Monday, May 7, 2012

Berpesta Buku

بسم الله الرحمن الرحيم


Antara program yang paling kami suami isteri nantikan, Pesta Buku Antarabangsa 2012 yang bertempat di PWTC, Kuala Lumpur. Sudah hampir sebulan kami menantikan pesta ini, mana taknya, di sinilah kami boleh mendapatkan buku dengan harga super murah, ada yang mencecah sehingga diskaun 70%! Mantap!

Dulu di UK, kami telah biasa dengan harga buku yang murah. Ada beberapa pilihan untuk mencari buku murah. Cara yang paling mudah dan agak murah adalah membeli dengan Amazon. Di sini, kita boleh 'survey' buku dan harga yang kita mahukan persis hujung jari sahaja. Klik sana dan klik sini, dah pun kita beli buku kegemaran, sedar-sedar 2-3 hari lagi dah boleh dapat bukunya di peti surat kita. Mudah, walaupun kadang-kadang bukunya tidaklah murah mana, tapi hampir pasti buku yang kita mahukan itu ada dijual.

Kedua, kami biasanya menyerang Charity Shop yang bertebaran di London. Aku masih ingat, di High Street Kensington sahaja, ada dua Charity Shop. Habis kami hop on hop off bas di London itu dan singgah satu-satu Charity Shop berdekatan. Buku di Charity Shop ni super murah, anda boleh dapat buku dengan harga semurah 50 pence sebiji. Namun, kekurangannya adalah buku-buku yang ada dijual di sini adalah terhad, jadi, biasanya, untuk membeli di Charity Shop, anda tidak perlu untuk target buku terlebih dahulu, sebaliknya, survey di Charity Shop dan baru buat keputusan nak beli buku apa.

Pilihan ketiga adalah dengan membeli di Carboot sales. Di London, agak jauh Carboot sales, tapi yang aku pernah pergi adalah berdekatan Guildford. Di sini pun samalah juga keadaannya dengan Charity Shop, cuma kita boleh lagi untuk tawar menawar dengan tuan punya barang.

Antara pilihan lain juga adalah WH Smith yang kadang-kadang ada jualan buku-buku dan ensiklopedia dengan diskaun hebat.

Kembali cerita kita ke Malaysia.

Aku dan Ajah bertolak awal daripada rumah, seawal jam 8:45 pagi lalu singgah di CIMB Bandar Baru Ampang untuk mengeluarkan duit untuk dibelanjakan dengan dahsyatnya di PWTC. Kemudian, terus kereta kami dipandu ke STAR LRT Ampang. Disebabkan tempat letak kereta yang dah penuh, kami meletakkan kereta di rumah kedai berdekatan. Walaupun masih awal pagi, ramai juga orang. Kami terpaksa beratur untuk membeli token untuk Ajah. Aku pula, menggunakan Touch n Go sahaja. Mudah!

Sampainya di stesen PWTC, aku lihat berpusu-pusu orang menuju ke sana. Dalam hati:

Rajin juga orang Malaysia ni membaca

Kami pun taknak ketinggalan. Melihat jumlah pengunjung yang ramai itu menaikkan lagi semangat kami untuk memburu buku-buku idaman. Beberapa syarikat penerbitan buku berada dalam fikiran. Telaga Biru dan Jundi Resources adalah target utama hari ini.

Menjelang jam 10 pagi, pintu ke dewan pameran dibuka. Orang agak ramai, namun, kami masih selesa berjalan dan meninjau-ninjau buku idaman. Sekelip mata, beberapa ratus ringgit melayang dan berplastik-plastik buku di tangan. Kami melalui booth Telaga Biru dan nampaknya ramai sungguh orang di situ, maklumlah, ada slot bersama ustaz Don yang terkenal itu. Namun, fokus kami hanya kepada buku. Pedulilah ada artis mana pun, buku adalah matlamat  hari ini.

Dalam pada itu, aku sempat melihat ramai juga budak-budak muda remaja hingusan yang berada di Pesta Buku. Yang si lelaki memakai seluar jeans, kasut ala-ala Airwalk (tapi ni pasar malam), topi yang warnanya striking, dan pakai cermin mata hitam (walaupun keadaan dalam PWTC agak kelam). Baguslah budak-budak ni datang sini, membaca. Namun bila tengok plastik di tangan mereka, tertulis MOY, GempakStarz, hati rasa nak pulas je telinga diorang ni. Haih!

Di booth Telaga Biru, jualan Solusi edisi lama dengan harga murah dijalankan. Kami pun sama-sama memborong. 12 edisi Solusi kami beli dengan harga RM40, Alhamdulillah. Tidak sabar ingin membaca kesemuanya. Kami tidak kisah walaupun Solusi ini edisi lama, namun, ilmu di dalamnya tidak lekang dek zaman. Tiada tarikh luput!

