8IHkSQPZBNynNk_DFwOLM6JWTNdzvTY7s9NGF-tzf4T6a2Yzm972JpXQozjxhUhc7JQSHD3q8yqRbWO7e0XOZI7_6b3wL1KOJI-7w/s1600/pokoksyariah.jpg


Aqidah itu adalah asas kepada kehidupan beragama. Kalau nak dianalogikan, hidup kita ni umpama pokok. Aqidah itulah akarnya. Tanpa aqidah yang mantap, matilah pokok. Banyaklah sebabnya. Boleh ditiup angin sebab cengkaman yang lemah, kurang nutrien andai akar tidak cukup kuat dan sihat. Maka, keseluruhan pokok akan sakit dan lemah dan mungkin akan mati dengan cepat.

Aqidah merupakan 'filter' antara yang Islam dan yang kafir. Aqidah yang rosak akan menyebabkan segala amalan kita tertolak. Aqidah juga yang menentukan samada kita ke syurga atau neraka.

.....dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari ugamanya (ugama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).
(al-Baqarah: 217)

Individu yang beraqidah teguh adalah individu yang berkualiti. Dia takut untuk melakukan kejahatan kerana dia tahu tujuan kewujudannya di dunia ini. Dia beribadah dengan penuh khusyuk dan ikhlas kerana dia sedar, dia hanyalah hamba kepada Allah yang Esa. Dia bersyukur kepada Allah kerana mengurniakan semua nikmat di dunia. Dia takut untuk melakukan kemungkaran kerana dia tahu Allah dan para malaikat memerhatikannya. Oleh itu, setiap detik nafas dan perlakuannya, akan dilakukan semata-mata mencari keredhaan Allah. Itulah mukmin super duper.

Mari berazam untuk kita tukar perkataan 'dia' dalam ayat di atas kepada 'kita'.

Photobucket

Thursday, November 17, 2011

Aku dan Tabung Haji

بسم الله الرحمن الرحيم

Waktu kecil dulu, abah dan mak pernah hadiahkan aku sebuah tabung untuk aku menyimpan duit. Kata mereka, tabung tu dari Tabung Haji. Bentuk tabung tu istimewa, macam melengkung di tengah dan kurus ke atas. Tabung ni pun susah nak buka keluarkan duit, jadi, memang bagus untuk menyimpan duit. Macam ni bentuk tabung ni:

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgfRfczxZi8ktpZYoDrynN4oMQSGC7i8x1oXFte0tcWOvz5hBQcKQ6RuzRaPCp3pT37hfSEikFcu94X0pmSKIssp5La6QZ_RB4lnTemp10h1gRzEiiUb0KWQxH7XJlfTceaHUh-eYTPcyg/s1600/DSC00686.JPG

Satu hari, aku ke Kuala Lumpur, menyusuri Jalan Ampang, waktu tu, KLCC takde lagi, takde sangatlah bangunan-bangunan yang mencakar langit macam hari ini. Jadi, ternampaklah satu bangunan yang seolah-olah aku pernah nampak. Aik? Apesal bangunan tu bentuk macam tabung aku. Aku pun menuduh bangunan itu meniru bentuk tabung itu.

Itu cerita 15 tahun lalu

Ini cerita hari ini...

Aku ditakdirkan bekerja di sebuah syarikat yang bernama Permodalan Nasional Berhad. Bangunan syarikat ini terletak bersebelahan dengan bangunan yang meniru bentuk tabung aku, inilah dia Tabung Haji.

Dari kecil lagi, aku diajar menabung dan dari kecil lagi, aku sudah ada akaun Tabung Haji. Betul, tujuan asal dan utama Tabung Haji adalah untuk rakyat menyimpan wang untuk digunakan pergi menunaikan ibadah haji. Wang yang kita simpan dalam Tabung Haji akan dilaburkan dalam pelaburan patuh syariah dan pulangannya akan diserahkan kepada para penyimpan dalam bentuk dividen. Jadi, ada orang (termasuk aku) menggunakan Tabung Haji sebagai instrumen pelaburan.

Berikut merupakan rekod pulangan dividen Tabung Haji mengikut tahun:

1994
9.5
1995 9.5
1996 9.5
1997 9.5
1998 8.0
1999 8.0
2000 5.5
2001 3.25
2002 3.5
2003 4.0
2004 4.3
2005 4.5
2006 4.75
2007 5.0 + 2.0 bonus
2008 5.0
2009 5.0
2010 5.5

Pelaburan seumpama Tabung Haji ini adalah selamat dan harga tidak akan berubah. Antara produk lain yang mempunyai ciri-ciri ini adalah ASB. Memang, kalau diikutkan pulangan, ASB memberikan pulangan yang lebih tinggi daripada Tabung Haji, iaitu 7.5%. Namun, disebabkan beberapa isu syariah dalam ASB, walaupun telah dinyatakan keharusannya oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, aku memilih untuk tidak melabur dalam ASB. Fatwa telah mengatakan harus, jadi bagi sesiapa yang ingin atau sedang melabur dalam ASB, dipersilakan. Untuk aku pula, itu adalah keputusan peribadi. Sebagai rujukan:

Setelah mendengar taklimat dan penjelasan serta meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa bagi menjaga kepentingan dan maslahah umat Islam serta mengelakkan kemudharatan yang lebih besar, hukum melabur dalam skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta dividen atau bonus yang diterima adalah harus. (Majlis Fatwa Kebangsaan)

Berbalik kepada Tabung Haji, wang yang disimpan tidak perlu lagi untuk dibayar zakat wang simpanan (sebanyak 2.5%), jadi, wang dividen yang kita dapat tu adalah bersih, telah dibayar zakat oleh Tabung Haji sendiri. Ini berdasarkan fatwa:

Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-17 yang bersidang pada 3 May 1979 telah membincangkan Pembayaran Zakat Oleh Tabung Haji. Persidangan telah memutuskan bahawa:

Lembaga Urusan dan Tabung Haji adalah diwajibkan membayar zakat bagi pihak penyimpan-penyimpan dari wang simpanannya, dari hasil pelaburan dan dari harta yang diperniagakan serta segala keuntungan daripadanya.

Setelah dikeluarkan zakat oleh Lembaga Urusan dan Tabung Haji bagi pihak penyimpan-penyimpan itu, maka barulah keuntungan bersih itu dibahagi di antara penyimpan dengan Lembaga Urusan dan Tabung Haji menurut peratus yang ditentukan.

Lembaga Urusan dan Tabung Haji sendiri tidak diwajibkan mengeluarkan zakat dari harta yang didapatinya dari (ii) di atas.

Zakat tersebut hendaklah dibayar kepada Majlis Agama Islam negeri-negeri, mengikut kadar simpanan penyimpan-penyimpan di negeri masing-masing.

Baru tadi aku ke Tabung Haji, menguruskan pindahan wang dari akunku ke akaun isteri. Pengamatanku, Tabung Haji masih lagi tradisional, sebab kurang kemudahan seperti ATM dan mesin deposit wang, semuanya perlu dilakukan secara manual. Mungkin sebab Tabung Haji bukannya bank, jadi terhad bidang kuasanya. Apapun, sekarang sudah boleh melakukan urusan Tabung Haji di Bank Islam dan Bank Rakyat. Sedikit demi sedikit, Tabung Haji melangkah maju.


Perancangan kewangan yang bijak itu perlu, bukan sahaja untuk kita, tetapi masa depan isteri dan anak-anak nanti. Menabung bukan semata-mata mengumpul harta, tetapi persediaan untuk dibelanjakan ke jalan Allah, jalan yang diredhai. Tak perlu bangga duit penuh di dalam bank, tetapi tidak digunakan untuk kemajuan ummah. Kumpullah duit sebanyak-banyaknya, tetapi belanjakanlah ke jalan Allah wang tersebut.

Bersama kita singkap kisah Saidina Abu Bakar yang menginfaqkan KESEMUA hartanya ke jalan Allah dan meninggalkan Allah dan Rasul untuk keluarganya. Walaupun tidak sampai ke tahap itu, harapnya dapat selangkah mendekati perlakuan ini.

Akhir sekali, dalam keghairahan mengumpul wang, jangan lupa, pastikan semua wang kita itu adalah dari sumber yang halal. Dalam keghairahan mencari peluang pelaburan yang mendapat pulangan yang tinggi, jangan lupa mencari yang halal dahulu. Fatwa sekarang dah boleh tengok online, sekejap je dah tahu hukum ini dan itu.

Apa lagi alasan kita?

Photobucket

Tuesday, November 15, 2011

Dua kalimah

بسم الله الرحمن الرحيم


Drummmmm

Bunyi guruh disertai dengan cahaya terang warna putih. Aku tak tahulah nak 'describe' bunyi guruh camne, jadi, 'drumm' ini adalah efek bunyi terbaik yang aku boleh tulis.

Hari ini, makanan tengahariku adalah asam pedas ikan tenggiri beserta dengan ayam goreng rempah. Alhamdulillah, menyelerakan sekali. Hari ini seperti biasa, kami masuk ke pejabat meneruskan rutin harian. Air Milo sudah aku dan Apen teguk 2 cawan, tibalah masa yang dinanti, iaitu rehat makan tengahari.

Setelah makan, aku segera naik ke tingkat 31 untuk bersolat Zuhur. Di surau tingkat 31, aku dapat lihat di kawasan Kampung Baru dan Damai, sudah kabur di situ, menandakan hujan lebat. Aku nak pergi ambil USB aku di kereta serta air masak yang tertinggal, tapi nampaknya hujan akan menghala ke menara PNB. Aku segera bersolat dan bergegas kembali turun ke tingkat 23.