Ustaz Riduan

Kemudian, kami mencari-cari booth Jundi Resources. Setelah mencari-cari dengan sukarnya, akhirnya, berjumpa juga booth Jundi. Kelihatan waktu kami sampai itu, Ustaz Riduan dan ustaz Nik Abduh, dua tokoh anak muda sedang mempromosikan buku. Aku sempat mengambil tandatangan mereka dan bergambar dengan kedua-dua tokoh keilmuan ini. 

Iqra'

Itu adalah ayat pertama yang disampaikan kepada Nabi S.A.W. Dengan membaca kita memperoleh ilmu pengetahuan. Dengan membaca kita mendapat maklumat. Dengan membaca kita dapat mengubah paradigma kita terhadap dunia. Dengan membaca kita merasakan dunia ini luas. Dengan membaca kita tidak mudah goyah dan fobia dengan pelbagai perkara. Itulah kuasa membaca.

Ustaz Nik Abduh

Para ulama' dan tokoh-tokoh terkemuka biasanya akan banyak membaca. Lihat sahaja Syeikh Wahbah Zuhaily, seorang ulama' tersohor dari Syria. Dikhabarkan beliau memperuntukkan 16 jam sehari hanya untuk membaca dan menulis karyanya. Imam as-Syafie pula memperuntukkan 8 jam sehari untuk tugas-tugas keilmuan. Kita, hampir 2 jam pun dah pancit. Kalau tak pancit, mulalah bosan. Asalnya buka laman ilmiah, dalam 10 minit, tiba-tiba dah ada tab Facebook.

Dari Anas bin Malik r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Menuntut ilmu adalah satu fardu yang wajib atas tiap-tiap seorang Islam."
(Ibnu Majah dan Lain-lainnya)

Dalam keghairahan mencari ilmu-ilmu seperti matematik, sains, falsafah, sejarah atau apa-apa sahaja ilmu lain, jangan dilupa, dan jangan kita double standard terhadap ilmu yang secara terus mengenai agama. Antara ilmu paling penting adalah tauhid dan Aqidah, kemudian barulah dicambahkan kepada akhlak, sirah, fiqh dan lain-lain. Tanpa yang aqidah yang jitu, ilmu-ilmu lain yang didapati kemungkinan akan menyesatkan kita.

Contohnya, bayangkan seorang pakar matematik, namun, beliau tidak kuat keyakinan kepada perintah Allah. Jadi, mana mungkin beliau akan melaksanakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya. Jadilah beliau seorang ahli Matematik yang sesat dan menyesatkan. Apa maksudnya? Beliau akan menggunakan kepakaran Matematiknya untuk melakukan perbuatan yang haram. Mengira-ngira riba', mewujudkan instrumen pelaburan yang haram dan sebagainya. Ini semua kerana setiap perlakuannya tidak dipasakkan kepada Allah.

Dari Muawiyah r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesiapa yang dikehendaki Allah mendapat kebaikan, nescaya dijadikan dia seorang yang beroleh fahaman yang teliti dalam perkara agama dan bahawa sesungguhnya aku ini hanyalah yang membahagikan, sedang Allah Taala jualah yang memberi dan sebahagian dari umatku ini tetap terus menjalankan agama Allah,  tidak ada sesiapa pun dari kalangan orang-orang yang menyalahi mereka dapat merosakkan mereka, sehinggalah datang perintah Allah."
(Bukhari dan Muslim)

Namun, dalam keghairahan kita mencari ilmu, jangan pula berlagak pandai. Baru baca satu kitab, dah nak keluar fatwa. Baru baca satu buku, dah nak menghukum dan kata orang lain salah. Baru habis satu bab, dah nak kata pendapat kita sahaja yang betul. Benar, pembacaan yang banyak itu suatu perkara yang amat baik. Namun, perlu dipasakkan dalam hati bahawa kita ini masih belajar. Bacalah semua perkara, tetapi terimalah perkara yang telah dirujuk dengan ulama' untuk kita jadikan panduan hidup. Contoh, kita boleh baca mengenai komunisme untuk mendapatkan maklumat mengenainya, tapi jangan kita pula mengambil komunisme sebagai aliran hidup. Sekali lagi, ini pentingnya aqidah yang jitu!

Kita juga perlu cerdik untuk mengklasifikasikan bacaan umum dan bacaan khusus. Untuk bacaan khusus, dicadangkan untuk dibaca secara bertalaqqi atau secara berguru. Dikhuatiri pelbagai istilah sukar dalam buku itu disalahtafsir oleh kita yang kurang ilmu.

Banyakkan membaca. Moga kita menjadi insan yang lebih baik.

Photobucket