Sampai di tingkat 23, aku lihat titisan air mula terpercik ke tingkap menara, menandakan hujan sudah semakin dekat. Aku masuk ke pejabat dan mengambil payung merahku lalu segera turun ke B1. Terbuka saja lif, aku dapat menghidu bau titisan air hujan. Ternyata tanggapan aku tepat sekali. Aku lihat air hujan menyembur turun dari langit dengan halaju yang Allah saja ketahui. Aku memberanikan diri, membuka payung lalu meredah hujan menuju ke Darby Park yang terletak 20 meter dari menara PNB. 20 meter dirasakan seperti 20 kilometer sahaja di dalam hujan lebat.

Walaupun payung yang aku gunakan adalah berkualiti tinggi (payung AVON dapat free), namun masih gagal mengekang air daripada terpercik mengenai pakaianku. Air pula mengalir deras di tanah, membasahkan kasutku. Mujur kasut kulit Clarks, kalis air dan tahan lasak!

thumbdrive yang bersalah menyebabkan aku basah

Segera aku menaiki lif ke B2, memicit butang membuka pintu kereta, masuk lalu ambil botol air mineral TaHa (Tabung Haji) dan USB ungu itu. USB ini amat penting sekali dalam kerjayaku. Ia memuatkan beberapa fail penting yang sukar jika tiada di sisi. Antara fail yang paling penting adalah lagu 'Kalimatan' dendangan Talib al-Habib. Memang setiap hari aku dengar ulang kali lagu ni, di samping mengharapkan pahala daripada Allah setiap kali mulutku mendendangkan lagu ni. Lagu ini berkisar tentang pesanan Rasulullah S.A.W:

“Dua kalimat yang ringan di lidah, berat dalam timbangan, dicintai Allah Yang Maha Pengasih, (yaitu),

سُبْحَانَ الله وَ بِحَمْدِهِ، سُبْحَانَ اللهِ الغَظِيْمِ
ّ
“Maha suci Allah dan segala puji bagi-Nya, maha suci Allah Yang Maha Agung.”
(HR. Bukhari dan Muslim)

Pulang semula ke pejabat, aku segera naik dan mencucuk USB ke dalam komputer lalu mendengar lagu ini. Saat aku menulis ayat ni, mungkin dah kali ke-8 aku ulang lagu ni.

(menaip dengan gembira mendengar lagu Kalimatan)




<span class=

Sunday, November 13, 2011

Perpisahan

بسم الله الرحمن الرحيم

3 minggu telah berlalu dengan pantas. Mungkin ini yang dimaksudkan oleh Albert Einstein tentang masa itu relatif. Masa gembira dan suka, kita akan rasa sekejap sahaja ia berlalu, walhal, masa duka dirasakan begitu panjang sekali.

3 minggu lalu, aku ceria menjemput isteriku di Hentian Duta yang bercuti dan menjalankan pemerhatian di sekolah Aminudin Baki selama 3 minggu. Sungguh seronok dan ceria sekali kehidupan, bertemankan seorang yang mewarnai kehidupanku dengan penuh warna warni. Benar, ada kalanya sedih dan duka, ada kala suka dan tawa, itulah yang menyebabkan hidup ini penuh warna warni.


Selama 2 minggu yang lalu, sudah menjadi rutinku untuk keluar dari rumah ke pejabat pada jam 6:40 pagi, menghantar Ajah ke Sekolah Aminudin Baki barulah aku meneruskan perjalanan ke Menara PNB. Sudah terbiasa pula dengan jalan dan rutin sebegitu. Kemudian, pada jam 5 petang, sejurus tamat bertugas di PNB, aku segera akan menjemput Ajah kembali pulang ke rumah. 2 minggu ini, kehidupan menjadi lebih 'abnormal' dengan rutinku menjadi tidak seperti biasa. Namun, mulai esok pagi, rutin harianku akan menjadi normal.

Abnormaliti ini yang bakal aku rindui....

Selama 2 minggu ini, banyak yang kami lakukan bersama. Boleh kata, majoriti masaku, pasti Ajah ada di sisi. Ajah menjadi peneman ketika aku bermain lawn bowl di Klang. Aku teringat lagi kami sempat singgah di JUSCO Bukit Tinggi. Kemudian, kami sama-sama berulang kali ke usrah serta tamrin bersama-sama. Ditambah lagi dengan pergi ke Ijtima' Tarbawi DPP. Banyak yang kami lalui bersama selama 3 minggu ini.

Hari ini merupakan hari terakhir kami bersama sebelum Ajah pulang ke Pulau Pinang pada jam 11 malam ini untuk meneruskan tugas di sana.

Kehidupan akan kembali seperti biasa. Namun tidak lama. hanya 5 hari sahaja lagi, Ajah akan kembali bercuti selama 6 minggu. Tidak sabar menunggu cuti seterusnya.

Photobucket